REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, September 29, 2012

Tunku Temenggong Johor Dilantik Pemangku Raja


JOHOR BAHARU: Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pada Selasa dilantik sebagai Pemangku Raja Johor selama ketiadaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail, di negeri ini.

Pengisytiharan pelantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu dibacakan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dalam istiadat pengisytiharan Pemangku Raja di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut Fasal 9 (1)(c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Sultan Ibrahim menerusi Menteri Besar turut mengisyhtihar pelantikan Tunku Ismail yang kini berada di luar negara sebagai Pemangku Raja Johor, sekembalinya baginda ke negeri ini, pada 19 Oktober depan.

Pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut fasal yang sama.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan kerabat diraja lain.Antara yang hadir Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, anggota penasihat Jumaah Majlis Diraja, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Obet Tawil dan barisan Exco kerajaan negeri.

Tunku Idris Iskandar, 24, merupakan anakanda ketiga Sultan Ibrahim diisytihar sebagai Tunku Temenggong pada 26 Februari 2010 oleh ayahandanya, semasa baginda bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.

Tunku Ismail, 28, pula dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 28 Januari 2010 setelah ayahandanya dimasyhurkan sebagai Sultan Johor berikutan kemangkatan nendanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail. - BERNAMA

29 Sep 2012

Friday, September 28, 2012

14 pelacur Vietnam bekerja sebagai GRO diberkas


SEBAHAGAIN warga Vietnam yang ditahan di sebuah premis di Jalan Sungai Abong, Muar, kelmarin.

MUAR 27 Sept. - Helah sebuah premis di Jalan Sungai Abong di sini menawarkan pelacur dari Vietnam namun berselindung di sebalik pusat karaoke terbongkar apabila diserbu penguat kuasa Imigresen malam tadi.

Serbuan Ops 6P oleh sepasukan anggota dan pegawai Imigresen Muar pada pukul 10.30 malam itu menemui 14 gadis pelayan pelanggan (GRO) yang didapati turut menawarkan khidmat seks.

Ketua Imigresen Muar, Muhamad Zulkifli Abd. Rahman berkata, siasatan mendapati golongan itu hanya menjalankan kegiatan pelacuran di luar selepas pelanggan membuat pemilihan GRO di situ.

"Kegiatan ini sudah dilakukan kira-kira dua atau tiga bulan lalu dan premis di tingkat satu di Lorong Jelawat, Jalan Sungai Abong itu mengaburi mata pihak berkuasa sebagai pusat karaoke," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Utusan 28 Sep 2012

83 murid keracunan makanan


MUAR 27 Sept. - Seramai 83 murid Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat di sini mendakwa mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan selepas minum susu kotak 1Malaysia hari ini.

Kejadian membabitkan murid tahun satu hingga enam yang mengadu mengalami simptom-simptom berkenaan selepas minum susu kotak berkenaan pada waktu rehat antara pukul 9.30 dan 10 pagi.

Berikutan itu, seramai lima kakitangan Pusat Kesihatan Muar telah dikejarkan ke sekolah tersebut untuk memberi rawatan kecemasan termasuk suntikan.

Bagaimanapun, tiada murid yang dimasukkan ke hospital disebabkan kejadian tersebut.

Seorang murid tahun empat yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia merasa pening dan muntah sebanyak tiga kali selain cirit-birit setelah setengah jam minum susu itu.

Utusan 28 Sep 2012

Banjir kilat di Muar diatasi


NUSAJAYA 27 Sept. - Masalah banjir kilat yang kerap melanda bandar Muar dan kawasan sekitarnya dijangka dapat diatasi tidak lama lagi dengan pembinaan empat pintu air, rumah pam serta projek naik taraf longkang oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ahmad Zahari Jamil berkata, hasil kajian dijalankan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapati 25 parit utama sepanjang 59 kilometer telah dikenal pasti untuk dinaik taraf.

Daripada jumlah itu, 18 parit telah siap dinaik taraf dengan kos RM70.236 juta manakala selebihnya masih dalam proses pembinaan.

"Kedudukan topografi bandar Muar yang rendah ditambah kejadian air pasang besar dan hujan lebat menjadi faktor utama sesetengah lokasi di sini kerap dilanda banjir dan untuk mengatasi masalah itu kerja menaik taraf parit berkenaan akan dilaksana secara berterusan.

Utusan 28 Sep 2012

Thursday, September 27, 2012

Imam ditahan kes dadah, cabul tiga remaja lelaki


MUAR 26 Sept. - Seorang imam berusia 32 tahun dari Parit Jawa di sini ditahan polis kerana positif dadah dan mencabul tiga remaja lelaki yang merupakan anak murid kelas mengaji al-Quran Isnin lalu.

Perbuatan terkutuk imam berkenaan yang juga seorang duda ke atas tiga mangsa berusia antara 14 hingga 18 tahun itu terbongkar apabila dia membuat laporan polis mengatakan rumahnya dipecah masuk.

Menurut sumber, semasa penyiasatan kes pecah rumahnya dilakukan, tiga mangsa itu yang tinggal berdekatan mengambil kesempatan tersebut dengan menceritakan kepada polis mengenai perbuatan imam berkenaan.

"Imam terbabit dikatakan melakukan perbuatan tidak bermoral itu sejurus selesai kelas mengaji dengan mengatakan mahu membuat urutan kesihatan tetapi sebenarnya mengurut bahagian sulit mangsa.

Utusan 27 Sep 2012

Monday, September 24, 2012

Pasangan warga emas terima ijazah di USM


NOR AZIZAN membetulkan tali leher suaminya selepas mereka menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen USM kali ke-46 di George Town semalam.

GEORGETOWN: Kesibukan tugas sebagai pendidik tidak menghalang pasangan suami isteri berusia 58 tahun mencapai impian bersama menggenggam segulung ijazah pada upacara konvokesyen USM semalam.

Pasangan berkenaan, Musa Jaafar dan Nor Azizan Sulaiman yang tinggal di Muar, Johor menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera, pengkhususan dalam mata pelajaran Sejarah.

Musa yang bertugas sebagai guru penolong kanan, berkata kejayaan anak-anak dan saudara-mara menjadi dorongan kuat untuk beliau dan isteri yang merupakan guru besar di sekolah berasingan di Muar, merasai kenikmatan dan kepuasan bergelar graduan.

Beliau berkata jarak perjalanan berulang alik dari Muar ke Pulau Pinang juga tidak menjadi alasan untuk mereka tewas di pertengahan jalan, sebaliknya menguatkan semangat untuk menghabiskan pembelajaran tepat pada masanya.

“Perjalanan jauh juga memberi peluang untuk kami bertukar pandangan dalam pembelajaran, yang mana ketika saya memandu, isteri akan membaca buku dan menerangkan kembali perkara yang dibaca.

“Ia sangat membantu dalam aktiviti pembelajaran kami, selain daripada mengulangkaji melalui Internet, modul dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu lebih 20 orang anggota keluarganya termasuk lima anak hadir meraikan kejayaan beliau dan isteri semalam. — Bernama

24 Sep 2012

Guna satu tangan usahakan nanas madu


Abd Razak membuktikan gelaran OKU bukan penghalang untuk dia mengusahakan tanaman nanas madu.

MUAR – “Sebelas tahun lalu, saya pernah kecewa kerana tidak boleh terima kenyataan terpaksa kehilangan tangan kanan.

“Namun akhirnya, saya dapat menerima kekurangan ini dengan hati terbuka dan anggap ia sebagai takdir. Ini berkat doa kedua ibu bapa dan keluarga yang tidak henti-henti mendoakan saya sepanjang tiga bulan dirawat di hospital,” demikian luahan Abd Razak Aris, 35.

Abd Razak kehilangan tangan kanan akibat terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika sedang bertugas sebagai subkontraktor membaik pulih menara pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Rawang, Selangor.

Lebih malang lagi, dalam peristiwa hitam itu, Abd Razak turut melecur 70 peratus di bahagian badan dan kesan tersebut kekal sehingga hari ini.

Jelasnya, selepas tiga hari dirawat di HKL, doktor pakar memaklumkan tangan kanannya perlu dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Saya menangis kerana terlalu sedih tetapi terpaksa akur dengan hakikat kerana tiada jalan lain untuk menyelamatkan diri ini,” katanya.

Katanya lagi, selepas itu dia mengambil keputusan pulang dan menetap terus di kampung halaman di Lorong Kasdon, Batu 16 1/2, Air Hitam, dekat sini.

Keseronokan berada di kampung bersama keluarga dan rakan-rakan berjaya melenyapkan kekecewaannya itu.

Abd Razak bangkit dengan semangat baru untuk mengusahakan tanaman nanas madu di kampung berkenaan.

Kata Abd Razak lagi, bermula dengan tanaman seluas 0.8 hektar, dia tersenyum bangga apabila tanaman yang diusahakannya itu semakin berjaya dengan keluasan kini mencecah hampir tiga hektar.

Menurutnya, setiap lot daripada enam lot nanas yang diusahakannya mampu menghasilkan sebanyak 4,000 biji nanas yang dijual tiga pusingan setahun.

Menurutnya, meskipun memiliki satu tangan, ia bukan penghalang kepada dirinya untuk mengusahakan tanaman tersebut yang merupakan sumber utama pendapatannya.

“Selagi berdaya saya akan terus berdikari tanpa mengharapkan belas ihsan dan simpati daripada orang ramai.

“Kepada OKU di luar sana, saya ingin berpesan supaya menggunakan kebolehan dimiliki untuk berdikari serta membina kehidupan yang lebih berjaya,” katanya.

Sinar Harian
24 Sep 2012

Sunday, September 23, 2012

Jururawat HPSF dirai


Antara jururawat yang diraikan dalam majlis tersebut.

MUAR – Seramai 30 jururawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang sudah dan bakal bersara tahun ini diraikan dalam majlis khas diadakan di Dewan Bistari hospital berkenaan, dekat sini, kelmarin.

Penyelia Jururawat, Khatijah Hitam berkata, kira-kira 20 jururawat yang lahir pada 1956 akan mencapai umur persaraan dan 10 daripada mereka sudah bersara pada Julai lalu.

“Mereka menghabiskan masa selama 30 tahun berkhidmat di hospital dan kita menghargai jasa, komitmen  dan kesetiaan mereka,” katanya.

Sementara itu, wakil kumpulan jururawat yang bersara, Talha Ahmad berkata, kerjaya sebagai jururawat bukanlah satu tugas yang mudah.

“Ia menuntut kesabaran yang tinggi terutama dalam melayan karenah pesakit yang perlu dilalui setiap hari oleh semua jururawat.

“Mereka yang mencapai umur persaraan telah melalui banyak cabaran, tetapi berjaya menghadapinya dengan tekad yang kuat,” katanya.

Katanya, mereka akan meninggalkan hospital itu dan kumpulan baru akan mengambil alih tugas mereka.

“Kami berharap kumpulan baru ini dapat memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang berkhidmat di sini.

“Kita mahu mereka pelajari kemahiran berkaitan kejururawatan terutamanya berhadapan dengan pelanggan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Sinar Harian 
23 Sep 2012

Wednesday, September 19, 2012

Mengharap suami segera sembuh


Ani Surati setia menguruskan suaminya tanpa jemu sejak setahun lalu.

MUAR – “Tiada apa yang saya harapkan, selain mahu melihat suami sembuh seperti sediakala,” demikian luahan Ani Surati Ehwan, 49.

Suaminya, Yahya Jailani, 47, kini terlantar kesan daripada penyakit apendiks dan ulser perut yang dihidapinya setahun lalu.

Menurutnya, penyakit itu menyerang suaminya secara mengejut sehingga menyebabkan hampir pitam sebaik sahaja pulang dari kerja sebagai kelindan lori di salah sebuah kilang biskut di Batu Pahat.

“Ketika itu, suami berada di Batu Pahat kerana menziarahi kematian salah seorang saudaranya.

“Saya membawanya ke klinik berhampiran, tetapi doktor cadangkan agar suami dirujuk ke Hospital Batu Pahat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Ani Surati berkata, doktor memaklumkan suaminya menghidap  penyakit apendiks dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Hasil pemeriksaan selepas pembedahan mendapati terdapat kesan luka dalam perutnya dan memaksa untuk pembedahan kedua.

“Selama dua minggu berada di hospital, keadaan suami masih lemah dan saya buat keputusan untuk pindahkannya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSf) Muar kerana lebih dekat dengan rumah,” katanya yang menetap di Kampung Parit Jepun, Batu 16 Air Hitam, dekat sini.

Katanya lagi, setelah hampir tiga minggu menjalani rawatan di HPSF, suaminya dibenarkan pulang ke rumah.

Ibu kepada dua anak berusia sembilan dan lima tahun itu berkata, berikutan penyakit ulser itu, suaminya tidak boleh makan sebarang  makanan berbentuk pepejal dan terpaksa bergantung dengan susu khas.

“Selama empat bulan dia berkeadaan seperti itu dan kini, suami sudah boleh makan apa juga bentuk makanan pepejal.

“Namun suami masih tidak boleh berjalan kerana kedua belah kakinya semakin mengecil dan lemah,” katanya.

Keadaan itu membuatkannya tidak betah untuk meninggalkan suami sendirian untuk tempoh  yang lama.

“Jika hantar anak ke sekolah, saya pasti mahu pulang segera kerana bimbang dengan keadaannya. Pernah juga saya bercadang untuk mencari kerja, tetapi apabila melihat keadaan suami terpaksa melupakan hasrat itu,” katanya.

Mengakuinya, pendapatan keluarga sedikit terjejas selepas suami sebagai tempat bergantung terlantar sakit dan tidak boleh bekerja. Namun, dia menganggap ujian itu sebagai takdir dan dia tidak pernah melatah, sebaliknya menerima dugaan itu dengan hati yang terbuka.

“Saya yakin pasti ada hikmah di sebalik ujian yang berlaku ini, pada masa yang sama tidak berputus berdoa agar penyakit suami segera sembuh.

“Saya juga bersyukur kerana ramai pihak prihatin terhadap keluarga ini dan membantu menghulurkan sumbangan,” katanya yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), awal tahun ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Ani Surati Ehwan, 01005-41-00000361-1.

Sinar Harian
19 Sep 2012

Friday, September 14, 2012

Bas Bawa Rombongan Anwar Dibaling Cat Merah Di Muar


MUAR: Sebuah bas yang membawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 18 anggota rombongannya dibaling dengan cat merah oleh dua remaja bermotosikal ketika bas itu berhenti berhampiran Masjid Jamek Bandar Tangkak di Jalan Hasan di sini, Jumaat.

Pemandu bas berkenaan, Faizal Abdul Kadir berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 1.45 tengah hari ketika anggota rombongan Ketua Pembangkang tersebut baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Dua remaja yang menunggang motosikal tiba-tiba berhenti dan menyimbah cat ke atas bahagian sisi kanan bas yang memaparkan gambar Anwar sebelum melarikan diri, katanya kepada Bernama.

"Bas ini membawa 19 penumpang termasuk Anwar, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng," katanya.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.05 petang.

Katanya polis sedang mengenal pasti dua remaja terlibat dan siasatan awal polis mendapati nombor pendaftaran motosikal yang digunakan adalah palsu. -BERNAMA

14 Sep 2012

140 bayi luar nikah diselamatkan


MUAR - Seramai 140 bayi luar nikah di negeri ini berjaya diselamatkan daripada digugur atau dibuang oleh ibu mereka yang kebanyakannya remaja bawah umur berusia di antara 13 hingga 18 tahun sepanjang empat tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak 2009 menunjukkan bayi yang dapat diselamatkan meningkat setiap tahun setelah ibunya ditempatkan di pusat-pusat perlindungan remaja hamil luar nikah.

Katanya, daripada jumlah itu, 23 bayi diselamatkan pada 2009 dengan Johor Bahru mencatatkan bilangan tertinggi iaitu lima bayi diikuti Muar dan Kluang masing-masing empat bayi, Kota Tinggi (3) dan Segamat serta Batu Pahat masing-masing dua bayi, selebihnya di daerah lain.

"Pada tahun 2010, jumlahnya meningkat apabila 39 bayi berjaya diselamatkan iaitu Johor Bahru (10), Muar, Pontian dan Kota Tinggi masing-masing lima bayi manakala Segamat, Muar dan Kluang masing-masing empat bayi dan di Mersing pula dua bayi.

"Bagi 2011, bilangan bayi yang diselamatkan melonjak kepada 70 orang iaitu Johor Bahru (15), Segamat (empat), Batu Pahat (tiga), Kulaijaya (satu) dan selebihnya di daerah lain.

Sehingga Julai lalu pula, sebanyak lapan bayi dari Johor Bahru berjaya diselamatkan dan daerah lain masih belum ada laporan diterima.

"Pada tahun 2009 dan 2010, semua yang diselamatkan adalah bayi berketurunan Melayu manakala pada 2011 terdapat empat bayi Cina dan dua bayi India sementara selebihnya bayi Melayu. Pada tahun ini pula semuanya melibatkan bayi Melayu," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di Sungai Balang di sini kelmarin.

Katanya, bayi-bayi tersebut dapat diselamatkan apabila remaja yang mengandung luar nikah atau ibu bapa mereka mempunyai kesedaran lalu menghantar anak-anaknya ke pusat-pusat kebajikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang itu memberitahu, di pusat-pusat kebajikan berkenaan, remaja bawah umur yang hamil itu akan dijaga dengan baik sehingga selamat melahirkan anak mereka.

Jelasnya, penghuni pusat itu juga dilatih sepenuhnya mengenai proses penjagaan bayi, selain diberi latihan dan kemahiran sebagai bekalan bagi meneruskan kehidupan selepas meninggalkan pusat itu.

Ujarnya, terdapat tiga pusat penjagaan di negeri ini yang semuanya terletak di Johor Bahru dan pihaknya bercadang membina sebuah lagi di daerah ini bagi menampung bilangan remaja hamil luar nikah yang jumlahnya meningkat saban tahun.

Kosmo 14 Sep 2012

Wednesday, September 12, 2012

Maut angkara cinta ditolak



ANAK panah menunjukkan arah Nurul Syafika terjatuh lalu mati di Kondominium PV13, Setapak semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang gadis yang kecewa apabila cintanya tidak dibalas sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada rakan-rakan dan kenalan lelakinya sebelum dia maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 di Kondominium PV13, Jalan Genting Klang, Setapak di sini semalam.

Kejadian pukul 4 pagi itu mengakibatkan Nurul Syafika Jamaluddin, 24, maut akibat cedera parah di kepala dan badan. Mangsa dikatakan baru menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang penghuni kondominium yang terdengar bunyi seperti objek terjatuh dan sebaik ditinjau, dia terkejut apabila menemui mangsa yang lengkap berpakaian dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah.

Difahamkan, mangsa menyewa bersama abangnya di Seri Kembangan, Selangor dan datang ke premis itu untuk bertemu dengan teman lelakinya yang menetap di tingkat 23. Mereka berkenalan sejak tiga bulan lalu dan lelaki itu merupakan seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.

"Ketika kejadian, lelaki berusia 24 tahun tersebut tiada di rumah dan mangsa memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci pendua.

"Siasatan awal percaya mangsa terjatuh kerana mempunyai masalah peribadi selepas cintanya ditolak namun motif sebenar kejadian masih disiasat," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Muar, Johor dikatakan sempat menghantar SMS kepada abangnya memaklumkan dia akan pulang ke rumah. Mangsa turut menghantar SMS memohon maaf kepada rakan-rakan termasuk kenalan lelakinya itu.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, dia menyedari kejadian itu ketika bangun untuk menunaikan solat dan terdengar bunyi kecoh di luar bangunan.

"Saya tidak pernah nampak dia (mangsa) sebelum ini, tetapi difahamkan dia terjatuh ketika berada di tingkat 23," dakwanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kosmo
12 Sep 2012

Tuesday, September 11, 2012

Jual belon sara keluarga


Muzakar berkerusi roda menjual belon gas di merata tempat untuk menyara keluarganya.

MUAR - Berkerusi roda sambil menahan panas terik matahari semata-mata untuk  menjual belon gas adalah rutin harian yang terpaksa dilalui, Muzakar Mohamad, 60, sejak dua bulan lalu.

Kelibat warga emas ini bersama belon gas sering kelihatan di tapak pasar malam, pasar hujung minggu dan ekspo di sekitar Seremban, Negeri Sembilan serta  beberapa lokasi  di  Muar.

Muzakar berkata, dia menjadi penjual belon gas selepas bergelar orang kurang upaya (OKU), apabila  kaki kirinya dipotong setahun lalu, kesan daripada  penyakit kencing manis yang dihidapinya pada 1994.

Menurutnya, sejak itu dia kehilangan keupayaan untuk melakukan pekerjaan berat termasuk meneruskan pekerjaan asal iaitu  mengambil upah memasak makanan tempahan pelanggan.

“Dengan satu kaki ini, pergerakan saya terbatas dan perlu bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak.

“Saya tiada pilihan dan sanggup menjadi penjual belon gas kerana sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan keadaan diri ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Karnival Gempak Merdeka @Pagoh di Padang Kompleks Sukan Pagoh , baru-baru ini.

Tambahnya, meskipun terpaksa berpanas dan kadang-kala berhujan, dia menempuh kesukaran itu dengan penuh kerelaan demi sesuap nasi untuk menyara isteri dan dua anaknya.

Jelasnya, selepas potong kaki, pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk menjual sate di pasar malam tetapi tidak kekal lama kerana kurang mendapat sambutan.

“Satu hari, saya berkenalan dengan tauke menjual belon gas dan dia kemudiannya menawarkan pekerjaan ini kepada saya. Dia membawa saya ke mana sahaja ada tapak ekspo, pasar malam dan pasar minggu untuk membantunya menjual belon gas termasuk beberapa lokasi di Muar,” katanya.

Muzakar berkata, dia sangat bersyukur apabila ditawarkan pekerjaan itu dan menganggap ia sebagai peluang untuk meneruskan kehidupannya sekeluarga.

Dia yang menetap di Seremban berkata, upah yang diterima bergantung kepada jumlah belon yang berjaya dijualnya.

“Jika banyak belon terjual, banyaklah upah yang diperoleh, begitulah sebaliknya.

“Pendapatan saya tidak menentu jadi terpaksa berjimat cermat untuk menampung  perbelanjaan keluarga termasuk menjelaskan sewa bulanan rumah RM200 dan menanggung persekolahan anak, Mohd Shafie, 14,” katanya yang baru lima bulan menerima bantuan daripada Baitulmal.

Tambahnya, anak sulungnya, Mohd Shukri, 18, yang baru menamatkan persekolahan turut membantu meringankan beban keluarga dengan bekerja membantu rakannya berniaga di Seremban.

Jelasnya, jika boleh dia mahu melihat Mohd Shukri menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tetapi masalah kewangan menyebabkan hasrat ini dipendam  dan merelakan anak bekerja untuk membantu keluarga.

“Walaupun terpaksa berniaga banyak lokasi dalam keadaan diri tidak sempurna, ia bukan halangan mencari sesuap nasi,” katanya yang ditemani isteri, Kasmaidah Baharul.

Sinar Harian
11 Sep 2012

Lelaki menyamar musafir curi wang tabung masjid


MUAR - Misteri kehilangan wang tabung di Masjid Sultan Ibrahim di sini, terjawab dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 21 tahun, 3 September lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek sangat dikehendaki kerana begitu licik menjalankan kegiatan tersebut dengan berpura-pura bermusafir dan menumpang tidur di masjid berkenaan pada waktu malam.

Menurutnya, tetapi sebenarnya suspek mempunyai muslihat dengan menggunakan taktik itu untuk mencuri wang tabung masjid.

“Dia diberkas jam 3 pagi oleh seorang anggota polis yang menyamar sebagai jemaah semasa suspek sedang leka mencuri wang dari salah satu tabung di masjid berkenaan.

“Suspek menggunakan satu dawai yang ubah suai menjadi pencangkuk dan dilekatkan  gam di bahagian hujungnya sebelum memasukkan ia ke dalam lubang tabung untuk menarik wang kertas,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, cara itu digunakan kerana tabung diperbuat daripada besi dan berat untuk ditarik atau dilarikan selain berkunci.

Katanya, semasa ditahan suspek sudah berjaya menarik keluar RM210.

Mohamad Nasir berkata, kehilangan wang itu disedari pihak pengurusan masjid berkenaan setelah mendapati wang tabung berkurangan sejak April lalu, ketika pengiraan setiap hari Jumaat.

“Keadaan ini mendorong pihak pengurusan masjid membuat laporan polis dan hasil kerjasama polis termasuk menggunakan pendekatan penyamaran anggota sebagai jemaah telah berjaya memberkas suspek.

“Suspek sangat licik dan akan tidur beberapa hari dalam seminggu bagi mengelakkan kegiatannya dikesan pengurusan masjid,” katanya.

Tambahnya, suspek sebelum ini pernah mempunyai rekod lampau bersabit kes pecah rumah yang dilakukannya ketika masih bawah umur dan pernah menjalani pemulihan.

“Suspek baru dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, April lalu  setelah memasukinya pada 2007 dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian 11 Sep 2012

Monday, September 10, 2012

Diperdaya RM109,570 akibat tamak hadiah wang RM155,000


MUAR 6 Sept. - Akibat gelap mata kerana mahu mendapatkan hadiah wang tunai RM155,000, seorang pekerja kilang akhirnya kerugian sebanyak RM109,570 selepas diperdaya oleh satu sindiket yang berselindung di sebalik ejen jualan langsung.

Mangsa berusia 58 tahun dari Tanjung Agas di sini, ditipu sejak September tahun lalu hingga awal bulan ini dengan melakukan 13 transaksi pembayaran wang tanpa menyedari diperdaya sindiket itu yang bijak menipu.

Wanita tersebut hanya menyedari ditipu selepas mengadu kepada anak saudaranya, hadiah wang yang dijanjikan selepas membeli mesin penapis air dan mesin terapi kaki dengan harga RM1,500, tidak diperoleh hingga kini.

Mesin tersebut dibeli daripada seorang lelaki dan wanita yang menjalankan perniagaan jualan langsung di rumahnya pada 5 September lalu dengan mangsa diminta membayar wang insurans RM10,000 untuk kedua-dua peralatan tersebut sebelum ditawarkan hadiah wang RM155,000.

Berikutan itu, anak saudara wanita tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pihak yang menjual mesin penapis air berkenaan dan mendapati syarikat itu tidak wujud seperti didakwa sebelum mangsa membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, selepas mengetahui kegiatan tersebut disedari mangsa, sindiket terbabit berhenti menghubungi wanita itu dan sehingga kini tidak dapat dihubungi.

"Kita menyiasat pasangan itu yang kedua-duanya berusia 30-an. Penipuan yang dilakukan adalah secara berkumpulan dengan menawarkan hadiah. Sebanyak 13 transaksi telah dilakukan yang mengakibatkan kerugian RM109,570.

"Sindiket itu bijak memperdaya dengan menggunakan taktik tertentu termasuk menggunakan nama Bank Negara bagi meyakinkan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Pihaknya kini berusaha mengesan sindiket tersebut melalui nombor akaun yang diberikan serta maklumat daripada mangsa dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kes berlainan, pihaknya membongkar satu kegiatan meleraikan motosikal curi di belakang sebuah rumah di Parit Punggor di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 28 Ogos lalu.

Pada serbuan itu, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan manakala rakannya yang berusia 21 tahun turut ditangkap di Parit Unas.

Mohamad Nasir berkata, polis menjumpai dua motosikal curi dan komponen yang dileraikan antaranya enjin, ekzos dan brek cakera di belakang rumah remaja tersebut yang dijadikan bengkel.

Utusan
7 Sep 2012

Cedera ditetak


MUAR 6 Sept. - Seorang peniaga cedera parah di pergelangan tangan kanan setelah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai ah long kerana gagal melunaskan hutang RM2,000 yang dipinjamnya setahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam itu, mangsa yang memandu kereta bersendirian dari pusat bandar dipintas di Jalan Sungai Abong berhampiran pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh kereta suspek.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek lelaki yang berusia 34 tahun itu menghampiri kenderaan mangsa sambil menunjukkan parang ke arahnya.

"Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek melarikan diri sejauh 30 meter, tetapi dihalang oleh suspek sebelum tangannya ditetak.

"Secara kebetulan, ada anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut lalu menahan suspek kira-kira 15 minit kemudian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan bersama sebilah parang yang digunakan ketika kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk rawatan.

Menurutnya, suspek ditahan reman seminggu hingga 12 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kata beliau, polis menahan empat lelaki berumur 15 hingga 21 tahun, pukul 5.35 petang Isnin lalu kerana terlibat dalam satu kes pecah sekolah di Parit Yusof, Sungai Balang dekat sini pada Mei 2011.

Dalam serbuan di rumah suspek di Batu Pahat, polis merampas komputer riba dan sebuah motosikal yang dicuri dari sekolah tersebut.

"Mereka ditahan terdiri daripada dua remaja yang tidak lagi bersekolah berusia 15 dan 17 tahun, manakala seorang lagi rakannya berumur 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan," katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A (i) Kanun Keseksaan.

Utusan
7 Sep 2012

Pangsapuri jadi makmal proses dadah


Muar: Tiga unit pangsapuri mewah dekat Apartmen Pemandangan Tanjung di sini, dijadikan sebagai makmal memproses dadah dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Tiga premis diserbu 

Bagaimanapun, kegiatan yang didalangi satu sindiket itu berjaya ditumpaskan apabila ketiga-tiga premis itu diserbu polis awal pagi semalam.

Serbuan terhadap tiga unit kediaman yang terletak di tingkat bawah, satu dan dua, sebuah dari blok apartmen yang terletak di Jalan Junid itu dilakukan pada jam 6 pagi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Muar.

Susulan serbuan itu, polis setakat ini menahan sekurang-kurangnya tiga suspek berusia antara 20 hingga 50an, untuk membantu siasatan lanjut berhubung operasi makmal dadah berkenaan.

Polis dikatakan menemui sejumlah besar pelbagai jenis dadah yang disembunyikan dalam tiga unit kediaman terbabit serta peralatan memproses dadah yang berpusat di situ.

Sindiket dadah itu dipercayai memanfaatkan sistem keselamatan ketat pada pangsapuri terbabit bagi mengelak operasi mereka dikesan polis kerana semua pengunjung ke situ perlu melalui tapisan pengawal keselamatan.

Sehingga lewat petang semalam, anggota Forensik Polis Johor masih berada di tiga kediaman terbabit bagi mengenal pasti nilai dan jumlah sebenar dadah di situ, dikatakan lebih besar daripada rampasan bernilai RM18 juta yang dibuat Polis Johor di Pontian pada Jun lalu.

Berita Harian
10 Sep 2012

Kehidupan mewah terbongkar


BEBERAPA anggota polis membawa dadah yang dirampas di sebuah apartmen yang dijadikan makmal dadah di Jalan Junid, Muar, Johor, semalam.

MUAR 9 Sept. - Misteri kehidupan mewah sepasang suami isteri yang tidak bekerja terbongkar selepas polis menemui makmal memproses dadah dan merampas bahan terlarang tersebut bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah apartmen mewah di Jalan Junid di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kira-kira 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan daerah menemui pelbagai jenis dadah antaranya syabu, heroin, ekstasi dan Eramin 5.

Menurut sumber polis, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun di tiga unit apartmen yang disewa oleh pasangan itu.

Utusan
10 Sep 2012

Polis Johor Tahan Tujuh Individu, Rampas Dadah Bernilai RM68 Juta

MUAR: Polis Johor menahan tujuh suspek dan merampas dadah seberat 1.17 tan metrik bernilai RM68 juta, iaitu rampasan terbesar di Johor setakat ini, menerusi beberapa operasi di sekitar bandar ini pada Ahad.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata operasi dilakukan di tiga unit pangsapuri di Pangsapuri Pemandang Tanjung, Jalan Junid dan dua rumah di sekitar kawasan itu pada pukul 6.30 pagi.

"Suspek lima lelaki dan dua wanita yang berumur 24 hingga 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket mengedar dadah dengan menjadikan dua unit rumah di pangsapuri itu sebagai makmal memproses barangan larangan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini Rabu.

Beliau berkata dadah yang dirampas ialah 34.045 kilogram syabu, heroin (13.915 kg), ketamin (41.825 kg), ecstasy (392.540 kg), Eramine 5 (30,500 biji) dan kafein (698.875 kg).

Selain pelbagai peralatan memproses dadah, polis turut merampas sepucuk pistol dan tujuh butir peluru, wang tunai RM9,268, barangan kemas bernilai RM6,704, sebuah Toyota Estima dan kereta jenis Peugeot, katanya.

Katanya dadah yang dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan luar negara itu mampu menampung 2.2 juta penagih.

Menurut Mohd Mokhtar, sebuah daripada pangsapauri terbabit dijadikan tempat menternak ikan kelisa untuk jualan dengan dilengkapi lebih 100 akuarium untuk mengaburi mata jiran dan pihak berkuasa.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati tiga daripada lima lelaki serta dua wanita berkenaan positif dadah jenis metaphetamin.

"Semakan rekod mendapati dua daripada lima lelaki itu juga mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya semua yang ditahan itu direman sehingga Ahad ini dan polis menggiatkan usaha untuk mengesan saki-baki anggota sindiket itu yang masih bebas. - BERNAMA

12 Sep 2012

3 didakwa miliki 453.5 kg dadah

Salah seorang daripada tiga ahli sindiket dadah didakwa di Mahkamah Majistret, semalam dengan 26 pertuduhan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat 453.5 kilogram.


MUAR – Dua lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam  didakwa dengan 26 pertuduhan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 453.5 kilogram, di sebuah pangsapuri dekat Jalan Junid pada 9 September lalu.

Kesemua pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah di hadapan Majistret, Suzana Mokhtar.

Tertuduh, Lim Kih Chong, 31, dari Yong Peng, Johor berdepan 10 pertuduhan, manakala rakannya, Chye Mei Chuan, 42, dari Taman Indah, dekat sini, dan Norizah Arpah, 24, dari Klang, Selangor, masing-masing dituduh melakukan lapan kesalahan membabitkan Seksyen 39B

Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kih Chong menghadapi 10 pertuduhan termasuk dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar dadah disyaki syabu seberat 1,015 gram (g) dan pil ekstasy dengan berat kasar 645g pada kira-kira jam 6.30 pagi di sebuah unit rumah di tingkat satu, Blok B, Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid, dekat sini.

Pertuduhan lain membabitkan dengan niat bersama-sama Norizah dan Mei Chuan mengedar pil ekstasi seberat kira-kira 309,030g dan erimin 5 seberat 1,500g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama pada kira-kira jam 6.30 pagi hari yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh turut didakwa secara bersama mengedar syabu seberat kira-kira 22,459g, pil ekstasi seberat 77,740g serta erimin 5 seberat  7,250g di sebuah unit rumah di tingkat dua pangsapuri sama.

Tiga tuduhan terakhir membabitkan secara bersama mengedar 10,611g syabu, heroin (21,745g) serta candu seberat 1,560g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama.

Nor Hafizah menetapkan 9 November depan  untuk mendapatkan keputusan laporan daripada Jabatan Kimia bagi semua pertuduhan dan tidak membenarkan sebarang jaminan buat tertuduh.

Pada 9 September lalu, polis Johor berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar di negeri itu bernilai RM68 juta dengan menjadikan tiga rumah di Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid sebagai makmal memproses dadah.

Sinar Harian
22 Sep 2012



Saturday, September 8, 2012

Kegiatan lerai komponen motosikal curi terbongkar


Mohamad Nasir menunjukkan komponen motosikal yang dirampas selepas menahan dua lelaki di sebuah bengkel di Parit Punggur, Jalan Abdul Rahman, 28 Ogos lalu.

MUAR - Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya membongkar kegiatan meleraikan komponen motosikal curi di sebuah bengkel di Parit Punggur, Jalan Abdul Rahman di sini, 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pembongkaran kegiatan tersebut diperoleh menerusi maklumat risikan anggotanya, beberapa hari sebelum tangkapan.

Menurutnya, polis berjaya mengesan dua suspek yang terlibat dan mereka ditahan kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.

“Seorang suspek yang ditangkap berusia 21 tahun, manakala seorang lagi berusia 16 tahun dan tidak bersekolah serta merupakan penduduk kampung berkenaan.

“Ketika serbuan, suspek berada dalam stor kecil yang dijadikan bengkel untuk meleraikan komponen motosikal curi,” katanya pada sidang media di IPD Muar, semalam.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan di bengkel yang terletak kira-kira 15 meter di belakang rumah suspek berusia 16 tahun itu, turut ditemui dua motosikal curi termasuk komponen-komponen motosikal yang sudah dileraikan.

“Antara komponen yang dijumpai seperti enjin, ekzos, brek cakera dan kotak gear.

“Pondok ini dipercayai menjadi tempat meleraikan komponen motosikal sebelum dijual kepada rakan dan  kegunaan mereka sendiri untuk tujuan merempit,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, polis tidak dapat mengenal pasti tempoh motosikal itu dicuri kerana nombor casisnya telah dipadam.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek baru sahaja terlibat dalam kegiatan ini sejak beberapa bulan lalu dan ia merupakan sebagai pekerjaan utama mereka.

“Mereka ditahan reman selama seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
8 Sep 2012

Friday, September 7, 2012

UniMAP bina kampus di Pagoh


KULIM 4 Sept. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mendapat persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membina sebuah kampus baru di Pagoh, Johor mulai tahun depan.

Selain itu, kampus cawangannya di Kulim Hitech Park di sini juga bakal dinaik taraf bagi melatih para pelajar untuk memenuhi kehendak pasaran industri pada masa akan datang.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Hussin berkata, bagaimanapun kos bagi pembinaan kampus baru itu dan menaik taraf cawangan itu masih dalam penelitian pihaknya.

"Pembinaan kampus di Pagoh adalah melalui pemaju utamanya Sime Darby Bhd.

"Pihak UniMAP telah pun berunding dengan Presiden Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Mohammad Sobri Othman mengenai pembinaan bangunan universiti itu di sini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya UniMAP-Industri di Anjung UniMAP Kulim, baru-baru ini.

Berdasarkan pasaran tenaga kerja industri, beliau berkata, sebanyak 50 peratus daripada 1,500 graduan UniMAP yang menamatkan pengajian dan bakal menghadiri majlis konvokesyen penghujung September ini telah berjaya mendapat pekerjaan masing-masing.

"Ini menandakan UniMAP berjaya mengeluar pelajarnya berkualiti bagi memenuhi keperluan industri di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, bagi graduan perniagaan antarabangsa, mereka diwajibkan menguasai bahasa asing seperti Mandarin, Jepun, Jerman, Arab dan Thailand.

"Saya juga gembira kerana syarikat Philips Lumiled Penang, merupakan antara industri terawal menemuduga dan mengambil pelajar perniagaan sebagai tenaga kerja mereka, baru-baru ini," kata Kamarudin lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak industri yang berminat bekerjasama dengan UniMAP khususnya mendapatkan maklumat mengenai graduan yang memenuhi keperluan industri, boleh menghubungi email: yufridin@unimap.edu.my.

Utusan 5 Sep 2012

Wednesday, September 5, 2012

Adun Bentayan masuk wad akibat cedera ditolak



MUAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Gwee Tong Hiang dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana disyaki mengalami kecederaan di kepala selepas ditolak seseorang semasa menghadiri Jamuan Makan Malam anjuran DAP Bahagian Muar dan Bakri, kelmarin.


Tong Hiang ketika menerima lawatan wartawan di HPSF memberitahu, pada mulanya beliau ditahan dua wanita di majlis itu.

"Mereka sangka saya tidak mempunyai tiket untuk menghadiri makan malam berkenaan.

"Namun, ketika ingin memaklumkan mereka saya ada tiket, tiba-tiba seseorang menolak saya sehingga terjatuh," katanya.

Menurutnya, beliau memang tidak tahu siapa yang melakukan tindakan sedemikian, tetapi mengesyaki individu terbabit adalah ahli parti.

Beliau berkata, majlis makan malam itu turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bagaimanapun kejadian itu berlaku sebelum ketibaan pemimpin itu.

“Walaupun rasa sakit dan pening kepala, saya tetap menunggu sehingga Guan Eng selesai berucap sebelum meninggalkan majlis untuk pulang ke rumah.

“Di rumah, saya muntah beberapa kali sehingga isteri, Gan Sey Hui terpaksa hantar saya ke hospital,” katanya.

Menurutnya, beliau diberi rawatan kecemasan dan ditahan dalam wad.

Katanya, pegawai perubatan mengesahkan beliau mengalami beberapa kecederaan di kepala dan perlu menjalani pemeriksaan imbasan otak.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, keadaan Tong Hiang kini stabil.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, beliau tidak mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku dan tidak dapat mengulas lanjut.


Sinar Harian
5 September 2012



Perkeso beri diskaun 75 peratus


MUAR - Tawaran diskaun sebanyak 75 peratus diberikan kepada majikan yang dikenakan kompaun kerana lewat mendaftar perniagaan dan pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daerah Muar sempena Operasi Ops Kesan Bersepadu Perkeso Johor.

Pengurus Perkeso Muar, Jamalluddin Mohammad berkata, operasi selama dua hari bermula semalam, membabitkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan Ledang.

Menurutnya, diskaun tersebut hanya sah dalam tempoh tujuh hari selepas dikenakan kompaun. Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh itu, maka majikan perlu menjelaskan bayaran penuh.

“Saya menasihati majikan supaya membuat bayaran segera di Pejabat Perkeso berhampiran bagi mengelakkan mereka rasa terbeban dengan kompaun yang dikenakan.

“Jumlah bayaran bagi setiap kesalahan berbeza mengikut tempoh kelewatan majikan mendaftarkan perniagaan dan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jamalluddin berkata, operasi itu disertai 70 anggota terdiri daripada Perkeso Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Johor Bahru.

Jelasnya, operasi yang dilakukan semalam meliputi premis di kawasan Bukit Gambir Ledang, Bukit Bakri dan  Bukit Pasir.

“Kita membuat pemeriksaan hampir 100 kedai oleh tiga kumpulan anggota Perkeso dan setakat jam 3 petang hari ini (semalam) berjaya mengesan majikan yang masih tidak  mendaftar perniagaan dan pekerja dengan Perkeso,” katanya.

Tambahnya, pada pemeriksaan itu, majikan berkenaan telah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan itu dikenakan kompaun sebanyak  RM1,500.

Menurutnya, kesalahan majikan terbabit tertakluk mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Jamalluddin berkata, operasi tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada majikan agar mengutamakan kebajikan dan keselamatan pekerja melalui cara  mendaftarkan perniagaan dan pekerja dengan Perkeso.

“Jika sebarang kecelakaan menimpa pekerja, mereka (pekerja) boleh membuat tuntutan pampasan atau pencen ilat dengan Perkeso untuk sara hidup. Majikan tidak sepatutnya menggunakan alasan tidak tahu apabila disiasat tidak berdaftar dengan
Perkeso semasa operasi.

“Operasi kali kedua, selepas diadakan di Mersing pada Julai lalu akan diperluaskan di  seluruh Johor,” katanya.

Sinar Harian
4 Sep 2012

Monday, September 3, 2012

Muar bakal diisytihar Bandar Diraja


ABDUL Rahman Dewam (kiri) dan Amran Abd. Rahman menandatangani dokumen untuk serah terima tugas sebagai Pegawai Daerah Muar pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 2 Sept. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memilih untuk menyambut Hari Keputeraan baginda yang ke-54 pada November ini di daerah ini, sekali gus mengisytiharkan secara rasminya bandar ini sebagai Bandar Diraja.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Dewam berkata, tarikh dan tempat sambutan bagi dua acara penting yang dianjur serentak itu akan diumumkan selepas baginda memutuskan perkara berkenaan tidak lama lagi.

"Untuk itu semua kakitangan kerajaan, pemimpin parti politik dan rakyat khususnya di Muar perlu menyahut dan memberi sokongan padu dengan pengisytiharan bandar Muar yang sebelum ini dikenali sebagai Bandar Maharani menjadi Bandar Diraja.

"Ini merupakan satu penghormatan bagi penduduk di Muar kerana bertuah dipilih sebagai Bandar Diraja yang telah diisytiharkan awal tahun ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut turut diadakan acara serah tugas daripada bekas Pegawai Daerah, Amran Abd. Rahman yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Johor Bahru pada Julai lalu kepada Abdul Rahman.

Abdul Rahman turut mengingatkan penjawat awam supaya komited dengan tugas masing-masing dan semua pihak tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang diminta menyokong rancangan menjadikan daerah ini sebagai Bandar Diraja.

Beliau berkata, usaha keras perlu dilakukan untuk memastikan bandar ini sentiasa berada dalam keadaan cantik, bersih dan aman selaras dengan kehendak Sultan Johor yang mahukan bandar ini menjadi contoh kepada daerah lain.

"Dalam pada itu, penduduk Muar beruntung kerana daerah ini bukan sahaja diisytiharkan sebagai Bandar Diraja tetapi bersebelahan Pagoh yang bakal menjadi hab pendidikan utama negara seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai rancangan menjadikan Pagoh sebagai Bandar Universiti dan pusat pertumbuhan baru dalam beberapa tahun akan datang. Kita percaya hab pendidikan dan pusat pertumbuhan yang dirancang di Pagoh itu akan menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Utusan 2 Sep 2012