Saturday, September 8, 2012

Kegiatan lerai komponen motosikal curi terbongkar


Mohamad Nasir menunjukkan komponen motosikal yang dirampas selepas menahan dua lelaki di sebuah bengkel di Parit Punggur, Jalan Abdul Rahman, 28 Ogos lalu.

MUAR - Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya membongkar kegiatan meleraikan komponen motosikal curi di sebuah bengkel di Parit Punggur, Jalan Abdul Rahman di sini, 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pembongkaran kegiatan tersebut diperoleh menerusi maklumat risikan anggotanya, beberapa hari sebelum tangkapan.

Menurutnya, polis berjaya mengesan dua suspek yang terlibat dan mereka ditahan kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.

“Seorang suspek yang ditangkap berusia 21 tahun, manakala seorang lagi berusia 16 tahun dan tidak bersekolah serta merupakan penduduk kampung berkenaan.

“Ketika serbuan, suspek berada dalam stor kecil yang dijadikan bengkel untuk meleraikan komponen motosikal curi,” katanya pada sidang media di IPD Muar, semalam.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan di bengkel yang terletak kira-kira 15 meter di belakang rumah suspek berusia 16 tahun itu, turut ditemui dua motosikal curi termasuk komponen-komponen motosikal yang sudah dileraikan.

“Antara komponen yang dijumpai seperti enjin, ekzos, brek cakera dan kotak gear.

“Pondok ini dipercayai menjadi tempat meleraikan komponen motosikal sebelum dijual kepada rakan dan  kegunaan mereka sendiri untuk tujuan merempit,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, polis tidak dapat mengenal pasti tempoh motosikal itu dicuri kerana nombor casisnya telah dipadam.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek baru sahaja terlibat dalam kegiatan ini sejak beberapa bulan lalu dan ia merupakan sebagai pekerjaan utama mereka.

“Mereka ditahan reman selama seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
8 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment