MUAR - Misteri kehilangan wang tabung di Masjid Sultan Ibrahim di sini, terjawab dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 21 tahun, 3 September lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek sangat dikehendaki kerana begitu licik menjalankan kegiatan tersebut dengan berpura-pura bermusafir dan menumpang tidur di masjid berkenaan pada waktu malam.
Menurutnya, tetapi sebenarnya suspek mempunyai muslihat dengan menggunakan taktik itu untuk mencuri wang tabung masjid.
“Dia diberkas jam 3 pagi oleh seorang anggota polis yang menyamar sebagai jemaah semasa suspek sedang leka mencuri wang dari salah satu tabung di masjid berkenaan.
“Suspek menggunakan satu dawai yang ubah suai menjadi pencangkuk dan dilekatkan gam di bahagian hujungnya sebelum memasukkan ia ke dalam lubang tabung untuk menarik wang kertas,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, cara itu digunakan kerana tabung diperbuat daripada besi dan berat untuk ditarik atau dilarikan selain berkunci.
Katanya, semasa ditahan suspek sudah berjaya menarik keluar RM210.
Mohamad Nasir berkata, kehilangan wang itu disedari pihak pengurusan masjid berkenaan setelah mendapati wang tabung berkurangan sejak April lalu, ketika pengiraan setiap hari Jumaat.
“Keadaan ini mendorong pihak pengurusan masjid membuat laporan polis dan hasil kerjasama polis termasuk menggunakan pendekatan penyamaran anggota sebagai jemaah telah berjaya memberkas suspek.
“Suspek sangat licik dan akan tidur beberapa hari dalam seminggu bagi mengelakkan kegiatannya dikesan pengurusan masjid,” katanya.
Tambahnya, suspek sebelum ini pernah mempunyai rekod lampau bersabit kes pecah rumah yang dilakukannya ketika masih bawah umur dan pernah menjalani pemulihan.
“Suspek baru dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, April lalu setelah memasukinya pada 2007 dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sinar Harian 11 Sep 2012
0 comments:
Post a Comment