Wednesday, September 5, 2012

Perkeso beri diskaun 75 peratus


MUAR - Tawaran diskaun sebanyak 75 peratus diberikan kepada majikan yang dikenakan kompaun kerana lewat mendaftar perniagaan dan pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daerah Muar sempena Operasi Ops Kesan Bersepadu Perkeso Johor.

Pengurus Perkeso Muar, Jamalluddin Mohammad berkata, operasi selama dua hari bermula semalam, membabitkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan Ledang.

Menurutnya, diskaun tersebut hanya sah dalam tempoh tujuh hari selepas dikenakan kompaun. Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh itu, maka majikan perlu menjelaskan bayaran penuh.

“Saya menasihati majikan supaya membuat bayaran segera di Pejabat Perkeso berhampiran bagi mengelakkan mereka rasa terbeban dengan kompaun yang dikenakan.

“Jumlah bayaran bagi setiap kesalahan berbeza mengikut tempoh kelewatan majikan mendaftarkan perniagaan dan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jamalluddin berkata, operasi itu disertai 70 anggota terdiri daripada Perkeso Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Johor Bahru.

Jelasnya, operasi yang dilakukan semalam meliputi premis di kawasan Bukit Gambir Ledang, Bukit Bakri dan  Bukit Pasir.

“Kita membuat pemeriksaan hampir 100 kedai oleh tiga kumpulan anggota Perkeso dan setakat jam 3 petang hari ini (semalam) berjaya mengesan majikan yang masih tidak  mendaftar perniagaan dan pekerja dengan Perkeso,” katanya.

Tambahnya, pada pemeriksaan itu, majikan berkenaan telah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan itu dikenakan kompaun sebanyak  RM1,500.

Menurutnya, kesalahan majikan terbabit tertakluk mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Jamalluddin berkata, operasi tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada majikan agar mengutamakan kebajikan dan keselamatan pekerja melalui cara  mendaftarkan perniagaan dan pekerja dengan Perkeso.

“Jika sebarang kecelakaan menimpa pekerja, mereka (pekerja) boleh membuat tuntutan pampasan atau pencen ilat dengan Perkeso untuk sara hidup. Majikan tidak sepatutnya menggunakan alasan tidak tahu apabila disiasat tidak berdaftar dengan
Perkeso semasa operasi.

“Operasi kali kedua, selepas diadakan di Mersing pada Julai lalu akan diperluaskan di  seluruh Johor,” katanya.

Sinar Harian
4 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment