Muzakar berkerusi roda menjual belon gas di merata tempat untuk menyara keluarganya.
MUAR - Berkerusi roda sambil menahan panas terik matahari semata-mata untuk menjual belon gas adalah rutin harian yang terpaksa dilalui, Muzakar Mohamad, 60, sejak dua bulan lalu.
Kelibat warga emas ini bersama belon gas sering kelihatan di tapak pasar malam, pasar hujung minggu dan ekspo di sekitar Seremban, Negeri Sembilan serta beberapa lokasi di Muar.
Muzakar berkata, dia menjadi penjual belon gas selepas bergelar orang kurang upaya (OKU), apabila kaki kirinya dipotong setahun lalu, kesan daripada penyakit kencing manis yang dihidapinya pada 1994.
Menurutnya, sejak itu dia kehilangan keupayaan untuk melakukan pekerjaan berat termasuk meneruskan pekerjaan asal iaitu mengambil upah memasak makanan tempahan pelanggan.
“Dengan satu kaki ini, pergerakan saya terbatas dan perlu bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak.
“Saya tiada pilihan dan sanggup menjadi penjual belon gas kerana sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan keadaan diri ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Karnival Gempak Merdeka @Pagoh di Padang Kompleks Sukan Pagoh , baru-baru ini.
Tambahnya, meskipun terpaksa berpanas dan kadang-kala berhujan, dia menempuh kesukaran itu dengan penuh kerelaan demi sesuap nasi untuk menyara isteri dan dua anaknya.
Jelasnya, selepas potong kaki, pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk menjual sate di pasar malam tetapi tidak kekal lama kerana kurang mendapat sambutan.
“Satu hari, saya berkenalan dengan tauke menjual belon gas dan dia kemudiannya menawarkan pekerjaan ini kepada saya. Dia membawa saya ke mana sahaja ada tapak ekspo, pasar malam dan pasar minggu untuk membantunya menjual belon gas termasuk beberapa lokasi di Muar,” katanya.
Muzakar berkata, dia sangat bersyukur apabila ditawarkan pekerjaan itu dan menganggap ia sebagai peluang untuk meneruskan kehidupannya sekeluarga.
Dia yang menetap di Seremban berkata, upah yang diterima bergantung kepada jumlah belon yang berjaya dijualnya.
“Jika banyak belon terjual, banyaklah upah yang diperoleh, begitulah sebaliknya.
“Pendapatan saya tidak menentu jadi terpaksa berjimat cermat untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk menjelaskan sewa bulanan rumah RM200 dan menanggung persekolahan anak, Mohd Shafie, 14,” katanya yang baru lima bulan menerima bantuan daripada Baitulmal.
Tambahnya, anak sulungnya, Mohd Shukri, 18, yang baru menamatkan persekolahan turut membantu meringankan beban keluarga dengan bekerja membantu rakannya berniaga di Seremban.
Jelasnya, jika boleh dia mahu melihat Mohd Shukri menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tetapi masalah kewangan menyebabkan hasrat ini dipendam dan merelakan anak bekerja untuk membantu keluarga.
“Walaupun terpaksa berniaga banyak lokasi dalam keadaan diri tidak sempurna, ia bukan halangan mencari sesuap nasi,” katanya yang ditemani isteri, Kasmaidah Baharul.
Sinar Harian
11 Sep 2012
0 comments:
Post a Comment