Wednesday, September 19, 2012

Mengharap suami segera sembuh


Ani Surati setia menguruskan suaminya tanpa jemu sejak setahun lalu.

MUAR – “Tiada apa yang saya harapkan, selain mahu melihat suami sembuh seperti sediakala,” demikian luahan Ani Surati Ehwan, 49.

Suaminya, Yahya Jailani, 47, kini terlantar kesan daripada penyakit apendiks dan ulser perut yang dihidapinya setahun lalu.

Menurutnya, penyakit itu menyerang suaminya secara mengejut sehingga menyebabkan hampir pitam sebaik sahaja pulang dari kerja sebagai kelindan lori di salah sebuah kilang biskut di Batu Pahat.

“Ketika itu, suami berada di Batu Pahat kerana menziarahi kematian salah seorang saudaranya.

“Saya membawanya ke klinik berhampiran, tetapi doktor cadangkan agar suami dirujuk ke Hospital Batu Pahat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Ani Surati berkata, doktor memaklumkan suaminya menghidap  penyakit apendiks dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Hasil pemeriksaan selepas pembedahan mendapati terdapat kesan luka dalam perutnya dan memaksa untuk pembedahan kedua.

“Selama dua minggu berada di hospital, keadaan suami masih lemah dan saya buat keputusan untuk pindahkannya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSf) Muar kerana lebih dekat dengan rumah,” katanya yang menetap di Kampung Parit Jepun, Batu 16 Air Hitam, dekat sini.

Katanya lagi, setelah hampir tiga minggu menjalani rawatan di HPSF, suaminya dibenarkan pulang ke rumah.

Ibu kepada dua anak berusia sembilan dan lima tahun itu berkata, berikutan penyakit ulser itu, suaminya tidak boleh makan sebarang  makanan berbentuk pepejal dan terpaksa bergantung dengan susu khas.

“Selama empat bulan dia berkeadaan seperti itu dan kini, suami sudah boleh makan apa juga bentuk makanan pepejal.

“Namun suami masih tidak boleh berjalan kerana kedua belah kakinya semakin mengecil dan lemah,” katanya.

Keadaan itu membuatkannya tidak betah untuk meninggalkan suami sendirian untuk tempoh  yang lama.

“Jika hantar anak ke sekolah, saya pasti mahu pulang segera kerana bimbang dengan keadaannya. Pernah juga saya bercadang untuk mencari kerja, tetapi apabila melihat keadaan suami terpaksa melupakan hasrat itu,” katanya.

Mengakuinya, pendapatan keluarga sedikit terjejas selepas suami sebagai tempat bergantung terlantar sakit dan tidak boleh bekerja. Namun, dia menganggap ujian itu sebagai takdir dan dia tidak pernah melatah, sebaliknya menerima dugaan itu dengan hati yang terbuka.

“Saya yakin pasti ada hikmah di sebalik ujian yang berlaku ini, pada masa yang sama tidak berputus berdoa agar penyakit suami segera sembuh.

“Saya juga bersyukur kerana ramai pihak prihatin terhadap keluarga ini dan membantu menghulurkan sumbangan,” katanya yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), awal tahun ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Ani Surati Ehwan, 01005-41-00000361-1.

Sinar Harian
19 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment