Monday, September 24, 2012

Pasangan warga emas terima ijazah di USM


NOR AZIZAN membetulkan tali leher suaminya selepas mereka menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen USM kali ke-46 di George Town semalam.

GEORGETOWN: Kesibukan tugas sebagai pendidik tidak menghalang pasangan suami isteri berusia 58 tahun mencapai impian bersama menggenggam segulung ijazah pada upacara konvokesyen USM semalam.

Pasangan berkenaan, Musa Jaafar dan Nor Azizan Sulaiman yang tinggal di Muar, Johor menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera, pengkhususan dalam mata pelajaran Sejarah.

Musa yang bertugas sebagai guru penolong kanan, berkata kejayaan anak-anak dan saudara-mara menjadi dorongan kuat untuk beliau dan isteri yang merupakan guru besar di sekolah berasingan di Muar, merasai kenikmatan dan kepuasan bergelar graduan.

Beliau berkata jarak perjalanan berulang alik dari Muar ke Pulau Pinang juga tidak menjadi alasan untuk mereka tewas di pertengahan jalan, sebaliknya menguatkan semangat untuk menghabiskan pembelajaran tepat pada masanya.

“Perjalanan jauh juga memberi peluang untuk kami bertukar pandangan dalam pembelajaran, yang mana ketika saya memandu, isteri akan membaca buku dan menerangkan kembali perkara yang dibaca.

“Ia sangat membantu dalam aktiviti pembelajaran kami, selain daripada mengulangkaji melalui Internet, modul dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu lebih 20 orang anggota keluarganya termasuk lima anak hadir meraikan kejayaan beliau dan isteri semalam. — Bernama

24 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment