Monday, September 3, 2012

Muar bakal diisytihar Bandar Diraja


ABDUL Rahman Dewam (kiri) dan Amran Abd. Rahman menandatangani dokumen untuk serah terima tugas sebagai Pegawai Daerah Muar pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 2 Sept. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memilih untuk menyambut Hari Keputeraan baginda yang ke-54 pada November ini di daerah ini, sekali gus mengisytiharkan secara rasminya bandar ini sebagai Bandar Diraja.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Dewam berkata, tarikh dan tempat sambutan bagi dua acara penting yang dianjur serentak itu akan diumumkan selepas baginda memutuskan perkara berkenaan tidak lama lagi.

"Untuk itu semua kakitangan kerajaan, pemimpin parti politik dan rakyat khususnya di Muar perlu menyahut dan memberi sokongan padu dengan pengisytiharan bandar Muar yang sebelum ini dikenali sebagai Bandar Maharani menjadi Bandar Diraja.

"Ini merupakan satu penghormatan bagi penduduk di Muar kerana bertuah dipilih sebagai Bandar Diraja yang telah diisytiharkan awal tahun ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut turut diadakan acara serah tugas daripada bekas Pegawai Daerah, Amran Abd. Rahman yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Johor Bahru pada Julai lalu kepada Abdul Rahman.

Abdul Rahman turut mengingatkan penjawat awam supaya komited dengan tugas masing-masing dan semua pihak tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang diminta menyokong rancangan menjadikan daerah ini sebagai Bandar Diraja.

Beliau berkata, usaha keras perlu dilakukan untuk memastikan bandar ini sentiasa berada dalam keadaan cantik, bersih dan aman selaras dengan kehendak Sultan Johor yang mahukan bandar ini menjadi contoh kepada daerah lain.

"Dalam pada itu, penduduk Muar beruntung kerana daerah ini bukan sahaja diisytiharkan sebagai Bandar Diraja tetapi bersebelahan Pagoh yang bakal menjadi hab pendidikan utama negara seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai rancangan menjadikan Pagoh sebagai Bandar Universiti dan pusat pertumbuhan baru dalam beberapa tahun akan datang. Kita percaya hab pendidikan dan pusat pertumbuhan yang dirancang di Pagoh itu akan menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Utusan 2 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment