Monday, September 10, 2012

Pangsapuri jadi makmal proses dadah


Muar: Tiga unit pangsapuri mewah dekat Apartmen Pemandangan Tanjung di sini, dijadikan sebagai makmal memproses dadah dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Tiga premis diserbu 

Bagaimanapun, kegiatan yang didalangi satu sindiket itu berjaya ditumpaskan apabila ketiga-tiga premis itu diserbu polis awal pagi semalam.

Serbuan terhadap tiga unit kediaman yang terletak di tingkat bawah, satu dan dua, sebuah dari blok apartmen yang terletak di Jalan Junid itu dilakukan pada jam 6 pagi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Muar.

Susulan serbuan itu, polis setakat ini menahan sekurang-kurangnya tiga suspek berusia antara 20 hingga 50an, untuk membantu siasatan lanjut berhubung operasi makmal dadah berkenaan.

Polis dikatakan menemui sejumlah besar pelbagai jenis dadah yang disembunyikan dalam tiga unit kediaman terbabit serta peralatan memproses dadah yang berpusat di situ.

Sindiket dadah itu dipercayai memanfaatkan sistem keselamatan ketat pada pangsapuri terbabit bagi mengelak operasi mereka dikesan polis kerana semua pengunjung ke situ perlu melalui tapisan pengawal keselamatan.

Sehingga lewat petang semalam, anggota Forensik Polis Johor masih berada di tiga kediaman terbabit bagi mengenal pasti nilai dan jumlah sebenar dadah di situ, dikatakan lebih besar daripada rampasan bernilai RM18 juta yang dibuat Polis Johor di Pontian pada Jun lalu.

Berita Harian
10 Sep 2012

Kehidupan mewah terbongkar


BEBERAPA anggota polis membawa dadah yang dirampas di sebuah apartmen yang dijadikan makmal dadah di Jalan Junid, Muar, Johor, semalam.

MUAR 9 Sept. - Misteri kehidupan mewah sepasang suami isteri yang tidak bekerja terbongkar selepas polis menemui makmal memproses dadah dan merampas bahan terlarang tersebut bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah apartmen mewah di Jalan Junid di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kira-kira 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan daerah menemui pelbagai jenis dadah antaranya syabu, heroin, ekstasi dan Eramin 5.

Menurut sumber polis, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun di tiga unit apartmen yang disewa oleh pasangan itu.

Utusan
10 Sep 2012

Polis Johor Tahan Tujuh Individu, Rampas Dadah Bernilai RM68 Juta

MUAR: Polis Johor menahan tujuh suspek dan merampas dadah seberat 1.17 tan metrik bernilai RM68 juta, iaitu rampasan terbesar di Johor setakat ini, menerusi beberapa operasi di sekitar bandar ini pada Ahad.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata operasi dilakukan di tiga unit pangsapuri di Pangsapuri Pemandang Tanjung, Jalan Junid dan dua rumah di sekitar kawasan itu pada pukul 6.30 pagi.

"Suspek lima lelaki dan dua wanita yang berumur 24 hingga 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket mengedar dadah dengan menjadikan dua unit rumah di pangsapuri itu sebagai makmal memproses barangan larangan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini Rabu.

Beliau berkata dadah yang dirampas ialah 34.045 kilogram syabu, heroin (13.915 kg), ketamin (41.825 kg), ecstasy (392.540 kg), Eramine 5 (30,500 biji) dan kafein (698.875 kg).

Selain pelbagai peralatan memproses dadah, polis turut merampas sepucuk pistol dan tujuh butir peluru, wang tunai RM9,268, barangan kemas bernilai RM6,704, sebuah Toyota Estima dan kereta jenis Peugeot, katanya.

Katanya dadah yang dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan luar negara itu mampu menampung 2.2 juta penagih.

Menurut Mohd Mokhtar, sebuah daripada pangsapauri terbabit dijadikan tempat menternak ikan kelisa untuk jualan dengan dilengkapi lebih 100 akuarium untuk mengaburi mata jiran dan pihak berkuasa.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati tiga daripada lima lelaki serta dua wanita berkenaan positif dadah jenis metaphetamin.

"Semakan rekod mendapati dua daripada lima lelaki itu juga mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya semua yang ditahan itu direman sehingga Ahad ini dan polis menggiatkan usaha untuk mengesan saki-baki anggota sindiket itu yang masih bebas. - BERNAMA

12 Sep 2012

3 didakwa miliki 453.5 kg dadah

Salah seorang daripada tiga ahli sindiket dadah didakwa di Mahkamah Majistret, semalam dengan 26 pertuduhan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat 453.5 kilogram.


MUAR – Dua lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam  didakwa dengan 26 pertuduhan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 453.5 kilogram, di sebuah pangsapuri dekat Jalan Junid pada 9 September lalu.

Kesemua pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah di hadapan Majistret, Suzana Mokhtar.

Tertuduh, Lim Kih Chong, 31, dari Yong Peng, Johor berdepan 10 pertuduhan, manakala rakannya, Chye Mei Chuan, 42, dari Taman Indah, dekat sini, dan Norizah Arpah, 24, dari Klang, Selangor, masing-masing dituduh melakukan lapan kesalahan membabitkan Seksyen 39B

Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kih Chong menghadapi 10 pertuduhan termasuk dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar dadah disyaki syabu seberat 1,015 gram (g) dan pil ekstasy dengan berat kasar 645g pada kira-kira jam 6.30 pagi di sebuah unit rumah di tingkat satu, Blok B, Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid, dekat sini.

Pertuduhan lain membabitkan dengan niat bersama-sama Norizah dan Mei Chuan mengedar pil ekstasi seberat kira-kira 309,030g dan erimin 5 seberat 1,500g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama pada kira-kira jam 6.30 pagi hari yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh turut didakwa secara bersama mengedar syabu seberat kira-kira 22,459g, pil ekstasi seberat 77,740g serta erimin 5 seberat  7,250g di sebuah unit rumah di tingkat dua pangsapuri sama.

Tiga tuduhan terakhir membabitkan secara bersama mengedar 10,611g syabu, heroin (21,745g) serta candu seberat 1,560g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama.

Nor Hafizah menetapkan 9 November depan  untuk mendapatkan keputusan laporan daripada Jabatan Kimia bagi semua pertuduhan dan tidak membenarkan sebarang jaminan buat tertuduh.

Pada 9 September lalu, polis Johor berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar di negeri itu bernilai RM68 juta dengan menjadikan tiga rumah di Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid sebagai makmal memproses dadah.

Sinar Harian
22 Sep 2012



0 comments:

Post a Comment