Monday, September 10, 2012

Cedera ditetak


MUAR 6 Sept. - Seorang peniaga cedera parah di pergelangan tangan kanan setelah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai ah long kerana gagal melunaskan hutang RM2,000 yang dipinjamnya setahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam itu, mangsa yang memandu kereta bersendirian dari pusat bandar dipintas di Jalan Sungai Abong berhampiran pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh kereta suspek.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek lelaki yang berusia 34 tahun itu menghampiri kenderaan mangsa sambil menunjukkan parang ke arahnya.

"Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek melarikan diri sejauh 30 meter, tetapi dihalang oleh suspek sebelum tangannya ditetak.

"Secara kebetulan, ada anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut lalu menahan suspek kira-kira 15 minit kemudian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan bersama sebilah parang yang digunakan ketika kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk rawatan.

Menurutnya, suspek ditahan reman seminggu hingga 12 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kata beliau, polis menahan empat lelaki berumur 15 hingga 21 tahun, pukul 5.35 petang Isnin lalu kerana terlibat dalam satu kes pecah sekolah di Parit Yusof, Sungai Balang dekat sini pada Mei 2011.

Dalam serbuan di rumah suspek di Batu Pahat, polis merampas komputer riba dan sebuah motosikal yang dicuri dari sekolah tersebut.

"Mereka ditahan terdiri daripada dua remaja yang tidak lagi bersekolah berusia 15 dan 17 tahun, manakala seorang lagi rakannya berumur 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan," katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A (i) Kanun Keseksaan.

Utusan
7 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment