Monday, September 10, 2012

Diperdaya RM109,570 akibat tamak hadiah wang RM155,000


MUAR 6 Sept. - Akibat gelap mata kerana mahu mendapatkan hadiah wang tunai RM155,000, seorang pekerja kilang akhirnya kerugian sebanyak RM109,570 selepas diperdaya oleh satu sindiket yang berselindung di sebalik ejen jualan langsung.

Mangsa berusia 58 tahun dari Tanjung Agas di sini, ditipu sejak September tahun lalu hingga awal bulan ini dengan melakukan 13 transaksi pembayaran wang tanpa menyedari diperdaya sindiket itu yang bijak menipu.

Wanita tersebut hanya menyedari ditipu selepas mengadu kepada anak saudaranya, hadiah wang yang dijanjikan selepas membeli mesin penapis air dan mesin terapi kaki dengan harga RM1,500, tidak diperoleh hingga kini.

Mesin tersebut dibeli daripada seorang lelaki dan wanita yang menjalankan perniagaan jualan langsung di rumahnya pada 5 September lalu dengan mangsa diminta membayar wang insurans RM10,000 untuk kedua-dua peralatan tersebut sebelum ditawarkan hadiah wang RM155,000.

Berikutan itu, anak saudara wanita tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pihak yang menjual mesin penapis air berkenaan dan mendapati syarikat itu tidak wujud seperti didakwa sebelum mangsa membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, selepas mengetahui kegiatan tersebut disedari mangsa, sindiket terbabit berhenti menghubungi wanita itu dan sehingga kini tidak dapat dihubungi.

"Kita menyiasat pasangan itu yang kedua-duanya berusia 30-an. Penipuan yang dilakukan adalah secara berkumpulan dengan menawarkan hadiah. Sebanyak 13 transaksi telah dilakukan yang mengakibatkan kerugian RM109,570.

"Sindiket itu bijak memperdaya dengan menggunakan taktik tertentu termasuk menggunakan nama Bank Negara bagi meyakinkan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Pihaknya kini berusaha mengesan sindiket tersebut melalui nombor akaun yang diberikan serta maklumat daripada mangsa dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kes berlainan, pihaknya membongkar satu kegiatan meleraikan motosikal curi di belakang sebuah rumah di Parit Punggor di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 28 Ogos lalu.

Pada serbuan itu, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan manakala rakannya yang berusia 21 tahun turut ditangkap di Parit Unas.

Mohamad Nasir berkata, polis menjumpai dua motosikal curi dan komponen yang dileraikan antaranya enjin, ekzos dan brek cakera di belakang rumah remaja tersebut yang dijadikan bengkel.

Utusan
7 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment