Wednesday, September 5, 2012

Adun Bentayan masuk wad akibat cedera ditolak



MUAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Gwee Tong Hiang dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana disyaki mengalami kecederaan di kepala selepas ditolak seseorang semasa menghadiri Jamuan Makan Malam anjuran DAP Bahagian Muar dan Bakri, kelmarin.


Tong Hiang ketika menerima lawatan wartawan di HPSF memberitahu, pada mulanya beliau ditahan dua wanita di majlis itu.

"Mereka sangka saya tidak mempunyai tiket untuk menghadiri makan malam berkenaan.

"Namun, ketika ingin memaklumkan mereka saya ada tiket, tiba-tiba seseorang menolak saya sehingga terjatuh," katanya.

Menurutnya, beliau memang tidak tahu siapa yang melakukan tindakan sedemikian, tetapi mengesyaki individu terbabit adalah ahli parti.

Beliau berkata, majlis makan malam itu turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bagaimanapun kejadian itu berlaku sebelum ketibaan pemimpin itu.

“Walaupun rasa sakit dan pening kepala, saya tetap menunggu sehingga Guan Eng selesai berucap sebelum meninggalkan majlis untuk pulang ke rumah.

“Di rumah, saya muntah beberapa kali sehingga isteri, Gan Sey Hui terpaksa hantar saya ke hospital,” katanya.

Menurutnya, beliau diberi rawatan kecemasan dan ditahan dalam wad.

Katanya, pegawai perubatan mengesahkan beliau mengalami beberapa kecederaan di kepala dan perlu menjalani pemeriksaan imbasan otak.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, keadaan Tong Hiang kini stabil.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, beliau tidak mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku dan tidak dapat mengulas lanjut.


Sinar Harian
5 September 2012



0 comments:

Post a Comment