MUAR - Seorang wanita warga emas didenda RM950 selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM85.44 di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Lau Gek Luan @ Se Laut, 69, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di rumahnya di Jalan Lama Parit Tiram, kira-kira jam 3.30 petang pada 1 Mac lalu.
Gek Luan yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah memiliki 60 kotak rokok berkenaan di rumahnya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum RM854.40 hingga maksimum RM1,708 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Kastam Diraja Malaysia, Norhaliza Ab Ghani.
Bagaimanapun, warga emas berkenaan meminta mahkamah meringankan hukuman kerana sudah tua.
Majistret Liyana Mokhtar kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda berkenaan selain semua rokok berkenaan dilucut hak kepada Kastam.
Sinar Harian
24 Okt 2012
0 comments:
Post a Comment