Friday, October 19, 2012

Pengurus kilang disamun empat penjenayah rugi RM120,000


MUAR 18 Okt. - Seorang pengurus kilang tidak menyangka akan disamun empat penjenayah ketika mangsa membuka pintu rumahnya di Taman Seri Anggerik di sini, mengakibatkan kerugian kira-kira RM120,000.

Lebih mengejutkan mangsa yang berusia 64 tahun itu, hanya beberapa langkah masuk ke dalam rumah sebelum dia diacukan dengan sepucuk pistol dan sebilah parang.

Mangsa turut diikat kaki, tangan dan dikurung di dalam sebuah bilik.

Dalam kejadian pukul 11 pagi, 7 Oktober lalu itu, kumpulan perompak terbabit melarikan wang tunai RM1,000, pelbagai kad mesin juruwang automatik (ATM), jam tangan, telefon bimbit dan sebuah kereta Toyota Camry yang kesemuanya lebih RM100,000.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Shahadan Jaafar, kumpulan penjenayah itu hanya sempat berjoli selama tiga hari sebelum berjaya dicekup di sebuah rumah di Taman Molek, Johor Bahru pukul 10.30 malam pada 9 Oktober lalu.

"Kita menemukan semula barang kemas, kad kredit, kereta Toyota Camry dan sepucuk pistol palsu dipercayai digunakan semasa merompak mangsa.

"Kesemua suspek berasal dari Johor Bahru kecuali seorang dari Muar. Mereka berumur antara 32 hingga 48 tahun," katanya di sini semalam.

Kes tersebut ujar beliau, disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Shahadan berkata, pihaknya menahan enam lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun kerana terlibat dalam kes curi motosikal di sekitar daerah ini sejak 2005.

Kata beliau, tangkapan pertama melibatkan tiga suspek berumur 19 hingga 26 tahun dalam serbuan di sebuah bengkel di Simpang Baba, Jalan Salleh di sini, pukul 1.15 petang, 3 Oktober lalu.

"Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam 12 kes curi motosikal di Muar dan penahanan itu membawa kepada penemuan lima motosikal, lima rangka motosikal, satu enjin dan komponen lain.

"Tangkapan kedua di bengkel di Bakri dan Sungai Abong pukul 1.10 petang, 7 Oktober lalu melibatkan tiga lagi lelaki berusia 18 hingga 26 tahun.

"Keenam-enam suspek didapati positif dadah dan ada antara mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri motosikal," katanya.

Utusan
19 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment