ASRI menunjukkan longgokan rumput dan sampah-sarap yang dibawa arus setelah hujan di persimpangan Parit Mohammad, Batu 5, Jalan Bakri, Muar, Johor, semalam.
Saudara Pengarang,
HUJAN sejak seminggu ini menyebabkan parit besar di persimpangan Parit Mohammad, Batu 5, Jalan Bakri, Muar sering tersumbat dengan timbunan rumput dan sampah yang dibawa arus dari tempat lain.
Keadaan berkenaan menyebabkan rumput hidup dan sampah-sarap tersangkut di pintu air kerana parit itu adalah laluan air utama yang bersambung ke parit-parit kecil di tepi jalan.
Rumput dan sampah berkenaan hanya akan hanyut sekiranya hujan lebat, namun selepas itu, rumput dan sampah baharu pula muncul.
Hal demikianlah menyebabkan masalah itu tidak selesai.
Masalah berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan satu langkah pencegahan perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti dari mana sampah itu datang.
Jika dibiarkan berterusan, keadaan itu akan menyebabkan pencemaran bau dan sakit mata memandang serta tidak mustahil ikan yang hidup di dalam parit tersebut, contohnya ikan patin akan mati.
Diharap PBT yang bertanggungjawab menyelenggarakan parit berkenaan dengan mengambil tindakan kerana tidak mustahil banjir kilat akan berlaku di kawasan itu atau di tempat lain.
Penjagaan kebersihan parit adalah salah satu yang harus dilakukan di bandar Muar dan kawasan pinggirannya kerana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pernah menegur tahap kebersihan di daerah ini yang akan diisytihar sebagai Bandar Diraja pada November ini.
Asri, Parit Mohammad, Bakri
Utusan 23 Okt 2012
0 comments:
Post a Comment