Sunday, October 28, 2012

Bumbung rosak dipanah petir


Teng Han menunjukkan bumbung kedai makannya yang rosak akibat dipanah petir.

MUAR – Bumbung lima kedai makan bersebelahan Stesen Bas Ekspres dan Teksi Bentayan di sini yang rosak akibat dipanah petir Khamis lalu akan dibaiki oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM), tidak lama lagi.

Penolong Jurutera MPM, Nazri Abdul Rahman berkata, kerja-kerja membaiki akan dilakukan secepat mungkin dan kos keluruhan dijangkakan melebihi RM5,000.

“Kita akan pastikan kerja-kerja tersebut siap cepat kerana gerai makan ini adalah tumpuan orang ramai di bandar ini,” katanya ketika ditemui ketika   melawat sederet kedai makan berkenaan, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM), Dewan Undangan Negeri (Dun) Bentayan, Chris Lee Ching Yong berkata, bagi meringankan beban peniaga terlibat, MCA kawasan akan menghulurkan bantuan segera dalam bentuk wang tunai.

“Terdapat empat kedai makan yang terjejas teruk dan memerlukan pembaikan segera supaya pendapatan periuk nasi peniaga tidak terjejas,” katanya juga Pegawai Khas Menteri Besar bagi kawasan Dun Bentayan.

Sementara itu, peniaga yang paling teruk terjejas, Nu Teng Han, 43, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang.

“Semasa kejadian, ada tiga pekerja saya di kedai ini dan tiba-tiba petir yang sangat kuat bunyinya terus menyambar bahagian atap sehingga membuatkannya pecah dan serpihan atap berterbangan.

“Keseluruhan kedai dipenuhi dengan air hujan. Barangan elektrik seperti peti ais, periuk nasi dan kipas rosak serta tidak boleh digunakan lagi,” katanya  ketika menceritakan kejadian tersebut.

Katanya, insiden malang itu merupakan kali pertama berlaku di gerainya sejak tujuh tahun berniaga di situ dan berharap pihak MPM dapat segera membaiki kerosakan tersebut.

Sinar Harian
28 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment