Tuesday, October 9, 2012

JPAM tangkap ular tedung sepanjang 3.9 meter


Anggota JPAM menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap.

MUAR – “Saya terkejut apabila melihat seekor ular tedung berada berdekatan pintu bengkel selepas pulang dari kebun,” kata Md Jufree Jamil, 40.

Md Jufree berhadapan detik cemas apabila menjumpai ular tedung betina sepanjang 3.9 meter sedang memasuki bengkel miliknya di J8 Jalan Jorak, Pekan Jorak dekat Bukit Pasir, di sini, kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, Md Jufree berkata, dia menyedari kejadian itu pada jam 6.20 petang ketika mahu menyimpan parang selepas pulang dari kebun bersama anak perempuan berusia 8 tahun.

“Anak saya menjerit ketakutan sambil berlari ke dalam rumah untuk memaklumkan kepada isteri mengenai kejadian ini.

“Saya segera menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan dan kira-kira 20 minit kemudian pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Muar tiba," katanya.

Menurut Ketua Operasi JPAM, Lans Koperal Mohd Yazid Abu Bakar, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk menangkap reptilia tersebut disebabkan ruang bersembunyinya agak sempit dan ditambah pula dengan banyak barangan dalam bengkel itu.

“Kita mengesan reptilia ini bersembunyi berdasarkan bunyi dengusan yang dikeluarkan sebelum menjerut rahangnya," katanya.

Mohd Yasid berkata, setakat inireptilia itu adalah yang paling besar berjaya ditangkap oleh JPAM dan sepanjang minggu lalu pihak kita telah menangkap enam ekor ular daripada spesies yang sama.

Sinar Harian
9 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment