Wednesday, October 24, 2012

Penyakit mata naik 80% di Muar


MUAR 23 Okt. - Kadar penyakit mata di daerah ini meningkat sehingga 80 peratus bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, rekod HPSF mencatatkan sebanyak 12,000 kes berkaitan penyakit mata pada 2001 sebelum melonjak kepada 21,000 pada 2011.

"Katarak adalah punca yang paling tinggi dan bagi tempoh tujuh tahun ini sudah meningkat 50 peratus iaitu 540 kes pada 2005 dan 765 kes pada 2011.

''Selain itu, 634 kes pembedahan katarak sudah dilakukan HPFS pada tahun ini dengan lapan bulan pertama sahaja mencatatkan 505 pembedahan.

"Sekarang kita dapat lihat kadar masalah penglihatan dalam kalangan masyarakat setempat semakin meningkat seiring peningkatan usia manusia. Ramai tidak ambil kisah masalah penglihatan sehingga mengalami kebutaan," katanya semasa berucap dalam majlis Kempen Saringan dan Pembedahan Mata sempena Hari Penglihatan Sedunia 2012 di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini baru-baru ini.

Kempen itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Khairi Yakub; Ketua Jabatan Oftolmologi HPSF, Dr. Lam Hee Hong dan Pakar Perubatan Oftalmologi, Dr. Noh Ismarudi Ismail.

Dr. Selahuddeen berkata, masalah penglihatan seperti katarak, penyakit retina, kornea dan glaukoma serta rabun tidak seharusnya dipandang ringan dan jika dapat dikesan lebih awal perlu mendapat rawatan segera.

Beliau memberitahu, Jabatan Oftolmologi HPSF yang ditubuhkan pada 1970-an kini mempunyai dua pakar dan lima pegawai perubatan selain menjadi tempat rujukan berkaitan masalah mata di daerah bersebelahan.

Menurutnya, klinik mata HPSF memberikan perkhidmatan pemeriksaan, rawatan dan pembedahan mata di Ledang dan Segamat termasuk kawasan sempadan iaitu Muadzam Shah, Pahang dan Jasin, Melaka.

"Kem pembedahan mata pula dapat memberi peluang kepada pesakit menjalani pembedahan segera kepada mereka yang mengalami penglihatan teruk disebabkan katarak. Usaha sebegini secara tidak langsung dapat mengurangkan masa menunggu bagi pembedahan katarak terutama kes rawatan segera," katanya.

Utusan Borneo 24 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment