KERJA-KERJA mengecat bangunan dilakukan di Jalan Ibrahim, Muar, Johor, semalam, sempena pengisytiharan Bandar Diraja dan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada 22 November ini.
MUAR 16 Okt. - Bandar Muar bakal berubah wajah apabila 937 unit bangunannya dicat baru menerusi Kempen Mengecat Bangunan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) bermula 5 September lalu hingga 31 Oktober ini.
Yang Dipertuanya, Zulkiflee Abbas berkata, kempen itu diadakan sempena perisytiharan rasmi daerah ini sebagai Bandar Diraja sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 November ini.
Menurutnya, kempen itu adalah arahan Pejabat Daerah Muar iaitu selaku jawatankuasa sambutan program tersebut yang mahukan sambutan pada kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya.
"Bangunan yang terlibat adalah di Jalan Bakri/Lenga/Bukit Kepong, Jalan Arab/Sulaiman/Pagoh/Panchor, Jalan Maharani/Yahya/Salleh, Jalan Ali/Sisi/Tanjung Agas/Jalan Bentayan/Bukit Pasir, Jalan Abdullah/Majidi/Haji Abu/Parit Jawa dan Jalan Meriam/Sayang.
"Setiap bangunan di jalan yang dinyatakan ini dicat dengan warna berbeza daripada tujuh warna yang ditetapkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, hampir keseluruhan bangunan yang terdapat di bandar ini adalah bangunan lama dan menerusi kempen itu akan menceriakan suasana bandar yang sebelum ini sinonim dengan gelaran 'bandar pencen'.
Katanya, sejak kempen tersebut dimulakan pada 5 September lalu, kira-kira 20 peratus bangunan yang sudah siap dicat dan pemilik lainnya akan menyusul berbuat demikian.
"Kerja-kerja dan kos mengecat ditanggung sendiri oleh pemilik bangunan. Mereka perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan menerusi surat dan kerja-kerja ini perlu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan seperti tertakluk di bawah Seksyen 121 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
"Bagaimanapun, MPM ada memberi kelonggaran pengecualian cat terhadap bangunan korporat seperti bank mengikut warna pilihan masing-masing," katanya.
Zulkiflee berkata, denda tidak melebihi RM1,000 sehari akan dikenakan terhadap pemilik bangunan yang gagal mematuhi arahan berkenaan.
Pertandingan turut diadakan sempena kempen itu untuk pemilik yang berjaya mengecat dan mengindahkan bangunan serta berpeluang merebut hadiah wang tunai RM3,000 bagi juara, RM2,000 (kedua) dan RM1,000 (ketiga) selain turut menerima plak.
Beliau berkata, pertandingan tersebut adalah sebagai galakan kepada mereka dan diharapkan dapat menyempurnakan arahan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
Utusan
17 Okt 2012
0 comments:
Post a Comment