Saturday, October 27, 2012

609 nelayan terima elaun bulanan


ISMAIL Mohd. Shah (kanan) menyampaikan bayaran elaun sara hidup bulanan kepada nelayan kawasan Muar di Muar, semalam. Turut hadir Khairolnesak Omar (tiga dari kanan).

MUAR 24 Okt. - Seramai 609 nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 melibatkan jumlah keseluruhan RM121,800 pada satu majlis di sini semalam.

Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor, Khairolnesak Omar berkata, bayaran elaun sara hidup bulanan kepada nelayan yang bermula Jun 2008 itu tidak lagi dimasukkan terus ke dalam akaun sejak September 2009 sebaliknya diberi terus kepada penerima oleh pemimpin.

"Tujuannya untuk mengeratkan hubungan antara penerima dengan wakil rakyat atau pemimpin setempat. Ini adalah untuk merealisasikan konsep kerajaan mesra rakyat serta memperkukuh sistem penyampaian.

"Bayaran elaun ini dibuat tunai secara bergilir-gilir di sembilan PNK seluruh negeri dan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen atau pemimpin setempat," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Bantuan sara hidup tersebut disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah.

Menurut Khairolnesak, pemberian insentif tersebut diharap dapat meningkatkan produktiviti sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import ikan dari luar negara untuk keperluan negeri ini.

Beliau memberitahu, sejak insentif itu dimulakan pada Jun 2008 hingga bulan lepas, sebanyak RM42 juta sudah diberikan kepada semua nelayan di sembilan PNK dan daripada jumlah berkenaan, daerah ini sudah menerima RM7.6 juta.

Sementara itu, Mohd. Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Maharani berkata, bantuan itu adalah bagi meringankan beban nelayan kerana hasil tangkapan tidak menentu dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Persepsi masyarakat terhadap nelayan masih lagi dianggap sebagai golongan berpendapatan rendah, justeru mereka perlu membaiki dan meningkatkan taraf hidup dengan melakukan penangkapan ikan secara moden," katanya lagi.

Seorang penerima, Rohailan Ramlan, 42, dari Parit Jawa, di sini bersyukur dengan insentif itu yang serba sedikit dapat membantunya kerana pendapatan sebagai nelayan belum tentu memperoleh RM1,000 sebulan.

"Dengan bantuan ini saya merancang untuk membaiki rumah kami yang sudah uzur terutama di bahagian dinding dan lantai," kata bapa kepada empat anak itu yang sudah enam tahun menjadi nelayan.

Utusan
25 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment