Wednesday, October 3, 2012

Nelayan selamatkan lelaki lemas


Di lokasi inilah sekumpulan nelayan berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada menjadi mangsa lemas.

MUAR – Tindakan pantas sekumpulan nelayan telah berjaya menyelamatkan seorang lelaki berusia 40an daripada menjadi mangsa lemas di Sungai Muar, semalam.

Menceritakan detik mencemaskan itu, seorang nelayan, Ahmad Daud Mohd Po'at, 48, berkata, kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu disedari oleh seorang rakannya yang melihat objek seolah-olah seperti sebiji buah kelapa terapung dan bergerak dalam sungai.

"Pada mulanya saya tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh rakan saya. Selepas mengamatinya barulah saya perasan objek itu kepala seorang lelaki, manakala badannya tenggelam dalam dasar sungai.

“Ketika kejadian, saya bersama rakan-rakan sedang berbual di jeti berhampiran lokasi itu selepas pulang dari laut.

“Apabila yakin objek tersebut adalah kepala seorang lelaki yang nyaris lemas, saya memanggil rakan yang kebetulan berada dalam bot untuk membantu menyelamatkan lelaki itu pada jarak 100 meter dari jeti,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kerja-kerja menyelamat sedikit sukar kerana arus sungai agak deras, ditambah pula keadaan mangsa yang semakin lemah.

“Saya mencampakkan pelampung supaya mangsa boleh berpaut pada pelampung ini bagi mengelakkannya daripada tenggelam.

“Mangsa ditarik ke tepi bot menggunakan tali sebelum diangkat ke dalam bot. Mujur kami sedar kejadian ini agak awal, jika tidak pasti lelaki ini tidak dapat diselamatkan.

Menurutnya, selepas diselamatkan lelaki berkenaan dihantar ke pangkalan Pasukan Gerakan Marin Muar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Sinar Harian
3 Okt 2012


Disangka buah kelapa hanyut, rupanya kepala manusia


MUAR 2 Okt. - Sekumpulan nelayan terkejut apabila menemui seorang lelaki terapung dan masih hidup dalam sungai Muar yang pada mulanya disangka buah kelapa hanyut berhampiran jeti nelayan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Tan berusia dalam lingkungan 40-an, diselamatkan kumpulan nelayan tersebut dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

Seorang nelayan, Ahmad Daud Mohd. Po'at, 48, berkata, pada mulanya salah seorang rakannya menegur melihat buah kelapa terapung dan 'bergerak-gerak' dalam sungai.

Dia dan rakannya yang baru pulang dari laut pada mulanya tidak percaya tetapi selepas mengamati 'objek' berkenaan seperti kepala manusia, dia segera memanggil rakan-rakan mereka yang lain untuk meminta bantuan.

"Semasa menyelamatkan mangsa, hanya kepala dia sahaja yang timbul manakala badannya berada di dalam sungai dengan jarak kira-kira 100 meter dari jeti nelayan. Ketika diselamatkan lelaki berkenaan masih hidup.

"Apabila ditanya bagaimana boleh berada dalam sungai, lelaki itu yang dikenali sebagai Tan memberitahu mahu membunuh diri kerana sudah tidak sanggup tanggung banyak masalah," katanya semasa ditemui di sini hari ini.

Ahmad Daud berkata, Tan memberitahu mereka bahawa dia menaiki motosikal dari rumah sebelum terjun dari Jambatan Sultan Ismail pukul 9.30 pagi kerana tidak sanggup berdepan dengan pelbagai masalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Utusan
3 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment