Friday, October 5, 2012

12 lelaki yang aktif mencuri motosikal diberkas


MUAR 3 Okt. - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi 12 lelaki yang berjaya dicekup kelmarin kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal di daerah ini sejak Januari hingga September lalu.

Menerusi Op Lejang Khas itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan kumpulan lelaki itu yang berumur antara 17 hingga 25 tahun di rumah masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Shahadan Jaafar berkata, ahli kumpulan itu ditangkap di lokasi berasingan, antaranya di Jalan Junid dan Bukit Pasir termasuk di Sungai Rambai, Melaka yang bersempadan dengan daerah ini.

Katanya, polis turut merampas enam enjin motosikal termasuk komponen-komponennya.

"Dianggarkan nilai rampasan melebihi RM6,000 dan siasatan mendapati mereka meleraikan komponen untuk kegunaan sendiri selain untuk dijual. Ada antara enjin motosikal yang dirampas itu sudah pun diubah nombor pendaftarannya.

"Kesemua suspek tidak bekerja termasuk remaja berusia 17 tahun tersebut yang tidak bersekolah. Dua daripada mereka yang kedua-duanya berumur 23 tahun mempunyai rekod jenayah lampau iaitu juga kes curi motosikal," katanya pada sidang akhbar di IPD Muar di sini hari ini.

Menurutnya, sasaran kumpulan itu ialah di kampung dan tempat awam khususnya kenderaan yang tidak mempunyai kunci tambahan selain meninggalkan kunci di kenderaan tersebut.

Hasil siasatan mendapati suspek mencuri motosikal dengan cara menggunakan kunci pendua selain menghidupkan enjin dengan cara membuka lampu hadapan dan menyambung wayar utama.

Shahadan berkata, ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah dan dengan tangkapan itu polis percaya dapat menyelesaikan enam kes kecurian motosikal di sekitar Muar.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 37A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Utusan
4 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment