Friday, October 19, 2012

Suami isteri tipu peniaga kereta


MUAR 18 Okt. - Sepasang baju kerja sebuah syarikat minyak, pas keselamatan dan pas kereta dijadikan 'umpan' oleh sepasang suami isteri untuk meyakinkan seorang peniaga kedai kereta terpakai melabur dalam perniagaan mereka.

Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya mangsa berusia 61 tahun yang menjalankan perniagaan di Jalan Daud, di sini nekad menyerahkan wang tunai RM60,000 dan sebuah kereta Proton Wira terpakai kepada pasangan itu pada 12 Ogos lalu.

Namun, keuntungan lumayan yang dijanjikan bukan sahaja tidak kunjung tiba, malah pasangan tersebut 'lesap' bersama wang dan kereta berkenaan yang dianggarkan berjumlah lebih RM70,000.

Usaha selama hampir empat bulan menghubungi pasangan itu gagal membuatkan mangsa rasa tertipu dan kemudian membuat laporan polis semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Shahadan Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun mendakwa sebagai timbalan pengarah sebuah syarikat berasaskan petroleum selain menunjukkan pelbagai dokumen sokongan.

"Disebabkan percaya dengan pasangan berkenaan, mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM60,000 serta kereta terbabit yang sudah ditukar atas nama isteri suspek, dipercayai sebagai bayaran untuk menyertai satu projek di Kerteh, Terengganu," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan perkongsian dalam projek berkenaan dan diminta menjelaskan sejumlah wang bagi membiayai projek terbabit.

Menurutnya, berdasarkan siasatan pihaknya, suspek lelaki terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu satu membabitkan kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dan dua kes tipu.

Kata beliau, justeru, polis mencari Johari Abdullah, bernombor kad pengenalan 720904-01-5009, beralamat di Taman Seri Temiang, di sini dan Zaleha Majid, 31, bagi membantu siasatan kes itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Utusan
19 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment