REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, February 24, 2013

Kawasan panas dikenal pasti


MUAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menempatkan ramai anggotanya di beberapa kawasan panas di negeri ini yang sudah dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tindakan itu bertujuan untuk memastikan tidak berlaku sebarang provokasi di kawasan terbabit yang dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.

Menurutnya, taklimat kepada anggota sudah diberikan untuk memberi fokus kepada kawasan yang dilabelkan sebagai panas di samping berjumpa dengan penduduk setempat supaya sentiasa mematuhi peraturan ketika tiba PRU13.

“Kita akan cuba untuk sejukkan tempat-tempat yang panas kerana bimbang kawasan itu akan mencetuskan masalah melalui provokasi yang dilakukan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya timur diminta supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi pada PRU 13 ini,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Bukit Kepong, dekat sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, proses pilihan raya umum terdahulu sebanyak 12 kali yang berlangsung dalam keadaan harmoni dan aman perlu dikekalkan supaya negara luar dapat melihat rakyat Malaysia sebagai matang serta menghormati undang-undang.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang negara.

“Jangan sesekali mencabar pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati mencetuskan provokasi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai permit ceramah sepanjang tempoh kempen PRU13, Mohd Mokhtar berkata, perkara di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 sudah dimansuhkan dan polis kini tidak lagi mengeluarkan sebarang permit.

“Bagaimanapun pihak penganjur diminta mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya perkara tidak diingini tidak terjadi sekaligus ceramah atau perhimpunan yang diadakan dapat berlangsung dalam suasana aman mengikut peraturan.

“Mana-mana parti politik yang hendak mengadakan ceramah perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis dalam tempoh 10 hari sebelum ia berlangsung. Selain itu, rundingan antara pihak polis dengan parti politik akan diadakan jika ada sebarang bantahan,” katanya.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) Johor sebelum ini mengumumkan akan memberikan tumpuan khusus terhadap lima ‘kerusi panas’ iaitu Parlimen Bakri, Kluang, Gelang Patah, Kulai dan Segamat bagi mencapai sasaran kemenangan 100 peratus di 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun Johor pada PRU13 ini.

Sinar Harian
24 Feb 2013



48 orang terima anugerah polis


MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff menyerahkan sijil penghargaan kepada Er Cheong Heng dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Perhimpunan Sempena Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Muar, baru-baru ini.

MUAR 27 Feb. - Seramai sembilan pemimpin dan penduduk di negeri ini menerima sijil dan plak baru-baru ini, atas sumbangan mereka membantu pasukan keselamatan itu menguatkuasakan undang-undang dan menjayakan program pencegahan jenayah.

Penghargaan itu disampaikan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Perhimpunan Sempena Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Tapak Bersejarah Balai Polis Bukit Kepong di sini.

Selain sembilan penerima itu, 39 anggota polis negeri ini turut menerimanya dalam perhimpunan yang disertai kira-kira 600 anggota sebelum mereka mengadakan majlis tahlil dan melawat pusara pejuang Bukit Kepong di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kepong.

Seorang penerima, Penghulu Mukim Bukit Kepong, Mohd. Azahari Bidin, 42, berkata, beliau berbesar hati menerima penghargaan itu dan turut berterima kasih kepada golongan belia di kawasannya yang aktif membantu pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang.

Beliau berkata, terdapat enam Kelab Rukun Tetangga (KRT) dan 11 anggota Skuad Rondaan Sukarela (SRS) di mukim itu bagi menjaga keamanan dan ketenteraman penduduk di situ.

"Golongan belia di setiap kampung mempunyai peranan penting untuk bersama membantu pihak polis menjaga ketenteraman masyarakat. Sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu melancarkan tugas pihak berkuasa," katanya.

Penerima lain, Er Cheong Hung, 65, pula tidak menyangka menerima anugerah tersebut kerana penglibatannya bukan untuk meraih sebarang sumbangan tetapi atas kesedaran untuk bersama-sama membantu polis menjaga keamanan.

"Sudah 10 tahun saya menyertai program komuniti polis untuk membantu menjaga keamanan di kawasan tempat tinggal dan mahu terus menyertai program sukarela ini untuk menyumbang tenaga selagi masih berupaya.

"Kita semua perlu mainkan peranan masing-masing. Meskipun sumbangan tidaklah sebesar anggota polis, namun saya gembira kerana dapat bantu," katanya yang hadir menerima penghargaan itu bersama isteri serta dua cucunya.

Sementara itu, Mohd. Mokhtar menegaskan bahawa Balai Polis Bukit Kepong di sini dan sejarah di sebaliknya akan sentiasa dihidupkan untuk panduan generasi akan datang.

Beliau berkata, peristiwa bersejarah tentang keberanian anggota polis menentang pengganas komunis pada subuh 23 Februari 1950 wajar dijadikan iktibar kepada semua pihak dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Utusan
28 Feb 2013

Veteran anggap 'durian runtuh'


SEBAHAGIAN daripada penerima Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia menunjukkan sumbangan yang diterima mereka di Dewan MRSM Bakri, dekat Muar, Johor, baru-baru ini. - MINGGUAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 16 Feb. - Seramai 6,184 penerima Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) seolah-olah mendapat durian runtuh apabila RM6.1 juta mula diagihkan kepada mereka yang layak dari negeri ini.

Pemberian itu mengakhiri penantian mereka sebelum ini dan daripada jumlah itu, 1,372 veteran ATM adalah dari Pagoh, Ledang, Bakri dan Muar menerima RM1,000 setiap seorang dan kesemuanya adalah ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar.

Ketua PBTM Muar, Shamsuddin Rais berkata, bilangan 1,372 itu merupakan sebahagian daripada hampir 2,000 veteran tentera tidak berpencen yang terdapat di empat daerah itu dan pada masa sama bernaung di bawah PBTM Muar.

"Dianggarkan seramai 500 lagi veteran tidak berpencen dari Muar, Ledang, Pagoh dan Bakri yang masih belum berdaftar dengan pihak kami. Jadi kita minta mereka datang ke pejabat kerana peluang untuk mendapatkan SVTB1M masih terbuka.

"Mereka hanya perlu datang ke Pejabat PBTM Muar di Jalan Sulaiman antara pukul 9 pagi hingga 3 petang kerana permohonan itu dilanjutkan hingga 31 Disember ini," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian SVTB1M Negeri Johor yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, di sini kelmarin.

Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Zulkiflee Mazlan; Presiden Persatuan Veteran ATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan 25 ahli serta wakil Parlimen dari seluruh Johor.

Mereka merupakan sebahagian daripada 224,000 veteran tentera tidak berpencen dari seluruh negara yang layak menerima insentif daripada kerajaan bertujuan meringankan beban hidup keluarga bekas tentera selain menghargai pengorbanan mereka mempertahankan negara.

Shamsuddin berkata, bagi mereka yang sudah berdaftar dengan PBTM Muar tetapi tidak dapat hadir kelmarin, insentif itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan Muhyiddin ketika berucap pada majlis berkenan yang sedia menimbang untuk memberi SVTB1M kepada balu tentera juga dengan jumlah RM1,000 bagi menghargai sumbangan suami mereka.

Sementara itu, seorang penerima, Noroslan Maarof, 50, dari daerah ini yang sekarang berniaga kuih amat bersyukur kerana akhirnya kerajaan sedia memberikan insentif tersebut setelah sekian lama menantikannya.

Begitu juga dengan C. Balakrishnan, 65, yang kini berkhidmat dengan Telekom Malaysia (TM) di sini amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pemberian SVTB1M itu walaupun tempoh perkhidmatannya dengan ATM tidak sampai 21 tahun.

Utusan
17 Feb 2013

Sukarelawan Siswa4U dilancar


RAZALI Ibrahim (tengah) bersama mahasiswa yang menyertai Majlis Gotong Royong Perdana dan Pelancaran Sukarelawan Siswa4U Biro Pengajian Tinggi UMNO Malaysia di Parit Raja Muar, baru-baru ini.

MUAR 19 Feb. - Biro Institusi Pengajian Tinggi UMNO dengan kerjasama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Raja melancarkan Sukarelawan Siswa4U di Masjid Jamek Seri Menanti dan Balai Raya Parit Raja. di sini baru-baru ini.

Program selama dua hari itu dirasmikan oleh Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO dengan disertai dan dikendalikan oleh 184 mahasiswa ahli UMNO dari Muar.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, Sukarelawan Siswa4U dilancarkan selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda hujung tahun lalu, sekali gus melayakkan lebih 200,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta layak mengundi bermula Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, daripada jumlah itu, 14,000 daripadanya adalah ahli UMNO yang boleh terbabit secara langsung dalam politik, selain pelbagai lagi kerja kesukarelaan dalam parti-parti politik.

"Antara tujuan lain program Sukarelawan Siswa4U ialah mengetengahkan kepimpinan yang dimiliki golongan terbabit. Ini sebenarnya mencetuskan persoalan tentang kepimpinan, apa boleh kita buat terhadap 14,000 mahasiswa ini?

"Selaras pelancaran program sukarelawan My Beautiful Malaysia pada 3 Februari lalu anjuran 1Malaysia For Youth (IM4U) oleh Perdana Menteri, kita lancarkan Siswa4U yang diadakan khas di Muar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, antara tema program berkenaan ialah semangat kesukarelaan, selain pelbagai lagi program yang tidak dihadkan dan terpulang kepada para peserta.

Menurut Razali, antara perkara dirancang termasuk kebersihan dalam kalangan masyarakat, pembelajaran bahasa Inggeris, keagamaan serta gotong-royong, selain penyerahan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Terdahulu sebelum itu, beliau melancarkan Program Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) dan Sambutan Kesyukuran Kesejahteraan Jemaah Haji sempena Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Muar di Masjid Jamek Seri Menanti.

Program itu melibatkan penuntut-penuntut universiti dari daerah ini untuk bergotong-royong membersihkan masjid sebelum diteruskan dengan taklimat SPH yang diwujudkan untuk membantu para penghafal al-Quran melanjutkan pengajian di peringka doktor falsafah (PhD), sarjana, ijazah, diploma lanjutan dalam atau luar negara.

Selepas itu, Razali menyampaikan sumbangan kepada enam buah pusat tahfiz dalam Parlimen Muar iaitu Maahad Tahfiz Parit Sakai Laut, Maahad Tahfiz Parit Sakai Darat, Maahad Tahfiz Anak Yatim Muar, Maahad Tahfiz Parit Raja dan Maahad Tahfiz Sungai Gersik Laut.

Program berkenaan dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen Muar dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Muar, Tabung Haji Muar dan jawatankuasa majlis berkenaan.

Utusan
20 Feb 2013

Ibu tua akan dapat rumah baharu

MUAR 18 Feb. - Seorang ibu tua menetap bersama anaknya yang mengalami masalah mental di sebuah rumah usang yang hampir roboh di Jalan Junid di sini kini ceria apabila pelbagai usaha dilakukan untuk membaiki semula kediamannya bagi membolehkan mereka dua beranak hidup lebih selesa.

Zainab Abu Bakar, 73, sudah mendiami rumah berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu selepas kematian suaminya, namun sejak seminggu lalu, bahagian depan rumah berkenaan roboh kerana terlalu uzur menyebabkan dia dan anaknya yang berusia 50-an terpaksa tinggal di bahagian dapur.

Bagaimanapun, tindakan segera pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim mengumpul derma untuk membaiki rumah berkenaan sejak seminggu lalu serba sedikit dapat mengurangkan bebanan keluarga berkenaan.

"Bahagian luar rumah juga akan dinaiki air kerana tiada sistem perparitan di sini. Saya juga tidak mampu untuk menyewa rumah lebih selesa kerana sumber pendapatan hanyalah daripada sumbangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM)," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini selepas menerima kunjungan Razali kelmarin.

Difahamkan, Zainab memiliki empat anak, namun mereka juga tidak dapat menghulurkan bantuan kerana kesempitan hidup, manakala dia terpaksa menjaga anak lelaki sulungnya yang mempunyai masalah mental.

Selain bantuan membaiki rumah yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh seminggu, Zainab turut gembira menerima bantuan lain seperti keperluan harian serta makanan.

"Saya berterima kasih terhadap keprihatinan pemimpin dan penduduk kampung yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, sumbangan berjumlah RM10,000 dikumpul daripada pelbagai pihak akan digunakan bagi membaiki rumah keluarga berkenaan terutama menggantikan bumbung dan dinding baharu.

Bagaimanapun, katanya, wujud banyak kesulitan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami masalah berkaitan tempat tinggal berikutan status tanah dihuni mereka yang kebiasaannya ialah milik orang lain.

"Walaupun tidak dapat menggunakan peruntukan sedia ada, kita tetap menyalurkan bantuan peribadi bagi membantu mereka. Bagi jangka masa panjang kita akan cuba mendaftarkan keluarga ini untuk mendapatkan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.

Buat masa ini, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menjelaskan Pergerakan Pemuda kawasan berkenaan akan membantu keperluan keluarga itu dan segera membaiki kerosakan rumah berkenaan.

Utusan
19 Feb 2013


Calon SPM maut kemalangan


Keadaan motor yang digunakan mangsa.

MUAR - Seorang remaja tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini apabila maut dalam nahas jalan raya di Kilometer (KM) 145.6 Lebuh Raya Utara Selatan Plus arah utara, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Mangsa Alfian Atiman, 17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha secara bersendirian dari rumahnya di Kampung Alai, Panchor meninggal dunia di tempat kejadian.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah, Pagoh itu dipercayai mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan kejadian berlaku ketika hujan gerimis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kedua-dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kedua-dua pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis berhampiran. Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Pagoh, di sini, sebelum waktu zohor, semalam.

Sinar Harian
18 Feb 2013

Taktik kantoi, lelaki gagal jual telefon curi


MUAR - Seorang lelaki berputih mata bukan sahaja tidak sempat menikmati hasil barangan curi, malah bakal meringkuk dalam penjara selepas ditahan ketika cuba menjual telefon bimbit dicurinya dari sebuah kedai di Simpang Jeram, Bakri, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 36 tahun itu dicekup selepas cuba menjual telefon yang dicurinya dari salah sebuah kedai pemilik telefon tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, suspek memasuki premis berkenaan ketika pemiliknya sedang sibuk melayan pelanggan lain.

Beliau berkata, pemilik kedai itu tidak sempat menyapa suspek, kerana lelaki tersebut terlebih dahulu meninggalkan kedainya dalam keadaan tergesa-gesa dengan  menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

“Tidak lama kemudian, pemilik kedai berusia 36 tahun itu mula menyedari satu telefon bimbit jenis Samsung Ace Plus di kedainya hilang.

“Mangsa mengesyaki lelaki yang meninggalkan kedainya dalam keadaan tergesa-gesa itu telah mencuri telefon bimbit berkenaan, lalu menghubungi sebuah lagi kedai miliknya di Sungai Abong, dan berpesan kepada pekerja di sana supaya menahan jika ada lelaki datang mahu menjual telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, kebetulan suspek datang ke kedai telefon bimbit pemilik sama di Sungai Abong untuk menjual gajet berkenaan dan disedari pekerjanya.

“Namun, suspek yang mengesyaki perkara itu bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di kedai milik mangsa.

“Ekoran laporan dibuat mangsa, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan akhirnya dia diberkas empat jam kemudian di rumahnya di Jalan Haji Abdullah, Sungai Abong pada jam 4.45 petang,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis herion, dan tiada rekod jenayah lampau.

Kata Mohamad Nasir lagi, dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah yang berlaku di sekitar daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 kanun keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Sinar Harian
19 Feb 2013

Tujuh bulan jadi buruan

Mohamad Nasir menunjukkan telefon bimbit yang dirampas berikutan penahanan dua lelaki dalam kejadian berasingan, Jumaat lalu

MUAR - Sepandai-pandai  tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Situasi tepat seorang peragut yang kononnya berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa, namun akhirnya dicekup ketika menaiki motosikal di Jalan Mariam di sini, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu sebelum ini dilaporkan menjadi buruan polis sejak tujuh bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, lelaki itu ditahan pada jam 12.30 tengah hari dan hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat kes ragut pada 12 Julai tahun lalu.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, suspek telah meragut beg milik seorang suri rumah di sebuah kafe minuman di Taman Junid Perdana, Jalan Abdul Rahman di sini.

“Suspek menaiki motosikal bersama rakannya dikatakan memasuki kafe itu dan secara tiba-tiba meluru ke arah wanita berkenaan sebelum merampas beg miliknya.

“Selepas mendapat beg itu, suspek melarikan diri menaiki motosikal yang ditunggang rakannya, di luar premis tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik mangsa membuat laporan di balai berhampiran berhubung kejadian, polis melancarkan gerakan memburu suspek tetapi hanya berjaya menahan rakan suspek yang berusia 20an, tahun lalu.

Jelasnya, usaha mencari suspek yang bekerja sebagai ejen insurans diteruskan sehingga berjaya ditangkap, Jumaat lalu.

“Ketika ditahan, polis merampas satu telefon bimbit dipercayai milik suri rumah berusia 44 tahun itu yang kerugian hampir RM3,000.

“Dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah yang berlaku sekitar daerah ini,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan bebas dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya.

Menurutnya, suspek direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 kanun keseksaan.

Sinar Harian
19 Feb 2013

Saturday, February 16, 2013

2 bengkel terbakar ketika pemilik rai Tahun Baharu Cina


MUAR 10 Feb. - Dua pemilik bengkel di Parit Haji Baki, Jalan Sultan Ibrahim di sini kerugian kira-kira RM200,000 selepas hampir musnah dalam satu kebakaran pada pukul 8.30 pagi ini.

Bagaimanapun pemiliknya terselamat kerana keluar meraikan Tahun Baharu Cina di tempat lain. - utusan

11 Feb 2013

Warga emas dapat rumah baharu


SHARUDDIN Md. Salleh (tengah) menyerahkan dokumen kepada Jamilah Salim sebagai persetujuan untuk membina rumahnya yang baharu di Kampung Bukit Batu, Bukit Pasir, Muar, kelmarin.

MUAR 12 Feb. - Hampir tiga bulan seorang ibu tunggal terpaksa menumpang di rumah saudaranya selepas rumah yang didiaminya selama lebih 35 tahun di Kampung Bukit Batu, Bukit Pasir di sini, terpaksa dirobohkan kerana didirikan atas tanah milik orang.

Kesulitan dan nasib tidak menentu Jamilah Salim, 62, bagaimanapun terbela apabila Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta UMNO Bahagian Pagoh segera membantunya membina rumah baharu.

Rumah tersebut akan dibina dalam tempoh terdekat oleh lebih 20 anggota dari Markas 7 Briged Kem Kluang yang dijangka siap dalam tempoh 40 hari.

Jamilah berkata, sebelum kematian suami yang juga seorang bekas tentera, Mohamad Yusof lapan tahun lalu, dia dan lima anaknya menetap di rumah berkenaan kerana menyangka ia adalah milik kerajaan sehingga pada 30 Disember lalu, pemilik sebenar tanah itu mengatakan sudah menjualnya kepada seorang pembeli.

"Pemilik baharu tanah itu meminta saya keluar dari rumah tersebut kerana ia akan dirobohkan dan sejak itu saya menumpang di rumah kakak ipar bersama anak bongsu berusia 23 tahun," katanya semasa ditemui selepas majlis doa selamat sempena pembinaan rumah berkenaan semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh serta Ketua PBTM Muar, Shamsuddin Rais.

Jamilah yang bersyukur kerana menerima bantuan berkenaan mengakui kerajaan amat prihatin terhadap nasib menimpa keluarga balu bekas tentera sepertinya.

Wanita itu yang hanya bergantung hidup kepada pencen suaminya berjumlah RM700 sebulan berharap kediaman itu akan segera disiapkan bagi membolehkannya menjalani kehidupan dengan lebih gembira.

Sementara itu Shamsuddin berkata, JHEV mengeluarkan peruntukan sejumlah RM15,000 manakala PBTM, UMNO Pagoh serta Baitulmal masing-masing menderma RM5,000 bagi membina rumah tersebut.

Pihaknya juga mendapat bantuan daripada Markas 7 Briged Kem Kluang yang menyiapkan pelan serta menyediakan tenaga kerja bagi membina rumah berkenaan secepat mungkin.

Utusan
13 Feb 2013

10,000 tumpu rumah terbuka Parlimen Muar




MUAR 11 Feb. - Hampir 10,000 masyarakat berbilang kaum mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Muar yang berlangsung selama tiga jam di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Muar, di sini hari ini.

Sambutan tahunan di peringkat daerah itu dimeriahkan dengan pelbagai juadah, selain dihiburkan dengan tarian singa dan persembahan nyanyian secara solo serta berkumpulan.

Ahli Parlimennya, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui berkata, penganjuran itu adalah satu simbol persefahaman dan perpaduan untuk seluruh 47,700 penduduk di Muar yang mana hampir 20,000 daripadanya adalah masyarakat Cina.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berharap penganjuran seperti itu dapat mengeratkan lagi hubungan sedia ada dengan mencari persamaan dan bukan perbezaan.

"Kita bukan sahaja anjur majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali tetapi juga Tahun Baharu Cina pada setiap tahun untuk kita sama-sama meraikannya. Kita pilih penganjurannya pada hari raya kedua kerana mahu lebih ramai masyarakat Cina hadir.

"Kalau diadakan selepas minggu pertama sambutan Tahun Baharu Cina dikhuatiri ramai yang sudah pulang semula ke bandar. Kita akan terus kekalkan budaya ini kerana dengan cara ini dapat meningkatkan keharmonian antara kita," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, penduduk Muar wajar berbangga kerana kumpulan tarian singa dari daerah ini pernah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurutnya, kumpulan tarian singa dari Muar pernah 109 kali memenangi pertandingan tarian singa di peringkat luar negara sementara 58 kali menjadi juara dalam negara dan lebih mengejutkan kumpulan itu turut disertai orang Melayu India.

Utusan 
12 Feb 2013

Wednesday, February 13, 2013

Lelaki murung terjun Sungai Muar


Di tepi tembok Laman Maharani inilah Sujaryo duduk sebelum terjun ke tebing dan berlari memasuki Sungai Muar. 

Kesan tapak kaki didakwa milik Sujaryo yang berlari sebelum terjun ke Sungai Muar.

MUAR - Tindakan seorang lelaki warga Indonesia yang dilihat berlari secara tiba-tiba dari tebing lalu terjun ke Sungai Muar sebelum tenggelam menimbulkan kejutan kepada rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, perbuatan Sujaryo, 21, disaksikan sendiri rakan-rakannya  yang turut berada di Laman Maharani bersebelahan dengan tempat kejadian, kelmarin.

Rakan mangsa, Jamhari, 30, berkata, sebelum kejadian Sujaryo duduk di tepi tembok Laman Maharani sambil memakan keropok.

Menurutnya, secara tiba-tiba Sujaryo terjun ke tebing lalu berlari ke arah sungai yang sedang surut.

“Saya sempat memanggilnya beberapa kali tetapi tidak dihiraukan dan terus berlari menuju dan memasuki sungai sebelum tenggelam dalam sungai Muar.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jamhari mengenali rakannya itu tiga tahun lalu ketika Sujaryo yang berasal dari Jawa Barat baru memulakan pekerjaan sebagai buruh binaan dengan majikannya di Bakri.

“Empat hari kebelakangan ini, Surjaryo kelihatan tidak sihat, murung dan turut beritahu sering diganggu suara ghaib.

“Dia terlalu runsing dengan masalah itu sehinggakan dilihat kerap termenung semasa bekerja,” katanya.

Katanya, pagi tadi (kelmarin) Sujaryo meminta untuk menemaninya membeli kasut dan baju di kedai pakaian terpakai di bandar ini.

“Selepas beli pakaian, kami makan tengah hari bersama-sama sebelum ke Laman Maharani untuk bertemu rakan-rakan lain.

“Ketika di Laman Maharani, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang mencurigakan dan sempat menyuruh rakan ambil gambarnya menggunakan telefon bimbit miliknya,” katanya.

Katanya lagi, dia tidak menyangka Sujaryo akan bertindak di luar jangkaan dan masih terkejut dengan insiden yang berlaku di depan matanya sendiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Usaha mencari mangsa yang hilang sejak kelmarin masih diteruskan hari ini (semalam), namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
13 Feb 2013


Mayat lelaki terjun sungai ditemui


Lokasi mayat Sujaryo ditemui sekumpulan pemancing di Tanjung Emas, semalam.

MUAR - Mayat lelaki warga Indonesia yang hilang selepas berlari memasuki sungai sebelum tenggelam di Sungai Muar dalam kejadian Ahad lalu, ditemui di Tanjung Emas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nasir Ramli berkata, mayat Sujaryo, 21, ditemui jam 4.55 pagi oleh sekumpulan pemancing di kawasan berhampiran sebelum menghubungi polis marin.

“Mayat lelaki tersebut lengkap berpakaian dan tersangkut pada jeti  di kawasan berkenaan, ketika ditemui.

“Seramai lima anggota unit penyelamat marin dikejarkan ke lokasi untuk mengambil mayat yang dicari sejak lima hari lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat lelaki yang hanyut sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF)  untuk bedah siasat.

Sinar Harian Rabu lalu, melaporkan seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri mati lemas apabila hilang selepas dilihat berlari dari tebing lalu memasuki Sungai Muar.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, perbuatan lelaki itu, disaksikan sendiri rakan-rakannya  yang turut berada di Laman Maharani bersebelahan dengan tempat kejadian.

Rakan mangsa, Jamhari, 30, berkata, sebelum kejadian Sujaryo duduk di tepi tembok Laman Maharani sambil memakan keropok yang dibelinya dari kedai berhampiran.

Menurutnya, tiba-tiba Sujaryo terjun ke tebing lalu berlari ke arah sungai yang sedang surut dan tidak menghiraukan panggilannya  sebelum tenggelam dalam  Sungai Muar.

Sinar Harian
16 Feb 2013

Saturday, February 9, 2013

Dua maut, tujuh cedera nahas berasingan


Keadaan bas dan kereta yang bertembung di Jalan Salleh, Muar, semalam. - Foto Shahrul M Zain

Muar: Dua maut dan tujuh cedera dalam dua kemalangan berasingan masing-masing, di Jalan Salleh dekat Taman Cemerlang, di sini, dan Kilometer 133 Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh semalam.

Dalam kejadian di Jalan Salleh pada jam 5.45 pagi, Lim Pang Hong, 23, maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan bas persiaran, yang membawa 16 penumpang.

Kenderaan terbabas 

Pang Hong bersama empat rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Setongkat dekat Jalan Salleh apabila kereta mereka terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan bas persiaran dari arah Muar ke Johor Bahru.

Pang Hong mati di tempat kejadian, manakala empat rakannya hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Di Pagoh, hasrat empat beranak meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh tidak kesampaian, apabila kereta dinaiki terbabas menyebabkan seorang maut di Lebuhraya Utara Selatan jam 11.30 pagi.

Chong Tum Tuck, 64, mati di lokasi akibat patah leher.

Isterinya, Leong Mun, 58, dan dua lagi ahli keluarga mereka, Chong Ah Kaw, 69, dan Chang Guiqin Jacqueline, 22, cedera dan di rawat di HPSF.

Perjalanan ke Ipoh 

Mangsa bersama ahli keluarganya itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Ipoh, bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Kereta Toyota Camry dipandu mangsa terbabas sebelum terbalik ke parit berdekatan dipercayai akibat hujan lebat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Berita Harian
9 Feb 2013


Lelaki maut dalam kemalangan


Kereta mangsa bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Salleh, semalam. Mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat.

MUAR - Seorang pemuda tidak sempat menyambut Tahun Baru Cina apabila maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan kereta dengan bas persiaran di Jalan Salleh berhampiran Taman Cemerlang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi, Lim Pang Hong, 23, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu selama 20 minit.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar makan malam bersama empat rakannya.

Setiba di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran yang datang dari arah Muar menghala ke Johor Bahru.

Akibat rempuhan itu, kereta dipandu mangsa remuk teruk dan terperosok di bawah hadapan bas persiaran yang dinaiki 16 penumpang lain.

Pemandu bas berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Johor Bahru, tetapi singgah ke Muar bagi menghantar penumpang.

Menurutnya, sebaik sahaja memasuki Jalan Salleh, pada jarak 200 meter, dia melihat sebuah kereta dalam keadaan tidak terkawal sebelum insiden berkenaan.

“Dentuman kuat itu mengejutkan semua penumpang yang sedang tidur dan mereka panik dengan kejadian yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu bas berkata, kesemua penumpang selamat dan bas hanya mengalami sedikit kerosakan serta boleh meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sinar Harian
9 Feb 2013


Seorang maut, tiga cedera

Mayat Tum Tuck dihantar ke HPSF untuk bedah siasat.


MUAR - Percutian empat sekeluarga untuk pulang ke Ipoh bagi menyambut Tahun Baru Cina bertukar tragedi apabila salah seorang ahli keluarga terkorban dalam kemalangan di kilometer 133 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara bersebelahan Jalan Parit Sulong-Pagoh berhampiran Pagoh di di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Chong Tum Tuck, 64, memandu kereta Toyota Camry bersama tiga ahli keluarganya dari Johor Bahru.

Hujan lebat dipercayai menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam parit.

Mangsa, Tum Tuck meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.

Sementara penumpang lain, Chang Guiqin Jacqueline, 22, Chong Ah Kaw@ Chong Sum Wai, 69, dan Leong Mun, 58, cedera dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Berapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar dikerahkan untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan, berhati-hati dan meminta mereka mengutamakan keselamatan dengan memandu secara berhemah kerana cuti Tahun Baru Cina sudah pun bermula.


Sinar Harian
9 Feb 2013



Friday, February 8, 2013

22,000 rakyat nikmati BR1M 2.0



RAZALI Ibrahim (tengah) beramah mesra dengan warga emas yang menunggu giliran untuk menerima wang tunai RM500 dalam Majlis Penyerahan Baucar BR1M 2.0 Parlimen Muar di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah, Muar, Johor, semalam.

MUAR 6 Feb. - Sebanyak RM11 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 melibatkan kira-kira 22,000 penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, bagi fasa pertama, seramai 10,701 penduduk menerima bantuan berjumlah RM500 seorang itu membabitkan pemberian kepada golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

"Pada kali ini seramai 22,000 penduduk dijangka layak menerima bantuan berkenaan dan jumlah itu tidak jauh berbeza daripada jumlah yang menerima bantuan serupa pada tahun lalu iaitu 20,000 penduduk.

"Daripada jumlah penerima fasa pertama ini, seramai 8,461 penduduk menerimanya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani manakala 2,240 lagi bagi kawasan DUN Sungai Balang.

"Pemberian ini dilakukan secara berperingkat-peringkat dan kepada yang masih belum menerimanya jangan ingat tidak ada, tunggu dulu sehingga selesai fasa pertama pada Februari ini," katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Taman Tun Sulaiman Ninam shah di sini hari ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, bantuan seterusnya kepada golongan muda dijangka membabitkan kira-kira 7,000 orang.

Beliau berkata, bantuan berkenaan menunjukkan keprihatinan terhadap bebanan ditanggung rakyat dan berharap ia tidak dipolitikkan pihak tertentu.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi BR1M untuk semua, tidak kira siapa kerana kita menerima sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dan semua dilakukan untuk rakyat. Ini termasuk juga bantuan lain," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Razali mengingatkan penerima BR1M supaya menggunakan bantuan itu untuk meringankan beban mereka berikutan harga barangan dan kos hidup yang semakin tinggi.

Pemberian itu katanya, bagi menggantikan subsidi tertentu sebelum ini dan diberikan pula dalam bentuk BR1M tetapi matlamatnya tetap sama untuk membantu rakyat terutamanya mereka berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Utusan
7 Feb 2013


Mangsa kemalangan antara penerima BR1M


Ahmad bangga menunjukkan wang bantuan BR1M 2.0, RM 500 yang diterimanya, semalam.

MUAR – “Saya sangat gembira dapat nombor giliran lebih awal untuk terima wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berbanding penerima lain,” kata Ahmad Othman, 65.

Ahmad dari Jalan Dato Haji Hassan di sini, antara salah seorang daripada 2,854 penerima BR1M 2.0 bagi kawasan Parlimen Bakri yang mula diagihkan, semalam.

Dia hadir pada jam 7.30 pagi semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran awal bagi mengelakkan daripada menunggu dalam tempoh yang lama.

“Saya ikut nasihat rakan-rakan yang pernah mendapat BR1M pertama tahun lalu supaya dapat awal untuk mendapatkan nombor giliran.

“Wang RM500 ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan keperluan harian keluarga bagi bulan ini,” katanya.

Ahmad yang mengalami masalah pergerakan berikutan impak insiden kemalangan yang menimpanya 12 tahun lalu.

“Ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar isteri ke tempat kerja di sebuah kilang di Bukit Pasir.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal saya tunggangi itu dirempuh sebuah kereta dari arah belakang,”

Sinar Harian
9 Feb 2013

Pasar mini terbakar


Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api.

MUAR - Seorang peniaga kerugian ratusan ribu ringgit apabila pasar mini miliknya di Taman Pertama, Sungai Abong, di sini, terbakar awal pagi semalam.

Kejadian jam 3.40 pagi itu, mengakibatkan dua daripada tiga unit premis perniagaan itu hangus, manakala satu unit yang menempatkan sayur-sayuran terselamat.

Pemilik pasar mini, Abdul Hamid Abdul Rahman, 58, berkata, kebanyakan barangan yang musnah adalah bekalan jualan untuk kegunaan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina minggu ini.

Dia yang masih terkejut tidak dapat menyembunyikan rasa sedih kerana perniagaan yang diusahakan sejak 15 tahun lalu musnah sekelip mata.

Saksi yang dikenali sebagai Faizul, 23, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila ternampak satu percikan api di bahagian bumbung ketika melalui pasar mini berkenaan.

“Selepas itu, saya terbau hangit disusuli letupan kuat.

Namun, api marak begitu cepat dan saya sempat mengejutkan penduduk berdekatan untuk membantu menyelamatkan barang-barang di dalam kedai itu.

“Saya segera menelefon bomba Muar, sementara penduduk cuba membantu sebelum mereka berhenti bila api makin marak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.58 pagi.

Katanya, sebanyak dua jentera bersama 12 anggota segera dikerahkan.

“Pihak bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengawal dan memadam api.

“Jumlah kerugian sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
8 Feb 2013

Sunday, February 3, 2013

Tambah baik kemudahan di HPSF


Chriss Lee Ching Yong (baris depan, empat dari kiri) bersama ahli MCA Bahagian Bakri, JPMM DUN Bentayan dan beberapa NGO ketika menghadiri sesi dialog berkaitan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 2 Feb. - Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan akan memohon kepada Kementerian Kesihatan untuk meminta penambahan blok bangunan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini berikutan keadaannya semakin sesak.

Pengerusi JPMM Dun Bentayan, Chriss Lee Ching Yong yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar berkata, HPSF yang termasuk dalam kawasan Bentayan kini menerima rungutan orang ramai yang mahukan masalah itu diselesai segera.

"Pihak kami akan berusaha membantu menyelesaikan masalah ini demi kepentingan orang ramai. Untuk jangka masa pendek, kita bercadang menambah wad sedia ada termasuk bilangan katil bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat setiap hari.

Utusan
3 Feb 2013

Bakal pengantin cari bapa


Nurul Baizura menunjukkan borang permohonan wali hakim untuk majlis pernikahannya pada 16 Februari ini.

MUAR - Seorang bakal pengantin dari Parit Zin, Air Hitam, di sini, sedang mencari bapa kandungnya yang gagal dikesan sejak berpisah dengan ibunya kira-kira 23 tahun lalu untuk menjadi wali  pernikahan.

Nurul Baizura Saimin, 23, dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Muhammad  Ashraff Nazrul, 30, dari Johor Bahru pada 16 Februari ini.

Menurutnya, bapa kandungnya, Saimin Haron, 56, yang berasal dari Pontian, tidak dapat dikesan selepas berpisah dengan ibunya, Zubaidah Yusof, 49.

“Sejak itu, tiada sebarang berita mengenainya malah kami telah berusaha mengesannya dengan bertanya saudara mara termasuk keluarga sebelah bapa di kampung asal di Pontian, namun tidak berhasil.

“Ahli keluarga di Pontian juga tidak tahu di mana bapa saya berada. Ini membuatkan kami buntu mencarinya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya di kampung sudah dilakukan termasuk mengedarkan kad jemputan, tetapi urusan mencari wali masih lagi tidak berhasil.

Nurul Baizura berkata, dia ada melakukan semakan nama bapanya di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tetapi tindakan dilakukan tidak membuahkan hasil kerana bapanya masih belum menukar kad pengenalan lama kepada baru sekaligus menyukarkan usahanya.

“Saya berharap beliau akan tampil dan menjadi wali pernikahan.

“Saya juga mahu beliau ada bersama-sama meraikan hari bahagia saya bersama bakal suami.

“Mohon jasa sesiapa yang  mengenali atau  mempunyai maklumat mengenai bapanya boleh hubungi saya di talian 014-2351063,” katanya.

Sinar Harian
2 Feb 2013

Ahli PBTM Cawangan Muar ditawar ternak ayam


MUAR 31 Jan. - Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) menawarkan seramai 4,064 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar untuk menceburi perniagaan menternak ayam yang mampu memberi pendapatan lumayan sehingga RM30,000 sebulan.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPNJ, Datuk Saipolbahari Suib berkata, bagi merealisasikan projek itu, pihaknya akan bekerjasama membekalkan anak ayam, makanan dan ubat-ubatan secara percuma tetapi pengusaha perlu menyediakan tapak ternakan dan reban ayam.

"Tempoh pembesaran mengambil masa 30 hari dan PPNJ akan membeli ayam ini selepas tempoh itu. Sebagai contoh, apabila pengusaha menternak 20,000 ekor ayam dan jual dengan harga ditetapkan PPNJ iaitu RM1.50 sekilogram, mereka akan mendapat hasil RM30,000 sebulan.

"Justeru, ahli-ahli PBTM Muar diminta merebut peluang ini kerana dapat membantu membangun dan meningkatkan taraf ekonomi mereka," katanya semasa merasmikan Kursus Perniagaan Veteran Tidak Berpencen Siri 3 di Hotel Pelangi, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jika tidak berkemampuan untuk menjalankannya secara individu, projek ternakan itu boleh dilakukan di bawah persatuan berkenaan bagi mendapatkan modal untuk menyediakan reban dan tapak ternakan.

Saipolbahari yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (Nafas) berkata, PPNJ memerlukan lebih ramai penternak kerana pertubuhan itu telah meningkatkan pengeluaran ayam prosesnya kepada 25,000 berbanding 15,000 ekor sehari sebelum ini.

Menurutnya, Nafas pula menyasarkan pengeluaran ayam proses sebanyak 50,000 ekor sehari yang akan dipasarkan ke luar negara.

Bagaimanapun katanya, bekas perajurit tersebut perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli unit peladang sebelum terlibat dalam perniagaan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi PBTM Muar, Shamsuddin Rais berkata, seramai 105 peserta yang mengikuti kursus tersebut diberikan pendedahan membuat akaun perniagaan, kemudahan pinjaman kerajaan dan mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Kesemua peserta akan mengikuti kursus lanjutan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dalam masa terdekat," katanya sambil memberitahu kursus itu dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Utusan
1 Feb 2013

Muhyiddin mahu golongan muda ganding bahu dengan kerajaan majukan negara



Muhyiddin melancarkan program 'My Beautiful Malaysia' di peringkat negeri. Gambar The Star

MUAR 3 Feb 2013 - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat seorang remaja yang sedang mengecat pagar Stadium Sultan Ibrahim sempena program "My Beautiful Malaysia" peringkat negeri Johor.-UTUSAN/ISHAK RAHMAD

MUAR: Timbalan Perdana Menteri mahu golongan muda di negara ini supaya berganding bahu dengan kerajaan bagi memajukan negara menerusi pelbagai kegiatan kesukarelaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, masa depan negara ini dan rakyat bukan hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi juga di bahu golongan muda dan belia.

"Kerajaan memberi pengiktirafan yang amat besar kepada anak-anak muda negara ini. Kita mahu menggembleng usaha anak-anak muda supaya bersama-sama memaju dan membangunkan negara ini menerusi kegiatan kesukarelaan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian di hadapan 20,000 anak-anak muda pelbagai lapisan yang terlibat dengan program "My Beautiful Malaysia" peringkat negeri Johor yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Menurut Muhyiddin, tahun ini diiktiraf oleh kerajaan sebagai Tahun Kesukarelaan Negara, dengan penyediaan peruntukan RM100 juta di bawah Dana Sukarela 1Malaysia kepada badan-badan sukarela.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masa depan rakyat dan negara ini perlu diperjuangkan bersama, dengan anak-anak muda yang mempunyai ilmu, jiwa dan semangat yang merupakan aset penting kepada negara.

Pada masa yang sama, beliau meminta golongan muda di negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan keharmonian di antara kaum serta kemajuan ekonomi yang dibina selama ini.

"Kita meminta anak-anak muda supaya terus bersama dengan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional agar usaha kita untuk menjadikan Malaysia cantik, bersih, maju, sebagaimana yang kita banggakan," katanya.

Selain majlis perasmian di Stadium Sultan Ibrahim, program "My Beautiful Malaysia" turut diadakan di sembilan daerah di Johor yang disertai kira-kira 100,000 anak muda.

Program peringkat kebangsaan yang menyaksikan anak-anak muda terbabit di dalam pelbagai kegiatan kesukarelaaan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - BERNAMA

3 Feb 2013



Berganding bahu dengan kerajaan - TPM

MUHYIDDIN Yassin mengecat dinding sambil diperhatikan oleh isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan), Abdul Ghani Othman (dua dari kiri), S. Subramaniam (empat dari kiri) dan Razali Ibrahim (lima dari kiri) sempena program My Beautiful Malaysia peringkat negeri Johor di Muar, Johor, semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad

MUAR 3 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak generasi muda berganding bahu dengan kerajaan membangunkan lagi negara menerusi aktiviti kesukarelaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, golongan muda boleh menyumbang dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kebijaksanaan mereka untuk bersama-sama membantu rakyat yang lemah menerusi aktiviti sukarela mengikut kecenderungan dan kegemaran mereka dalam usaha membangunkan negara.

"Bidang kesukarelaan tidak terbatas. Buatlah program membantu masyarakat mengikut kegemaran dan lakukan yang terbaik untuk bersama-sama menyumbang kepada orang ramai. Marilah bergerak sederap dalam satu barisan dan menjadi satu pasukan bersama kerajaan.

"Yang penting kita mesti ada semangat, lakukan dengan bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban apa sahaja. Kerajaan sudah sediakan dana sebanyak RM100 juta dan geran ini akan disalurkan untuk menjayakan program dan aktiviti kesukarelaan yang akan diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan My Beautiful Malaysia peringkat negeri Johor di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Lebih 20,000 orang khususnya golongan remaja dan belia membanjiri padang stadium berkenaan dan setia mendengar amanat Timbalan Perdana Menteri walaupun hujan renyai.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan dan menghargai sumbangan golongan muda memaju dan membangunkan negara khususnya dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata, proses transformasi yang dilakukan kerajaan turut memerlukan sumbangan generasi muda kerana mereka sebahagian daripadanya, malah kemajuan dan pembangunan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengiktirafan ramai pemimpin dunia.

"Kita hendak majukan lagi negara dan negeri ini. Misalnya Johor kini dipandang tinggi dan menjadi tumpuan pelabur dengan adanya Iskandar Malaysia dan projek RAPID di Pengerang serta kita mempunyai khazanah untuk dibangun dan dibugarkan.

"Kita ingin menjadi negara contoh, model kepada banyak negara lain dan ramai yang mengagumi kita kerana walaupun berbilang kaum tetapi dapat hidup dengan aman, harmoni dan bersatu memajukan negara tidak seperti di beberapa negara lain yang berbalah sesama kaum mereka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ada golongan yang mendakwa semangat kesukarelaan dalam kalangan generasi muda kian pudar dan sebagai generasi yang menjadi pemimpin masa depan mereka harus bergiat aktif dalam pelbagai bidang termasuk aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan.

Utusan
4 Feb 2013


Friday, February 1, 2013

Muka tercucuk serpihan kaca


Lori dipandu Tio Hok yang merempuh tiang kabel Telekom dalam kejadian di Jalan Dato Haji Kosai, berdekatan Parit Raja, malam kelmarin.

MUAR – Seorang lelaki nyaris maut selepas lori yang dipandunya merempuh tiang kabel Telekom di hadapan Jalan Dato Haji Kosai, berdekatan Parit Raja di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam, Tiam Tio Hok, 50an, dari Batu Pahat, cedera parah di muka selepas terkena serpihan kaca ekoran cermin depan lori yang pecah akibat rempuhan tersebut.

Lebih malang, seorang orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian tercedera di kepala kerana dihempap tiang Telekom tersebut ketika cuba menghalang lori lain daripada melintasi jalan berkenaan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selepas 10 minit kejadian untuk rawatan lanjut dengan bantuan orang ramai.

Difahamkan, lori tersebut dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua arah laluan di situ sesak hampir satu kilometer kerana dua tiang kabel Telekom tumbang menghalang lalu lintas.

Saksi kejadian, Abdul Hadi Menhad, 22, berkata, kabel elektrik itu mengendur disebabkan sebelum ini pernah dilanggar dua treler ketika melalui jalan berkenaan.

“Apabila lori ketiga (lori terlibat hari kejadian) melintasi jalan tersebut, kabel itu tersangkut di kepala lori, lalu tertarik kabel sehingga jarak kira-kira 12 meter dan mengakibatkan dua tiang kabel itu tumbang ke tengah jalan dan satu lagi bengkok,” katanya.

Katanya, kemalangan yang berlaku di hadapan kedai runcit bapanya itu menyebabkan kesesakan jalan di situ sehingga memaksa kenderaan lain menggunakan jalan kampung untuk ke bandar Muar atau menghala ke Batu Pahat.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59,” katanya.

Sinar Harian
1 Feb 2013



Jerat kabel

Muar: Dua lelaki nyaris maut apabila sebuah lori melanggar kabel telefon yang mengendur dan merentangi jalan di Jalan Dato Haji Kosai di sini, jam 8.15 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, pemandu lori Tiam Tio Hok, 50-an, berasal dari Batu Pahat parah selepas cermin depan lori dipandunya pecah akibat terlanggar kabel menyebabkan serpihan kaca itu terkena mukanya.

Ketika kejadian, Tiam memandu sendirian dan dalam perjalanan ke Batu Pahat dari Kuala Lumpur.

Pejalan kaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan, Borhan Jamak, 40, cedera di kepala akibat dihempap satu daripada tiang kabel itu.

Saksi kejadian, Abdul Hadi Menhad, 22, berkata, sebelum itu, dua treler yang melalui kawasan berkenaan terlanggar kabel berkenaan dan menyebabkan kabel itu semakin kendur.

myMetro
1 Feb 2013