REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, October 31, 2013

Pemilik bengkel ditahan miliki 3 senapang, dadah

MUAR 31 Okt. - Seorang pemilik bengkel motosikal ditahan kerana memiliki senapang menyerupai M14, dua senapang buatan sendiri dan dadah jenis syabu dalam satu serbuan di bengkelnya di Jalan Haji Ahmad, Bakri, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu, suspek yang berusia 33 tahun itu sedang tidur.

"Kita menemukan dadah jenis syabu seberat 0.6 gram yang dipercayai milik suspek. Turut dijumpai sebuah komputer riba jenama Acer, lapan blok enjin motosikal serta beberapa komponen utama motosikal kenderaan lain yang sudah dileraikan.

"Senapang dan dadah berkenaan adalah untuk kegunaan suspek sendiri, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Menurut Sahadan, pihak polis percaya bengkel itu turut dijadikan tempat meleraikan komponen motosikal sebelum dijual kepada pembeli. - UTUSAN ONLINE

31 Okt 2013


Raifal menyerupai M14 dirampas

Muar: Polis merampas sepucuk raifal menyerupai M14 yang sudah diubah suai serta dua senapang angin buatan sendiri selepas menyerbu sebuah bengkel membaiki motosikal di Jalan Haji Ahmad, Bakri, di sini, Selasa lalu.

Dalam serbuan pada jam 7 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga pemilik bengkel terbabit berusia 33 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar berkata, suspek sedang tidur ketika ditahan.

“Selain senjata itu, kami turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.6 gram milik suspek.

“Turut ditemui seunit komputer riba, lapan enjin motosikal serta beberapa komponen jentera berkenaan yang sudah dileraikan.

“Dadah serta senjata itu milik suspek dan kami masih menyiasat dari mana dia memperoleh raifal menyerupai M14 terbabit,” katanya.

Menurut Sahadan, bengkel berkenaan dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan lalu. Katanya, siasatan turut mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala ujian air kencingnya juga didapati positif syabu.

“Suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana memiliki barang curi.

“Berdasarkan dadah yang ditemui, kami turut menyiasat suspek mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 12 (2) akta yang sama,” katanya.

myMetro 1 Nov 2013

Perarakan bot berhias di Muar bulan depan

JOHOR BAHRU - Perarakan bot berhias akan dianjurkan di Sungai Muar pada 24 November ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata perarakan bot berhias itu yang merupakan kali kedua diadakan kini merupakan antara acara utama pelancongan di Johor.
 
"Muar dipilih kerana daerah itu merupakan Bandar Diraja dan kini mempunyai potensi pelancongan yang menarik.
 
"Proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperkenalkan Muar sebagai Bandar Diraja telah menyediakan pelbagai tempat yang harus dikunjungi oleh para pelancong di masa hadapan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
 
Beliau berkata 26 bot berhias iaitu 20 daripada agensi kerajaan dan enam sektor swasta akan menyertai perarakan itu, dan 20,000 pengunjung dijangka membanjiri bandar Muar untuk menyaksikan acara itu.

Antara agensi kerajaan yang menyertainya ialah pejabat daerah seluruh negeri, majlis-majlis perbandaran dan agensi persekutuan di peringkat negeri manakala pihak swasta pula ialah Yayasan Pelajaran Johor Holdings, Uda Land (South), Syarikat Air Johor, Johor Corporation, Iskandar Investment dan Leong Hup.
 
Tee berkata peruntukan sejumlah RM30,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk penganjuran perarakan bot berhias tersebut.
 
"Kerajaan negeri juga berusaha memperlihatkan kemeriahan di Sungai Muar nanti setanding aktiviti sukan sungai di Mae-Nam Chao Phraya di Bangkok, Thailand," katanya.
 
Penganjuran sukan air bertaraf antarabangsa seperti regatta antarabangsa, kejohanan jet ski dan kejohanan memancing peringkat nasional juga berpotensi diadakan di Muar, katanya.
 
Tee berkata aktiviti sukan air yang dirancangkan itu diyakini dapat menarik pelancong tempatan dan asing. - Bernama

31 Okt 2013


Tuesday, October 29, 2013

Minoriti orang Bugis ada di Muar

Membasuh kaki atau ‘ mattaluttuk’ adalah acara wajib persandingan pengantin masyarakat Bugis.

Kampung Parit Bugis dibuka oleh orang Bugis dari Kepulauan Riau, Indonesia iaitu Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar pada 1904.

RAMAI tidak mengetahui, daerah Muar yang begitu sinonim dengan komuniti Jawa sebenarnya mempunyai kumpulan kecil  komuniti Bugis yang menetap di dua perkampungan daerah ini iaitu di Kampung Parit Bugis dan Kampung Sungai Pulai Laut.

Kampung berkenaan berada dalam mukim Sungai Balang dibuka oleh orang-orang Bugis yang berhijrah dari Indonesia ke daerah ini untuk mencari pekerjaan dengan meneroka hutan untuk membuka kebun.

Mengikut sejarah, Kampung Parit Bugis, diteroka oleh orang-orang Bugis yang diketuai Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar  dari Kepulauan Riau, Indonesia pada 1904.

Menurut ketua kampungnya, Saifudin Kadak, orang Bugis membuka kawasan hutan di sini dan telah mengusahakan tanaman getah, namun tanaman itu tidak menjadi kerana pokok getah tidak sesuai dengan kawasan tanah gambut.

“Tiga keluarga orang Bugis itu kemudiannya meninggalkan kampung tersebut setelah lima tahun berada di situ dan kerja-kerja membuka hutan diambil alih oleh orang-orang Jawa yang berasal dari Kabupaten Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia untuk mengusahakan tanaman kelapa pula.

“Tapak asal seluas kira-kira 1.5 hektar yang mula-mula diteroka oleh Daeng Saribut  masih wujud dan diusahakan penduduk kampung dengan tanaman sawit,”  katanya kepada Sinar Harian.

Sifat jujur

Sementara, Kampung Sungai Pulai terbahagi kepada dua iaitu laut dan darat. Sungai Pulai Laut  diteroka oleh  orang Bugis bernama Babak bersama rakan-rakanya sekitar 1900. Babak merupakan datuk  kepada satu-satunya generasi tua orang Bugis di kampung berkenaan yang masih hidup, Saanah Abdul Hamid, 75,.

Orang Bugis berjaya meneroka tanah seluas kira-kira 250 hektar di Kampung Sungai Pulai Laut dengan tanaman sawit yang menjadi sumber ekonomi utama kepada penduduk di situ.

Saanah berkata, keluasan tanah yang berjaya  diteroka orang Bugis menggunakan peralatan tradisional menggambarkan sifat sebenar mereka yang rajin, cekal dan  kuat bekerja.

“Satu lagi sifat sebenar   orang Bugis ialah sanggup bergaduh, meskipun sehingga  menyebabkan  kematian adalah  semata-mata untuk  mempertahankan diri  jika mereka tidak bersalah.

“Darah orang Bugis ini cepat panas, ditambah pula dulu mereka tidak dibimbing dengan Islam mempengaruhi mereka bersifat ganas,” katanya.

Katanya, pihak British atau Belanda telah menggelarkan orang Bugis sebagai lanun kerana tindakan mereka yang sering merompak serta menyerang kapal penjajah itu di laut.

Bagaimanapun katanya, sikap orang Bugis yang  panas baran itu telah bertukar embut dan lebih baik selepas kedatangan serta penyebaran Islam yang meluas ketika itu.

“Kelebihan pada  orang Bugis adalah mereka jujur, tidak menganiaya rakan dan amat mengutamakan hubungan kekeluargaan.

Saanah berkata, arwah bapanya, Mencening  Daeng Manangkah adalah orang Bugis yang  berasal dari Sulawesi, Indonesia, begitu juga dengan arwah  suaminya, Daeng Paleba Daeng Mengapi.

“Arwah suami adalah keturunan keenam keluarga raja Bugis.  Hasil perkongsian hidup, saya dikurniakan 13 anak, tetapi hanya anak kedua sahaja yang   fasih bertutur bahasa ibunda Bugis,” katanya.

Budaya makin berbeza

Menurut Saanah, amalan adat resam dan  budaya  masyarakat Bugis hari ini semakin berbeza dengan amalan masyarakat Bugis dahulu.

Jelasnya, mana-mana adat yang bercanggah dengan ajaran Islam telah lama ditinggalkan dan hanya mengamalkan adat yang  tidak menyalahi Islam supaya amalan tradisi masyarakat Bugis tidak dilupakan generasi baru.

“Sebagai contoh, sebelum ini jika sesebuah keluarga hendak mengadakan satu majlis besar, terlebih dahulu akan melakukan upacara ancak yang kononnya untuk bagi makan kepada nenek moyang.

“Apabila mengetahui perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam, amalan itu sudah tidak dilakukan lagi,” katanya.

Katanya, dari segi adat budaya masyarakat Bugis dengan Jawa yang diamalkan hari ini tiada banyak bezanya.

Orang Bugis yang menggunakan gelaran seperti Petah, Andik , Daeng dan Ambok  dianggap mempunyai kedudukan yang lebih tinggi  kerana berasal daripada  keturunan diraja.

Saanah menjelaskan dia berketurunan Bugis wajuk iaitu daripada kalangan orang-orang biasa.

Bagi Rahmat Galong, 57, berkata, masyarakat Bugis hari ini semakin terbuka berbanding dahulu terutamanya membabitkan soal perkahwinan anak.

“Dahulu, ibu bapa menetapkan syarat setiap anak mereka perlu berkahwin dengan keturunan yang sama ataupun  mengahwinkan anak mereka dengan ahli keluarga terdekat (sepupu) semata-mata untuk mengekalkan keturunan keluarga masing-masing.

“Jika dalam kampung ada lelaki bujang kaya, ibu bapa yang memiliki anak perempuan akan mengaturkan perancangan anak mereka berkahwin dengan lelaki itu,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Pulai Laut sejak dilahirkan.

Sinar Harian
29 Okt 2013

Panggil abah, mak sebelum rentung

Hafizi ketika menyambut ulangtahun kelahiran ke-40 pada Mac lalu.

MUAR - Seorang lelaki lembam ditemui rentung dipercayai gagal dalam cubaan menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam kebakaran rumah keluarganya di Lorong Ahmad, Kampung Parit Naib Kadir, Bukit Pasir, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, Hafizi Ahmad, 40, tinggal bersendirian di rumah berkenaan sementara kedua ibu bapanya bermalam di rumah anak sulung yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian.

Kakak sulung mangsa, Rashidah Ahmad, 47, berkata, dia terkejut dengan tragedi yang menimpa adik kelimanya itu dan tidak menyangka Hafizi meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

Berkongsi kisah sedih itu, dia juga tidak menyangka pertemuan dengan adiknya kira-kira jam 5.30 petang kelmarin adalah yang terakhir.

“Cuma sejak bulan lalu sehinggalah beberapa hari sebelum kejadian, Hafizi sering kata nampak arwah suami saya yang telah meninggal dunia lebih setahun lalu.

“Saya anggap perbuatan adik disebabkan rindu dengan arwah suami kerana hubungan mereka berdua sememangnya rapat. Tetapi tidak sangka itu adalah petanda dia hendak pergi meninggalkan kami seperti arwah suami,” katanya.

Rashidah berkata, jiran yang menyedari kejadian itu membantu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Mereka (jiran) dengar jeritan adik panggil mak dan abah berulang kali. Mungkin dia (adik) minta pertolongan untuk menyelamatkan diri.

“Saya dan penduduk kampung cuba padamkan kebakaran, tetapi api amat marak dan ketika itu suara adik sudah tidak lagi kedengaran,” katanya.

Katanya, dia dan keluarga amat sedih dengan kehilangan Hafizi meskipun adiknya lembam, tetapi tidak pernah menyusahkan sesiapa.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.20 pagi.

“Bomba tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian, tetapi rumah berkenaan sudah musnah terbakar.

 “Faktor rumah separuh papan memudahkan api marak. Kita berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran pada jam 1 pagi,” katanya.

Katanya, mayat Hafizi ditemui rentung di bahagian dapur dipercayai cuba menyelamatkan diri.

Sinar Harian
30 Okt 2013

Saturday, October 26, 2013

Lima wanita Vietnam ditahan kerana melacur

MUAR 26 Okt. - Lima wanita warga Vietnam antara lapan ditahan dalam Ops Noda yang dijalankan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sebuah pusat hiburan di Jalan Perdagangan Kenanga di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, serbuan pukul 12.45 tengah malam itu hasil maklumat berkaitan kegiatan pelacuran oleh warga asing terbabit yang didalangi seorang ibu ayam rakyat tempatan berusia 37 tahun.

Menurut beliau, lima wanita itu menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong untuk datang ke negara ini tiga bulan lalu tetapi diperdaya oleh wanita terbabit dengan dijadikan pelacur.

"Semasa serbuan sebahagian daripada mereka sedang leka melayan pelanggan dalam beberapa bilik khas.

"Kita turut menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik pusat hiburan berkenaan berusia 39 tahun serta dua lagi pekerjanya berumur lingkungan 20-an," katanya dalam sidang akhbar di IPD Muar hari ini. - UTUSAN ONLINE

26 Okt 2013

Friday, October 25, 2013

Suami ugut gantung diri

MUAR - Seorang pengawal keselamatan mengambil tindakan di luar kawalan apabila mengugut untuk menggantung diri pada bumbung rumah dalam kejadian di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 59 tahun itu, bertindak sedemikian dipercayai kerana ingin menutup kesalahannya yang disyaki menjalinkan hubungan sulit bersama wanita lain.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu gagal apabila polis berjaya menyelamatkannya  selepas usaha memujuk oleh isterinya tidak membuahkan hasil.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian sekitar jam 2.15 petang itu disedari jiran pasangan berkenaan selepas mendengar suasana kecoh di rumah pasangan terbabit  berikutan perselisihan faham yang berlaku.

Menurutnya, jiran itu yang panik apabila mengetahui lelaki terbabit cuba untuk membunuh diri bertindak segera menghubungi pihak olis bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati lelaki berkenaan sedang memanjat pintu besi rumah dengan tali nilon ada pada lehernya.

“Lelaki terbabit memanjat pintu berkenaan untuk mengikat tali di bumbung rumah dipercayai untuk menggantungkan dirinya,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Sahadan berkata, sebelum itu, lelaki itu terlebih dahulu bertindak mengurung isterinya yang berusia 48 tahun bersama salah seorang daripada empat anak mereka di dalam rumah ketika cuba untuk menghalang perbuatannya.

Jelasnya, lelaki tersebut enggan mendengar nasihat dan menerima pujukan polis, sebaliknya berterusan mengugut untuk membunuh diri sebelum bertindak terjun daripada bumbung rumah berkenaan.

“Kejadian cemas hampir 20 minit itu berakhir apabila polis sempat menyambut lelaki berkenaan yang terjun daripada bumbung rumah, dan mengalami sedikit pendarahan pada bahagian mulut,” katanya.

Sahadan berkata, lelaki tersebut ditahan untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 kanun keseksaan kerana cubaan membunuh diri yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Sinar Harian
25 Okt 2013

Wednesday, October 23, 2013

Dua pelajar cuba curi motosikal dicekup

MUAR – Dua pelajar yang dipercayai pertama kali melakukan kegiatan mencuri motosikal akhirnya memakan diri sendiri apabila ditangkap di sebuah rumah di Bukit Pasir dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, tangkapan pada jam 1.30 pagi itu dilakukan olah anggota Balai Polis Bukit Pasir, selepas menerima aduan daripada mangsa yang menyedari perbuatan dilakukan suspek.

Menurutnya, remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan ketika mahu menghidupkan enjin sebuah motosikal di luar perkarangan rumah mangsa, dipercayai dalam cubaan untuk melarikan motosikal tersebut.

“Pihak polis yang tiba di tempat kejadian telah memeriksa beg sandang dan menemui peralatan untuk digunakan mencuri motosikal.

“Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan lanjut dan ditahan reman sehingga Khamis ini,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Sahadan berkata, pelajar sekolah terbabit juga didapati bebas daripada penyalahgunaan dadah dan mereka ditahan di bawah Seksyen 379A(1) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sahadan memberitahu, seorang lelaki yang dikehendaki polis atas tiga kesalahan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal, kelmarin.

Katanya, suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Rajo Sari, Bakri di sini pada jam 6.15 pagi.

“Suspek mempunyai rekod penyalahgunaan dadah di daerah ini pada tahun 2000 dan 2001, serta satu rekod  jenayah pecah rumah di Sepang, tahun ini.

“Suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal berkenaan bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, suspek yang positif dadah jenis syabu ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 kanun keseksaan.

Sinar Harian
23 Okt 2013

Tuesday, October 22, 2013

Perkeso bayar RM4.7 juta tuntutan faedah di Muar

MUAR 21 Okt. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Muar melunaskan bayaran tuntutan faedah kira-kira RM4.7 juta kepada waris dan ahli keluarga pencarum sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengurusnya, Nur Muhammad Bakhtir Mohd. Akhir berkata, bayaran itu melibatkan faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dan Hilang Upaya Kekal (HUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat (ILT), Pencen Penakat (PKT) serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

"Bagi faedah HUS iaitu mereka yang cuti sakit, bayaran yang sudah dibuat ialah RM1,730,097 kepada pekerja yang ditimpa bencana dalam tempoh tujuh hari. Bayaran HUK pula sebanyak RM2,702,460 dalam tempoh 14 hari.

"Sementara itu, bayaran FOT kepada orang tanggungan dalam tempoh 14 hari bagi yang kemalangan maut ialah sebanyak RM6,877. Bagi bayaran pertama ILT dan PKT masing-masing sebanyak RM27,238 dan RM112,910 sudah dibuat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi FPM pula sebanyak RM157,700 sudah dibayar dan keenam-enam bayaran tuntutan faedah tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima semua maklumat dan dokumen yang diperlukan serta selepas siasatan dibuat.

Nur Muhammad Bakhtir memberitahu, kesemua bayaran tersebut berdasarkan sebanyak 1,055 kes yang dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 114 kes masih dalam siasatan kerana meragukan dan dokumen tidak lengkap.

Beliau berkata, kes tertinggi diterima ialah 1,001 kes bencana yang berlaku semasa bekerja diikuti 152 kes melibatkan tuntutan ILT, 83 kes melibatkan bayaran PKT iaitu mereka yang ditimpa musibah tetapi bukan dalam waktu bekerja.

"Terdapat 40 kes disahkan ILT oleh jemaah doktor dan 14 kes lagi melibatkan kemalangan maut iaitu bencana semasa bekerja. Selain itu, Perkeso Muar menolak 51 kes yang tidak diterima sebagai bencana kerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya melakukan aktiviti penguatkuasaan dengan melakukan 2009 pemeriksaan ke premis-premis di sekitar daerah ini.

Hasilnya, tambah beliau, sebanyak RM435,000 jumlah tunggakan caruman dikesan dan RM338,124 jumlah tunggakan caruman berjaya dikutip selain 33 majikan dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan, manakala 22 majikan lagi dihadapkan ke mahkamah.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat 7,365 majikan yang aktif dan menerusi penguatkuasaan itu, sebanyak 476 majikan baharu berdaftar dan menjadikan bilangan majikan berdaftar dengan Perkeso ketika ini adalah 14,991," katanya.

Utusan
22 Okt 2013

Sunday, October 20, 2013

2 wanita, dua budak ditahan kerana dadah

MUAR - Dua kanak-kanak lelaki bawah umur antara yang ditahan membabitkan rampasan dadah jenis heroin seberat 37.16 gram dalam sekatan jalan raya di Jalan Haji Jaib dekat Bakri, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, tangkapan jam 8.10 malam itu turut menahan dua wanita berusia 30an yang merupakan ibu saudara kepada kedua-dua  kanak-kanak berkenaan.

“Kereta Proton Saga Iswara itu ditahan apabila didapati mencurigakan dan hasil pemeriksaan menjumpai bahan terlarang tersebut disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

“Dadah berkenaan dianggar bernilai RM1,114 itu kemungkinan untuk diedar kepada pelanggan mereka sama ada di daerah ini ataupun daerah berhampiran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Katanya, dua wanita itu tidak mempunyai rekod lampau serta bebas penyalahgunaan dadah.

“Keempat-empat suspek berkenaan ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sahadan memberitahu hasil Operasi Tapis yang dilakukan dalam tempoh seminggu pada 12 Oktober hingga 18 Oktober lalu, berjaya memberkas 34 orang berkaitan kesalahan dadah.

Katanya, 20 daripada mereka ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 3(1) (empat orang); Seksyen 39B (dua orang); Seksyen 12 (2) (dua orang) dan Seksyen 39(a) (seorang) akta sama.

Jelas beliau, kesemua pelbagai jenis dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM15,854 dan boleh menampung keperluan seramai 805 penagih.

“Operasi berterusan akan dilakukan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah serta aktiviti pengedaran bahan terlarang di daerah ini.

“Kerjasama orang awam diperlukan dengan menghubungi balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut yang berlaku berhampiran kediaman masing-masing,” katanya.

Sinar Harian
20 Okt 2013


Budak lelaki ditahan kerana dadah

Muar: Dua kanak-kanak lelaki antara empat yang ditahan selepas polis menemui dadah jenis heroin seberat 37.16 gram di dalam kereta Proton Iswara yang mereka naiki pada sekatan jalan raya di Jalan Haji Jaib, Bakri, di sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar berkata, dalam kejadian jam 8.10 malam, pihaknya turut menahan dua wanita berusia 30-an yang juga ibu saudara kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

“Kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan menyeluruh menemui heroin disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

“Heroin terbabit dianggarkan bernilai RM1,114, ia untuk edaran di sekitar daerah ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Menurutnya, dua wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain bebas daripada dadah hasil ujian air kencing dijalankan.

Sahadan berkata, keempat-empatnya direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, menerusi Ops Tapis dijalankan pada 12 hingga 18 Oktober lalu, pihaknya menahan 34 individu yang terbabit dalam kesalahan dadah.

“Nilai keseluruhan pelbagai jenis dadah yang dirampas daripada semua suspek dianggarkan RM15,854 dan ia boleh menampung keperluan 805 penagih.

“Ops Tapis ini akan dijalankan secara berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta aktiviti pengedaran bahan terlarang di daerah ini,” katanya.

myMetro
20 Okt 2013

Gaya mewah penjual buah terbongkar

MUAR - Gaya mewah dua lelaki menaiki kereta BMW dalam keadaan mencurigakan akhirnya membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah dilakukan mereka.

Kesemua mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di laluan pintasan jambatan kedua Muar, 12 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, penahanan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan sekumpulan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ketika Operasi Tapis secara berkala bermula 12 Oktober hingga 18 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui dadah jenis heroin dan syabu yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

“Heroin seberat 73.6 gram (g) itu dianggar bernilai RM2,200, manakala syabu seberat 50.16g pula berharga RM12,540,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, semalam.

Sahadan berkata, wang tunai berjumlah RM8,019 turut dijumpai dalam beg kecil pada pemandu berusia 41 tahun itu yang bekerja sebagai penjual buah-buahan.

“Kita percaya wang tersebut hasil jualan bahan terlarang itu dan tidak menolak suspek dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggannya.

“Rakan suspek berusia 34 tahun pula bekerja sebagai juruwayar. Kedua-duanya berasal dari Ledang didapati positif dadah jenis syabu menerusi ujian air kencing ke atas mereka,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 41 tahun itu mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama kerana memasukan dadah dalam badan.

Jelas beliau, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut bagi mengetahui sumber dadah  diperoleh juga menjejaki kemungkinan ada rakan mereka yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian
20 Okt 2013

Friday, October 18, 2013

Ayah, anak maut MPV bertembung lori tanker

KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa remuk.

CHUKAI: Dua sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Triton dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tanker tanpa muatan dalam kejadian di Kilometer 150.8 Jalan Jerangau-Jabor, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemandu Mohd Latip Abu Bakar, 37, dan anaknya Muhammad Rayyan, 4, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan manakala isterinya Rohani Pangis, 29, dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman (HK).

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, tiga sekeluarga berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu manakala lori dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dari arah bertentangan sebelum dua kenderaan berkenaan bertembung sebaik tiba di tempat kejadian.

"Kejadian itu menyebabkan Mohd Latip dan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian sementara isterinya bersama pemandu lori tanker itu dikejarkan ke HK untuk rawatan lanjut.

"Ketika ini, dua mangsa yang cedera masih dirawat sementara mayat Mohd Latip dan anaknya dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Suza berkata, pihaknya sudah pun memaklumkan kejadian menimpa tiga sekeluarga berkenaan kepada keluarga Mohd Latip yang berasal dari Kampung Parit Buaya, Sungai Terap Bukit Pasir, Muar, Johor dan isterinya, Rohani yang berasal dari Sarawak.

Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Difahamkan, Mohd Latif yang kini bekerja sebagai seorang pengurus ladang di Pahang pernah bekerja di Sri Bandi sebelum ini.

myMetro
17 Okt 2013


Hasrat beraya berakhir tragedi

Lori tangki minyak turut remuk menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk

KEMAMAN – Hasrat seorang pengurus ladang kelapa sawit dari Chini, Pahang untuk beraya di rumah rakan lama di Bandar Seri Bandi, Kijal, tidak kesampaian apabila dia maut bersama anak berusia empat tahun, sementara isterinya pula parah dalam nahas tragik, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Mohd Latip Abu Bakar, 37 dan anak lelakinya, Muhammad Rayyan maut serta-merta di tempat kejadian selepas pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 150.8 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, dekat sini.

Akibat pertembungan kuat itu, Mohd Latip yang memandu Mitsubishi Triton tersepit di tempat duduk, manakala anaknya pula tercampak ke hadapan kenderaan menyebabkan kedua-duanya cedera parah di kepala dan badan.

Mohd Latip yang beralamat di Kampung Parit Buaya, Johor, meninggal dunia di sisi isterinya, Rohaini Pengis, 29, yang mengerang kesakitan apabila patah kedua-dua kaki, selain mengalami pendarahan pada badan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori tangki minyak tanpa muatan dipandu N Krishnan, 41, hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar secara berdepan dengan pacuan empat roda dinaiki mereka.

“Akibat pertembungan itu, pemandu lori yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan terbabit turut tercedera dan tersepit di tempat duduk,” katanya.

Susulan itu, Rohani yang berasal dari Kampung Keluru Jaya, Bekenu, Sarawak dan Krishnan dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.

Mayat dua beranak itu juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk dengan tayar hadapan lori tangki turut tercabut.

10 minit keluar mangsa

Terdahulu, dua mangsa tersepit dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru yang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.

Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit di sebalik sisa kenderaan yang remuk.

Mayat kedua-dua beranak itu dituntut keluarga sebelah Mohd Latip yang datang dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 10 malam.

Difahamkan, Mohd Latip dan isteri mempunyai seorang lagi anak perempuan, bagaimanapun anaknya itu tidak dibawa bersama ketika kejadian.

Mohd Latip sebelum bekerja di ladang sawit Chini, pernah bekerja di ladang kelapa sawit di Bandar Seri Bandi.

Jadi sempena cuti Hari Raya Korban, Mohd Latip merancang untuk menziarahi dan beraya di rumah rakan-rakan lamanya yang tinggal di ladang tersebut.

Beberapa rakan lama mangsa dari Bandar Seri Bandi yang terkejut dengan kejadian menimpa keluarga itu, turut datang ke tempat kejadian.

Jalan Jerangau-Jabor laluan maut

Dalam pada itu, kemalangan ngeri melibatkan tiga beranak terbabit turut menarik perhatian penduduk setempat yang mengerumuni lokasi kejadian untuk melihat keadaan kedua-dua kenderaan.

Penduduk, Zakaria Tusin, 55, berkata, laluan itu sering berlaku kemalangan meragut nyawa.

“Sepanjang laluan Jerangau-Jabor terutama berdekatan Bandar Cheneh Baru, memang kerap berlaku kemalangan maut. Nahas ini berlaku kerana banyak sebab. Selain masalah teknikal, kerosakan jalan juga menyumbang kepada berlakunya kemalangan.

“Jadi pihak berkaitan diharap dapat membaiki kerosakan jalan itu segera bagi mengurangkan risiko kemalangan. Manakala, pemandu pula perlu berwaspada dan tidak memandu laju. Saya sarankan papan tanda amaran turut ditambah di sepanjang laluan itu bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Sinar Harian
19 Okt 2013

Thursday, October 17, 2013

Naik taraf pejabat JPAM Muar

MUAR – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor merancang untuk menaik taraf pejabat pentadbiran dan bilik operasi di daerah ini sebaik sahaja peruntukan daripada kerajaan pusat diluluskan.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Ghazali Abd Rahman berkata, jumlah sebenar peruntukan itu masih belum dapat diketahui, namun kos baik pulih dijangka mencecah jutaan ringgit berikutan struktur bangunan terbabit yang uzur.

Menurutnya, bangunan asal merupakan kuarters kakitangan kerajaan di bawah kendalian Pejabat Daerah Muar yang berusia lebih 30 tahun dan kini dijadikan pejabat JPAM Muar sejak 10 tahun lalu.

“Untuk jangka panjang, bangunan yang 90 peratus papan ini tidak selamat digunakan oleh 100 hingga 150 anggota di sini. Peranan dan tanggungjawab anggota JPAM kepada masyarakat semakin besar.

“Jadi ruang pejabat yang lebih selesa amat diperlukan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Korban JPAM peringkat daerah di Jalan Timbalan, di sini, semalam.

Ghazali berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti bangunan di Jalan Junid yang akan disewa untuk dijadikan pejabat operasi sementara JPAM sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu seramai 34,000 anggota JPAM di negeri ini sudah bersiap siaga untuk menghadapi banjir yang dijangka berlaku hujung tahun ini.

Katanya, antara daerah diberikan tumpuan utama adalah Segamat, Kota Tinggi dan Muar.

Sinar Harian
17 Okt 2013

Anggota polis maut selepas pulang beraya

KEADAAN dua kereta dan mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Batu 12, Jalan Bakri-Air Hitam, Muar, Johor, malam kelmarin.

MUAR 16 Okt. - Seorang anggota polis terbunuh dalam kemalangan di Batu 12, Jalan Bakri-Air Hitam dekat sini ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kursus selepas menyambut Aidiladha di kampungnya di Batu Pahat malam tadi.

Dalam insiden kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Konstabel Mohd. Ishak Morhasham, 26, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Batu 5, Bakri dekat sini, untuk menyambung kursus yang diikuti di maktab itu sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, mangsa dikatakan pulang bercuti menyambut Aidiladha bersama keluarganya di Taman Jorak Senawi, Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Namun malangnya apabila tiba di tempat kejadian, kereta Honda Civic dipandunya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota dari arah Muar menghala ke Yong Peng, Batu Pahat.

Rempuhan kuat menyebabkan dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

Orang awam yang membantu mengeluarkan Mohd. Ishak mendapati mangsa sudah pun meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat manakala seorang pemandu kereta lain yang turut cedera dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan.

"Saksi kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Utusan
16 Okt 2013

Saturday, October 12, 2013

Kecoh kerana parkir


MUAR: Akibat memohon pertimbangan untuk meletakkan kenderaan di perkarangan hotel Muar Traders semasa Persidangan Perwakilan Pergerakan UMNO, Timbalan Ketua Cawangan Seri Muar, Mohd Shahkir Ismail dimarahi oleh seorang kakitangan hotel Muar Traders dengan kata makian yang memalukan.

Kakitangan yang dipercayai Pengurus Hotel berkenaan, Abdul Hakim Shaari, dikatakan bertindak memarahi mangsa dengan melemparkan kata-kata kesat berulang kali disamping menghentak kereta mangsa dengan tangan kosong.

Susulan dari ketegangan itu, salah seorang pengawal yang dikenali sebagai Ramesh menenangkan suasana kerana keadaan kedua-dua belah pihak dilihat semakin tegang.

Menurut mangsa, kejadian berlaku ketika dia sedang memohon pertimbangan dari kakitangan berkenaan untuk meletakkan keretanya di perkarangan hotel yang dilihat mempunyai kekosongan.

Walau bagaimanapun, kakitangan berkenaan bertindak memarahi mangsa tanpa sebab disamping menimbulkan sedikit kekecohan di luar perkarangan hotel berkenaan.

"Saya sudah melaporkan kejadian ini pada pihak hotel berkenaan dan saya meminta pengurus hotel ini memohon maaf dari saya sebelum jam 12 petang ini.

"Jika tidak, perkara ini saya akan dipanjangkan kepada pihak polis kerana saya rasa diancam oleh dia kerana dia telah mula menyinsing baju tanda memulakan pergaduhan. Saya tidak mahu berpanjangan kerana saya datang ke sini untuk memenuhi jemputan persidangan" katanya.

myMetro
12 Okt 2013

Friday, October 11, 2013

Nampak kepulan asap luar biasa

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran sebuah rumah pusaka dalam kejadian kelmarin.

MUAR – Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka berusia lebih 50 tahun musnah dalam satu kebakaran di Kampung Parit Samsu Darat, di sini, kelmarin.

Kebakaran kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan keluarga terbabit kerugian hampir RM50,000.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berikutan pemilik rumah tiada kerana keluar bekerja di kilang berhampiran ketika kejadian.

Saksi, Mardhiah Hassan, 19, memberitahu, dia menyedari kejadian itu apabila ternampak kepulan asap luar biasa dari arah rumah jiran sebelum api marak membakar rumah berkenaan.

“Saya terkejut dan takut lalu bergegas lari ke luar rumah untuk menyelamatkan diri kerana khuatir api merebak ke rumah saya yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian.

“Penduduk kampung yang turut menyedari kejadian ini turut membantu menghubungi pihak bomba dan pemilik rumah untuk memberitahu perkara sebenar (kebakaran),” katanya semalam.

Mardhiah berkata, dia ada terdengar bunyi satu letupan kecil dari rumah itu sebelum kejadian, namun tidak mengendahkannya kerana menyangka barang terjatuh.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, sebaik menerima panggilan, seramai 10 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami tiba di lokasi kejadian jam 3.22 petang dan keadaan rumah tersebut sudah separuh terbakar.

“Rumah itu tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat disebabkan strukturnya papan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah memadamkan kebakaran kerana memperoleh sumber air dari parit besar di depan rumah itu dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Kita mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan keseluruhan kebakaran dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
11 Okt 2013

Thursday, October 10, 2013

Beca warisan semakin terpinggir di Muar

JAAFAR Abu mengayuh beca ke pasar basah untuk membawa barangan dari pasar berkenaan setiap hari kerana semakin kurang penumpang yang mahu menggunakan khidmatnya.

MUAR 9 Okt. - Bunyi nyaring seperti sedang membuka pintu berkarat perlahan-lahan, memecah keheningan pagi hampir setiap hari di Lorong Mat Tab Abu, Jalan Sungai Abong di sini.

Biarpun 'mengganggu' telinga, namun bagi penduduk dan mereka yang lalu-lalang di lorong ini, bunyi itu umpama 'hiburan' kepada mereka.

Bunyi itu sebenarnya terhasil daripada sepasang kaki tua yang sedang mengayuh pedal beca.

Pengayuhnya adalah seorang lelaki Melayu lebih separuh abad, Jaafar Abu, 72, dan sudah biasa kelihatan dengan beca yang kini amat jarang digunakan sebagai pengangkutan awam di sini.

Beca warga emas berkenaan yang meluncur laju keluar dari lorong itu dalam keadaannya bermandi keringat, menganggap kenderaan beroda tiga itu adalah sebahagian daripada sejarah Muar.

Satu ketika dahulu beca amat popular di daerah ini tetapi sejak 1990, pengangkutan awam itu sudah mula berkurangan disebabkan peredaran zaman apabila pelanggan memilih bas dan teksi kerana lebih cepat, selesa dan selamat.

Walaupun beca kini amat jarang kelihatan, namun, masih ada penarik beca yang masih memberikan perkhidmatan tersebut.

Rata-rata golongan ini sudah berusia dan penumpang mereka pula adalah pelanggan tetap yang biasa menggunakan perkhidmatan itu.

Sekitar 1960-an, beca antara kenderaan awam utama selain bas dan teksi yang baru memulakan perkhidmatannya.

'Stesen' terbesar untuk pelanggan mendapatkan khidmat beca ketika itu adalah di hadapan Tangga Agong, Bangunan Sultan Abu Bakar, Jalan Petri.

Dahulu dikatakan terdapat kira-kira 500 beca di sini, malah menjadi simbol pengangkutan awam di Muar dengan sebuah tempat rekreasi khas dengan replika beca didirikan di Dataran Kesang kira-kira 10 kilometer dari bandar ini.

Jaafar, yang telah 53 tahun menjadi pengayuh beca, kelibatnya bukan sahaja boleh dilihat di lorong tersebut tetapi juga mencari rezeki di sekitar Pasar Awam Maharani setiap Isnin dan Jumaat, bermula pukul 7 hingga 11 pagi.

Keupayaan warga emas itu menjadi penarik beca pada usia senja amat mengagumkan, meskipun pernah terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya kira-kira lima tahun lalu.

Jaafar berkata, pada masa ini situasi di bandar ini sangat berbeza kerana permintaan terhadap perkhidmatan beca semakin berkurangan sejak hampir 22 tahun lalu akibat wujudnya banyak bas henti-henti, teksi, kereta sewa dan teksi sapu.

"Sehari nak dapat RM10 pun susah. Tak macam dulu sekitar 1970 hingga 1980-an, beca menjadi pengangkutan utama. Dulu ada lebih 300 penarik beca di Muar. Tapi sekarang tinggal beberapa penarik beca saja. Kami semakin dilupakan," katanya ketika ditemui di pasar itu baru-baru ini.

Menurut Jaafar, akibat kurang penumpang, tumpuannya lebih kepada membawa bahan basah peniaga kedai makan sekitar bandar ini dan dihantar ke setiap kedai yang menjadi pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lalu.

"Seawal pukul 7 pagi saya sudah berada di pasar ini untuk ambil dan hantar barang. Upah yang diterima bergantung kepada jumlah barangan dan jarak kedai yang dituju. Selepas hantar barang, saya bawa penumpang pula jika ada. Selepas pukul 11 pagi saya akan pulang ke rumah," katanya.

Walaupun kini pendapatan tidak seberapa tetapi dia amat sayangkan pekerjaan itu dan merasa bangga kerana dapat membesarkan tujuh anak hasil daripada usaha sebagai pengayuh beca.

Mengenang kembali kemalangan yang hampir meragut nyawanya, warga emas itu berkata, tragedi tersebut berlaku di Jalan Maharani apabila dia dilanggar oleh sebuah motosikal menyebabkannya koma selama dua minggu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jaafar yang tinggal di Sungai Abong berkata, berikutan kejadian tersebut, dia mengalami masalah kurang pendengaran, namun itu tidak pernah menjadi halangan kepadanya membawa beca setelah hampir setahun berehat.

"Saya tidak betah meninggalkan pekerjaan ini yang sudah sebati dalam diri sejak dilakukan 53 tahun lalu," katanya dan memberitahu, dia turut mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Bagi Jeep Shariff, 62, yang telah kira-kira 50 tahun mengayuh beca, penumpang utamanya kini adalah terdiri daripada murid-murid sekolah.

Dia yang tinggal bersama isteri di rumah rakyat di Taman Tun Dr. Ismail dan lebih dikenali sebagai Pak Ali Beca menjelaskan, bayaran diterima adalah secara bulanan.

"Pendapatan hanya RM400 sebulan. Rutin harian ialah pukul 6.30 pagi menghantar kanak-kanak ke sekolah tadika dan pukul 11.30 pagi menghantar mereka pulang.

"Sementara pukul 1.10 petang pula hantar murid-murid sekolah rendah pulang dan akhir sekali pukul 6.30 petang menghantar murid-murid sekolah agama pulang. Bayaran tambang adalah bulanan," katanya.

Menurutnya yang sudah dua kali bertukar beca dan kadang-kadang mengambil upah memotong pokok, dia akan terus membawa beca selagi kudratnya masih ada.

Seorang lagi penarik beca yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat, 80, dari Bakri berkata, pengangkutan beca sudah tidak lagi menjadi pilihan dan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu adalah daripada kalangan pelanggan setia.

"Pelanggan saya adalah jiran-jiran dan teman-teman lama. Mereka menggunakan perkhidmatan beca untuk jarak yang dekat sahaja. Biasanya mereka tahu di mana mahu mencari saya kerana penarik beca di bandar Muar tidak lagi punya tempat khas untuk berkumpul.

"Ditambah lagi saya tidak mempunyai telefon bimbit, jadi hanya yang pernah menggunakan beca tahu di mana mahu mencari penarik beca. Biasanya tempat kami mencari penumpang berbeza-beza dan boleh dikatakan selepas 11 pagi kami sudah pulang ke rumah," katanya.

Katanya, kini di Muar, jumlah penarik beca bukan sahaja tinggal kira-kira 10 orang, malah nasib mereka juga tidak terbela.

Pak Mat percaya bahawa beca akan pupus tidak lama lagi dan yang menyedihkan, tiada siapa akan peduli selain menjadi satu lagi bahan sejarah.

"Sekarang pun beca dah jadi satu sejarah di Muar," ujarnya penuh makna.

Utusan
10 Okt 2013

Lipat gandakan hasil pertanian - Ismail

PAGOH 9 Okt. - Kerajaan negeri sedang berusaha melipatgandakan hasil pertanian dengan menyediakan pelbagai insentif melalui kerjasama dengan tujuh agensi dan jabatan berkaitan bagi menampung keperluan sumber makanannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, bagi memastikan usaha itu berjaya, program penerangan dan penjelasan tentang pembangunan pertanian termasuk melibatkan teknologi moden akan diberi kepada para petani.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, program itu akan melibatkan semua agensi berkaitan supaya usaha membangun pertanian berjalan secara sistematik dan berterusan bagi jangka masa panjang.

"Menerusi program atau majlis penerangan di kawasan-kawasan terpilih, kita akan beri penerangan tentang segala kemudahan bantuan dan insentif yang boleh diberikan, selain bimbingan dan bermacam-macam lagi perkara yang diperlukan.

"Buat permulaan, beberapa kawasan dalam Parlimen Muar dan Ledang diberi penerangan terlebih dahulu. Penerangan ini penting kerana ramai petani yang tidak mengetahui kemudahan atau insentif yang disediakan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Daerah Muar dan Ledang di Dewan Serbaguna Kundang Ulu dekat sini hari ini.

Ismail berkata, petani perlu merebut peluang itu dimulakan di kawasan Kundang Ulu dalam tempoh terdekat dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi dibangunkan untuk tujuan pertanian.

Beliau memberitahu, sebarang bantuan, insentif, kemudahan atau keperluan yang diperlukan akan dirujuk kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Turut terlibat agensi seperti Pejabat Pertanian Daerah Ledang, Jabatan Veterinar Daerah Muar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pagoh/Bukit Gambir/Bukit Pasir dan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Mereka yang mempunyai kawasan lapang di halaman rumah juga digalakkan menjalankan pertanian secara kecil-kecilan bagi menampung pengeluaran bekalan makanan seperti sayur-sayuran, tanaman kontan, buah-buahan dan ternakan yang bersesuaian," katanya.

Bagi mempercepat proses pembangunan pertanian itu, beliau berkata, Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pagoh akan digerakkan sepenuhnya supaya sasaran menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi di negeri ini tercapai.

"Kita harap kawasan di Parlimen lain dapat menubuhkan majlis pembangunan seperti itu dengan fungsinya yang lebih agresif," katanya.

Utusan
10 Okt 2013

Tuesday, October 8, 2013

1 maut, 4 parah teksi terhumban ke dalam parit

ANGGOTA bomba menyelamatkan pemandu yang tersepit selepas teksi yang dibawanya terhumban ke dalam parit besar di Parit Raja, Jalan Dato Haji Kosai, Muar, Johor, semalam.

MUAR 7 Okt. - Seorang pekerja kilang perabot warga Nepal mati lemas selepas teksi yang dinaikinya melanggar sebuah kereta Proton Savy sebelum terhumban ke dalam parit besar di Parit Raja, di Jalan Dato Haji Kosai, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa, Oad Raju, 27, terbunuh di tempat kejadian manakala dua lagi rakan senegaranya dan pemandu teksi tersebut cedera parah termasuk patah di beberapa anggota badan.

Turut cedera parah ialah seorang wanita yang memandu Proton Savy tersebut tetapi dua anaknya yang juga menaiki kereta berkenaan berusia empat dan enam tahun hanya cedera ringan walaupun salah seorang daripadanya tercampak keluar.

Mangsa, dua rakannya dan pemandu teksi itu yang tersepit dikeluarkan pihak bomba manakala wanita dan dua anaknya dikeluarkan dari kereta oleh orang ramai, kesemua mereka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Muar, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Savy tersebut yang datang dari bandar menghala ke Parit Bakar terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh teksi itu.

"Akibatnya teksi tersebut hilang kawalan lalu menjunam masuk ke parit besar di bahagian tepi jalan tersebut. Teksi itu berpusing beberapa kali sebelum masuk ke dalam parit sementara kereta wanita itu juga berpusing tetapi tidak masuk ke parit.

"Kejadian berpunca dari kereta wanita terbabit yang dipercayai sedang melayan anaknya sebelum kenderaannya masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar teksi itu. Bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Idris Ali berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari teksi tersebut.

Katanya, semasa mengeluarkan kesemua penumpang dan pemandu teksi, mangsa sudah meninggal dunia dipercayai lemas manakala yang lain masih dalam keadaan sedar tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana tersepit akibat kereta itu remuk di kiri dan kanan pintu.

"Saya hanya mendengar mereka mengerang meminta tolong. Keadaan mereka memang parah terutama pemandu teksi tersebut yang berusia dalam lingkungan 40-an, tengkuknya patah. Seramai enam anggota dan sebuah jentera terlibat menyelamatkan mereka," katanya.

Utusan
8 Okt 2013

Monday, October 7, 2013

Pelatih PLKN Didakwa Bunuh Rakan Asrama

PEKAN: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, Rompin hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan membunuh seorang pelatih di asrama kem itu pada 22 September.

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang berasal dari Kampung Seri Makmor, Pagoh, Muar itu didakwa membunuh Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, antara 1.30 tengah hari dan 10.30 malam pada 22 September di dorm L1C dan L2C kem berkenaan.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menetapkan kes disebut semula pada 11 Disember di Mahkamah Majistret Rompin.

Sementara itu, lima pelatih lain turut dihadapkan di mahkamah sama terhadap kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Suhaimi.

Mohd Firhan Hafizi Ismail, 23, dari Bukit Nikmat, Jerantut bersama dua lagi juvana berusia 17 tahun dari Parit Jawa, Muar, Johor dan Kampung Tanjung Pahang, Endau, Rompin didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada 1.30 tengah hari di dorm L1C kem itu pada 22 September.

Mohd Nazeri Mustafa, 22, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan dan seorang pelatih berusia 18 tahun yang berasal dari Jalan Beserah, Kuantan pula didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada 10.30 malam di dorm L2C kem itu pada hari sama.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri, peguam Mohd Farid Aziz mewakili tertuduh kes bunuh manakala peguam Osman Abdullah dan Noor Adilah Zarian mewakili lima tertuduh yang lain.

Muhammad Suhaimi yang berasal dari Kerdau, Kuala Krau ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh rakannya pada 12.04 tengah malam pada 23 September lepas di bilik air asrama kem berkenaan. - BERNAMA

7 Okt 2013

Friday, October 4, 2013

SWM digesa segera bekal tong sampah beroda


PAGOH 29 Sept. - Pertubuhan Kami Organisasi Gabungan Anak Pagoh (KOGAP) menggesa pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) segera menyedia tong sampah beroda di Taman Dato Haji Abd. Rahman Mahmud di sini, seperti yang sudah dijanjikan sebelum ini.

Penasihat KOGAP, Abdul Aziz Dahari berkata, kira-kira 500 penduduk di taman tersebut masih ternanti-nanti janji SWM kerana kawasan taman itu termasuk di bawah kawasan pentadbiran dan percukaian pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sepatutnya taman ini yang merupakan taman pertama wujud di Pagoh diberi keutamaan. Agak pelik kawasan di sekitar antaranya pekan Pagoh, Taman Sri Pagoh, Taman Pagoh Indah dan Taman Pagoh Jaya sudah pun dibekalkan tong sampah beroda.

"Penduduk taman ini sudah melakukan semua yang dikehendaki termasuk menghantar borang permohonan tepat pada masanya tetapi sehingga kini pihak SWM senyap sahaja," katanya ketika ditemui dalam program gotong-royong di taman itu, di sini semalam.

Program itu dianjurkan KOGAP bersama persatuan penduduk taman tersebut dengan diselaraskan Pejabat Belia dan Sukan Muar.

Antara aktiviti dilakukan adalah membersihkan kawasan taman, surau, stor, tepi jalan dan mencantas dahan pokok.

Selain itu, program yang disertai kira-kira 30 ahli KOGAP dan 20 penduduk itu turut memindahkan semua peralatan dan barang-barang seperti pinggan mangkuk, periuk, kerusi dan meja dari stor lama ke ke stor baharu tidak jauh dari situ.

Abdul Aziz berkata, SWM memberi alasan meragukan selepas menyatakan punca tong sampah tidak diberi kerana keliru dengan nama taman itu yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Rakyat Pagoh 1 dan 2.

Menurutnya, kawasan tersebut sebelum ini dipanggil sebagai Rumah Rakyat Pagoh 1 dengan 48 buah rumah dan Rumah Rakyat Pagoh 2 dengan 55 buah rumah namun alasan itu sukar diterima.

Utusan 30 Sep 2013

Wednesday, October 2, 2013

RISDA peruntuk RM28 juta

ISMAIL Mohamad (kanan) diiringi Mohammad Sahlan Mahnoon (dua dari kanan) melepaskan konvoi KGMR pada Majlis Pelepasan Program Kembara Kelab Generasi Miuda RISDA di Pagoh dekat Muar, Johor, semalam.

PAGOH 1 Okt. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan bantuan sebanyak RM28 juta kepada kira-kira 83,000 pekebun kecil di negeri ini untuk menjayakan program penanaman semula getah bagi tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah RISDA negeri, Mohammad Sahlan Mahnoon berkata, setiap tahun, kira-kira RM7 juta diberi yang bermula tahun ini dan setiap pekebun kecil akan memperoleh RM9,230 secara berperingkat-peringkat untuk kawasan seluas 1 hektar.

"Bantuan diberikan mengikut perkembangan pokok getah bermula dari tempoh ditanam hingga matang dalam tempoh kira-kira empat tahun setengah. Kita akan beri bantuan benih pokok, baja, racun, pisau toreh, peralatan dan wang tunai mengikut fasa.

"Daripada jumlah RM9,230 itu, bantuan paling banyak diberi ialah pada kali pertama iaitu RM5,300 untuk bayaran membersihkan kawasan kebun dan benih pokok, selebihnya diberi selepas itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Program Kembara Kelab Generasi Muda RISDA peringkat negeri 2013 di Taman Pagoh Jaya di sini hari ini.

Pelepasan program tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad Sahlan melahirkan kebimbangan terhadap anak-anak pekebun kecil tidak berminat mengusahakan kebun-kebun getah milik keluarga mereka.

Menurutnya, tanggapan menjadi pekebun kecil tidak menguntungkan perlu dibuang dan generasi muda tersebut harus menyahut seruan kerajaan bahawa pertanian adalah satu perniagaan serta menjadikannya sebagai punca pendapatan utama.

Katanya, mereka boleh menoreh getah secara sepenuh masa atau menjadikan pekerjaan tersebut sebagai kerja sampingan kerana setiap hari hanya memerlukan beberapa jam sahaja untuk menoreh.

Sementara itu, Ismail berkata, anak-anak pekebun kecil perlu mengikuti kursus yang disediakan RISDA atau pihak lain untuk meningkatkan ilmu dan mengguna teknologi moden.

Melalui cara itu, perancangan yang tersusun dapat dilakukan dan mereka juga tidak secara tiba-tiba dipaksa masuk ke kebun atau ladang getah, sebaliknya perlu diberi pendedahan untuk menyemai minat mereka dalam bidang berkenaan.

"Kerja menoreh getah yang menjadi punca pendapatan ini boleh dilakukan dalam masa tiga atau empat jam sehari dan selepas itu, buat kerja lain. Jangan anggap kerja ini tidak popular kerana sebenarnya menguntungkan," katanya.

Menurutnya, RISDA komited dalam usahanya membantu kerajaan menarik golongan muda terlibat dalam bidang pertanian kerana kesinambungan daripada mereka amat diperlukan dalam sektor tersebut pada masa depan.

Utusan 2 Okt 2013