Monday, November 4, 2013

2 maut, 7 parah nahas bas dan dua kenderaan lain

Sepasang suami isteri maut selepas kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Sungai Balang. - Foto NST Shaiffulazhar Misri

Pasangan sehidup semati

MUAR - Sepasang suami isteri maut, manakala empat cedera selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 25 Jalan Muar-Batu Pahat, berhampiran Sungai Belukang, dekat Sungai Balang, di sini, malam kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 9 malam itu, Tan Chai Soon, 55, dan How Siew Boon, 54, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Puteri, Batu Pahat, selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan salah seorang anak mereka di bandar ini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dinaiki mangsa dari arah Muar menghala Batu Pahat memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena dan bas persiaran yang menghala ke Muar.

Pelanggaran kuat sebanyak dua kali menyebabkan kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan mendiang Siew Boon dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan, manakala mendiang Chai Soon tersepit di tempat duduk pemandu.

MPV yang dinaiki tujuh sekeluarga pula terbabas ke kanan jalan seterusnya melanggar tiang lampu selepas dirempuh kereta suami isteri terbabit.

Manakala, bas persiaran yang membawa 28 penumpang dan berada di belakang MPV, terbabas ke kiri jalan serta memasuki kawasan kebun sawit ketika cuba mengelak.

Empat mangsa yang cedera adalah seorang penumpang Nissan Serena, Hanizah Misran, 44, yang patah tangan kiri sementara yang lain adalah pemandu bas berusia 46 tahun dan dua penumpang bas iaitu wanita berusia 23 dan 44 tahun.

Difahamkan, pemandu MPV terbabit dikatakan dalam perjalanan menghantar salah seorang anaknya pulang ke sebuah sekolah di sekitar bandar ini.

Pegawai Kanan Bomba 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Rahman Taib berkata, seramai lapan anggota berserta satu jentera ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, tetapi sudah meninggal dunia dan operasi itu selesai jam 10.24 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan memberitahu semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Mayat kedua-dua mangsa juga dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasatan sebelum dituntut keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, adik mendiang Chai Soon, Tan Lee Kien, 45, berkata, dia tidak sampai hati menyampaikan khabar buruk yang menimpa abang dan kakak iparnya kepada ibu mereka.

Menurutnya, dia mengetahui berhubung insiden itu sekitar jam 11 malam, selepas dihubungi polis.

Tambahnya, dia khuatir ibu mereka yang menghidap sakit jantung terkejut dan tidak boleh menerima berita itu.

“Abang adalah anak sulung dalam keluarga dan dia tinggal bersama ibu yang berusia 80 tahun serta tiga anaknya. Hubungan mereka (ibu dan abang) amat rapat dan sebab itu saya tidak sampai hati beritahu ibu insiden ini (kemalangan).

Jelasnya, beberapa hari lalu, ketika menziarahi ibu mereka, abang dan kakak iparnya tidak menunjukkan sebarang perubahan serta kelihatan ceria seperti biasa.

Sinar Harian
5 Nov 2013


'Tak tergamak ibu tahu abang, kakak maut'

Keadaan kereta Persona yang dinaiki Chai Soon (gambar kecil kiri) dan Siew Boon yang maut dalam nahas di Kilometer 25, Jalan Muar-Batu Pahat, dekat Parit Belukang, Sungai Balang, semalam.

Muar: “Ibu menghidap sakit jantung dan saya tidak tergamak memberitahunya berita buruk kematian abang dan kakak ipar kerana bimbang kesihatannya,” kata adik mangsa kemalangan maut, Tan Lee Kien, 45.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, Tan Chai Soon, 55, dan isterinya, How Siew Boon, 54, maut selepas PROTON Persona yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dan bas ekspres.

Kejadian di Kilometer 25, Jalan Muar-Batu Pahat, dekat Parit Belukang, Sungai Balang itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak daripada kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Puteri, Batu Pahat, selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan anak mereka di Muar.

Kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh Nissan Serena dan bas ekspres daripada arah bertentangan.

Kejadian itu turut menyebabkan MPV yang dinaiki tujuh orang sekeluarga terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang lampu, manakala bas yang membawa 28 penumpang terbabas memasuki kebun sawit di tepi jalan berkenaan.

Penumpang Nissan Serena, Hanizah Misran, 44, patah tangan kiri, manakala pemandu bas berusia 46 bersama dua penumpang wanita berusia 23 tahun dan 44 tahun, turut cedera.

Lee Kien berkata, abang sulungnya yang mempunyai tiga anak menjaga ibu mereka yang berusia 80 tahun dan tinggal bersama, malah hubungan dua beranak itu sungguh rapat.

Abang rapat dengan ibu 

“Abang rapat dengan ibu dan selalu berkongsi kisah suka duka menyebabkan saya bimbang untuk memaklumkan berita sedih ini kepada ibu,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar di sini, semalam.

Lee Kien berkata, abangnya baru bersara beberapa bulan dari bekerja di sebuah kawasan tanah perkuburan di Batu Pahat dan sejak itu dia sering membawa isterinya keluar bersiar-siar pada hujung minggu.

Katanya, beberapa hari lalu, beliau menziarahi ibu dan abangnya yang kelihatan ceria seperti sedia kala menyebabkannya tidak menyangka ia pertemuan terakhir, sekali gus menyebabkan sambutan Tahun Baru Cina pada Februari tahun depan tidak lengkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berita Harian
5 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment