Thursday, November 7, 2013

Peragut menyamar pelanggan

Ezuriah bersama suaminya, Salehudin Md Don menunjukkan tempat suspek meletakkan motosikal sebelum masuk warung dan meragut rantai emas miliknya.

MUAR - Seorang peniaga menempuh pengalaman menakutkan apabila terpaksa bergelut dengan seorang lelaki yang berpura-pura sebagai pelanggan dalam kejadian ragut di sebuah warung di Kampung Temiang, Jalan Salleh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa, Ezuriah Mohd Diah, 44, mengalami kerugian hampir RM4,000 selepas rantai emas miliknya dilarikan suspek.

Menurutnya, ketika kejadian, dia tidak berniaga, tetapi mengambil kesempatan waktu terluang membersihkan warung untuk beroperasi keesokan harinya.

“Dua motosikal besar yang dinaiki empat lelaki berhenti di hadapan warung. Salah seorang daripada mereka meluru masuk sambil bertanya ada jual air minuman ataupun tidak.

“Saya beritahu tidak jual air kerana hari ini (semalam) tidak berniaga. Saya tunjuk kedai runcit terletak kira-kira 30 meter dari warung dan cadangkan dia beli air minuman di kedai tersebut,” katanya semalam.

Ezuriah berkata, lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberinya terus bertindak seperti mahu menerkamnya.

Katanya, dia mengambil penyapu dan memukul lelaki terbabit untuk mempertahankan diri, sebaliknya suspek bertindak ganas dengan menahan penyapu berkenaan.

Dia berkata, tangan kanan lelaki itu pula mencekik lehernya sebelum meragut rantai yang dipakai.

“Saya tidak berani melawan kerana takut dicederakan memandangkan tubuh badan suspek agak besar.

“Saya hanya jerit panggil suami yang berada dalam dapur warung sebaik suspek bersama tiga rakannya yang menunggu di luar meninggalkan warung ini,” katanya.

Ezuriah memberitahu, suami yang terkejut mendengar jeritannya bertindak keluar dan cuba membaling objek ke arah suspek, tetapi hanya mengenai motosikal.

Katanya, kejadian berlaku sangat pantas dalam tempoh kurang tiga minit dan dia tidak dapat mengecam wajah suspek kerana tidak pernah dilihat datang ke warungnya, selain memakai topi keledar penuh.

“Saya masih trauma dengan kejadian ini dan berasa takut apabila sendirian berada di warung kerana peristiwa tersebut masih menghantui ingatan.

“Ini pengalaman pertama diragut sejak lebih 20 tahun berniaga dan selepas ini akan lebih berhati-hati apabila didatangi individu tidak dikenali,” katanya.

Sinar Harian
7 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment