Mohd Basha (kiri) menunjukkan 2,000 tong LPG dalam serbuan di Lorong Kempas 3, Kawasan Perindustrian Pagoh, kelmarin.
MUAR - Satu kegiatan menjual gas subsidi yang berselindung di sebalik gudang kilang sejak enam bulan lalu berjaya dibongkar anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar menerusi serbuan di Lorong Kempas 3, Kawasan Perindustrian Pagoh dekat sini, kelmarin.
Ketua PPDNKK Cawangan Muar, Mohd Basha Abidin Ali berkata, kejayaan dalam serbuan jam 11 malam itu adalah hasil intipan selama tiga bulan yang membawa penemuan kira-kira 2,000 tong gas petroleum cecair (LPG) dengan muatan 14 kilogram yang bernilai hampir RM1 juta.
Menurutnya, ketika serbuan, lima pekerja termasuk tiga warga Vietnam sibuk melakukan pemindahan gas daripada tong gas memasak 14 kilogram (kg) ke sebuah lori tangki 30 tan dan 10 tong gas muatan 50kg.
“Salah seorang pekerja Vietnam terbabit yang berusia dalam lingkungan 30an melarikan diri ke kawasan semak bersebelahan gudang itu, tetapi berjaya diberkas tidak lama kemudian.
“Kita turut temui sebuah treler dalam gudang terbabit selain peralatan untuk kegiatan tersebut antaranya generator dan kompresor,” katanya pada sidang media di gudang itu, semalam.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 40an termasuk dalang utama kegiatan itu yang berusia 50an.
Jelasnya, dua lelaki terbabit bertindak mengawasi tugas pekerjanya sepanjang pemindahan gas dilakukan dengan keadah yang sangat berisiko kepada mereka (pekerja) dan penduduk berdekatan.
“Tong gas memasak diterbalikkan untuk memudahkan aliran sebelum disalurkan menerusi paip getah ke lori berkenaan yang diletak di belakang gudang,” katanya.
Mohd Basha berkata, modus operandi mereka ialah beroperasi pada waktu malam untuk mengelakkan pihak berkuasa mengesan kegiatan tersebut selain gudang itu kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan dengan pintu pagarnya sentiasa tertutup.
Sinar Harian 20 Nov 2013
0 comments:
Post a Comment