Norazlisham menunjukkan besi yang dipaut wanita lembam sebelum terjun ke Sungai Muar, semalam.
MUAR – Tindakan pantas seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Muar berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan lembam selepas dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Ismail ke Sungai Muar, semalam.
Dalam kejadian jam 6.10 pagi, remaja berkenaan diselamatkan Koperal Norazlisham Che Ahmad selepas usaha memujuk selama 10 minit gagal.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, remaja berkenaan ditemui berada di atas jambatan berkenaan oleh ibu kandungnya yang mencarinya selepas dia didapati tiada di rumah.
Menurutnya, mangsa yang berjalan kaki keluar rumah sekitar jam 4 pagi ketika semua ahli keluarganya sedang lena tidur kerana mahu pergi ke rumah saudaranya.
“Ibu remaja terbabit kemudiannya menemui anaknya itu berada di atas jambatan seperti mahu terjun ke dalam sungai lalu menghubungi pihak polis untuk bantuan.
“Anggota peronda bersama tiga anggota marin tiba di tempat kejadian memujuk remaja itu agar tidak terjun, tetapi tidak berjaya,” katanya.
Nordin berkata, sebaliknya remaja itu memanjat besi tepi jambatan dan sempat menjerit dua kali meminta pertolongan sebelum terjun ke dalam sungai.
“Mangsa didapati dalam keadaan tenggelam timbul dihanyutkan arus kuat kerana ketika kejadian, air sungai sedang pasang telah diselamatkan oleh anggota berkenaan.
“Dia ditemui dalam keadaan lemah dan jari manis tangan kanannya cedera kerana tersangkut mata kail pancing yang terdapat di jambatan tersebut,” katanya.
Nordin berkata, mangsa dibawa ke pengkalan yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian dengan menaiki bot sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan.
Katanya, mujur remaja itu dapat diselamatkan lebih awal kerana jika terlewat, mungkin sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku.
Sinar Harian
21 Nov 2013
0 comments:
Post a Comment