Tuesday, November 19, 2013

Bangga karya jadi perhatian

Mohd Faesal (kanan) bersama idolanya, Saiful Nang ketika pertemuan dengan ahli Lensa Malaya.

Mohd Faesal (kanan) ketika mengambil gambar perkahwinan satu daripada pelanggannya.

MUAR – Berbelanja lebih RM10,000 demi membeli dua kamera Nikon D40 dan D90 serta tiga lensa bukan bebanan kepada seorang guru muda di sini.

Kesanggupannya itu semata-mata untuk mendapatkan kepuasan bagi memastikan gambar yang diambil cantik dan berkualiti.

Mohd Faesal Mazian Jamian, 32, berasal dari Parit Lapis, Parit Jawa dekat sini berkata, dia mempunyai ribuan koleksi gambar pelbagai kategori yang diambil sejak mula berjinak-jinak sebagai jurugambar sambilan sekitar 2010.

Menurutnya, dia cenderung mengambil gambar rumah tradisional seperti rumah Melaka dan Bugis.

"Rumah Salewangeng iaitu  rumah tradisional masyarakat Bugis di Serkat, Pontian adalah antara koleksi paling berharga dan gambar kegemaran saya.

“Saya ambil gambar itu (rumah Salewangeng) secara kebetulan kerana tertarik dengan keunikan reka bentuk rumah tersebut ketika ke Pontian pada September tahun ini.

“Gambar rumah Salewangeng ini telah menarik perhatian ramai apabila digunakan Sinar Harian dalam laporan khas bertajuk Bugis Bukan Lanun, baru-baru ini,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sepanjang menceburi bidang tersebut, Mohd Faesal berkata, dia berjinak-jinak sebagai jurugambar sambilan secara tidak sengaja kerana pengaruh   rakan di bidang media ketika bekerja di Yayasan Pelajaran Johor.

Katanya, salah satu faktor menceburi bidang itu kerana suka melihat gambar dihasilkan seorang jurugambar profesional terkenal yang juga jurugambar rasmi kepada Sultan Brunei,  Saiful Nang.

“Saya aktif dalam bidang ini selepas menjadi ahli Kelab Lensa Malaya iaitu himpunan komuniti jurugambar dari seluruh negara.

“Namun, saya tidak sangka apabila berada dalam kelab itu dapat bertemu idola iaitu Saiful Nang serta seorang lagi jurugambar profesional, Syibli Fakaih,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, peluang berkenalan dengan dua nama besar dalam bidang fotografi dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempelajari pelbagai ilmu dan teknik menghasilkan gambar menarik serta meneroka bidang berkenaan lebih jauh.

“Daripada mereka (Syibli Fakih dan Saiful Nang) jugalah saya dapat tahu laman web seperti Flickr dan Pixoto yang digunakan jurugambar untuk menjual gambar-gambar secara online,” katanya.

Katanya, dia belum berhasrat menukar minatnya menjadi pekerjaan sepenuh masa kerana mahu memberi tumpuan kepada tugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong.

Jelasnya, dia  menjadi jurugambar hanya pada musim cuti persekolahan ataupun cuti hujung minggu untuk majlis perkahwinan bagi menambah pendapatan sampingan keluarga.

Sinar Harian
19 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment