Thursday, November 14, 2013

Pencuri masuk jerat

Pencuri masuk jerat Penjenayah berjaya ditangkap ketika cuba curi kabel.

MUAR – Tindakan pantas dua pekerja sebuah syarikat telekomunikasi membuat rondaan di kawasan seliaan berjaya menangkap dua penjenayah ketika mereka sedang mencuri kabel di Parit Keroma Laut, Jalan Junid, di sini, Selasa lalu.

Kejadian jam 2 pagi itu berlaku susulan pihak syarikat menerima aduan daripada ibu pejabat terdapat kerosakan pada stesen pemancar komunikasi di kawasan terlibat.

Salah seorang pekerja syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zack berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah kereta Proton Persona berada di dalam kawasan berkenaan yang berpagar.

“Saya letak kereta di hadapan pintu pagar bagi menghalang suspek melarikan diri.

“Lelaki terbabit yang leka potong kabel sepanjang 65 meter menyedari kehadiran saya bersama rakan dan pada mulanya mereka cuba melarikan diri masuk ke dalam kereta, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Zack berkata, kejadian itu kerap berlaku di beberapa kawasan di daerah ini sehingga menimbulkan rungutan di kalangan penduduk kerana kerap menghadapi masalah talian.

“Tahun ini saja, empat kabel telah dicuri membabitkan kerugian hampir RM6,000. Saya tidak sangka kali ini secara tidak sengaja terserempak dengan penjenayah itu dan menangkap mereka.

“Saya juga tidak pasti mereka suspek yang sama dengan kejadian sebelum ini ataupun tidak,” katanya.

Katanya, suspek berusia lingkungan 20-an itu diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian selepas memaklumkan penangkapan lelaki terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431 kanun keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman denda tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sinar Harian
14 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment