Sunday, November 10, 2013

Jiran selamatkan warga emas

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dalam kejadian di Jalan Bakariah di sini, semalam.

MUAR – Seorang warga emas terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran apabila berjaya diselamatkan jirannya yang terdengar jeritan lelaki berkenaan dalam kejadian di Jalan Bakariah, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Chuah Xiong See,89, sedang tidur sendirian dalam sebuah bilik di rumahnya selepas anaknya keluar bekerja.

Cucu mangsa yang hanya dikenali sebagai Lee,49, berkata, datuknya cedera pada jari kaki dipercayai terpijak objek tajam ketika mahu menyelamatkan diri.

“Dia (datuk) sedar kejadian itu apabila rasa bahang seperti api dan apabila sedar ruang biliknya dipenuhi asap tebal.

“Apabila datuk keluar bilik lihat api sudah marak ke bahagian ruang tamu rumah dan dia cuba menyelamatkan diri tetapi kakinya cedera dan terjatuh di bahagian dapur,”katanya.

Katanya, dia amat bersyukur datuknya selamat dan kecederaan dialaminya tidak begitu serius.

Jiran yang mahu dikenali Chandaran, 21, berkata, ketika kejadian di baru sahaja selesai bersiap mahu ke tempat kerja dan apabila keluar rumah melihat api sedang membakar rumah jiran.

“Saya tergerak hati menghampiri rumah tersebut dan terkejut dengar jeritan meminta tolong dari arah dalam rumah berulang kali.

“Saya tidak sangka dalam rumah itu ada pakcik (mangsa) dan berlari ke pintu bahagian dapur untuk menyelamatkannya,” katanya.

Chandaran berkata, mujur pintu belakang rumah itu mudah dibuka dan dengan segera membawa keluar mangsa yang sedang menahan sakit kecederaan pada kakinya.

“Api marak terlalu cepat membakar keseluruhan rumah warga emas itu dan jiran-jiran lain menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, dua jentera dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.47 pagi.

“Ketika tiba di tempat kejadian, rumah terlibat sudah musnah keseluruhannya tetapi berjaya menghalang api merebak ke kilang kertas yang dibina bercantum dengan rumah itu.

“Operasi tamat jam 10.30 pagi, bagaimanapun punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,”katanya.

Sinar Harian
10 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment