Sahadan menunjukkan lapan blok enjin motosikal serta beberapa komponen utama motosikal yang dileraikan suspek
MUAR – Seorang mekanik yang berselindung di sebalik bengkel motosikal yang diusahakannya untuk mengaburi pihak berkuasa, merupakan dalang kegiatan mencuri dan meleraikan komponen motosikal yang aktif sejak beberapa bulan lalu, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kegiatan mekanik itu terbongkar dalam satu serbuan jam 7 pagi di Bakri yang dilakukan hasil maklumat orang awam yang mengesyaki kegiatan dilakukan suspek.
“Kita menemui lapan blok enjin motosikal serta beberapa komponen utama motosikal lain yang sudah dileraikan.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam bengkel itu juga menemui sepucuk senapang menyerupai M14 yang sudah diubah suai serta dua senapang angin buatan sendiri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Sahadan berkata, pihaknya turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.6 gram yang dipercayai milik suspek yang juga merupakan penagih dadah.
Jelas beliau, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pemilik asal komponen enjin motosikal yang ditemui di bengkel berkenaan.
Sinar Harian
1 Nov 2013
0 comments:
Post a Comment