Saturday, November 2, 2013

Pengurus ladang rugi RM40,000

MUAR - Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya apabila menerima panggilan daripada orang tidak dikenali yang mendakwa pegawai bank dan meminta mereka melakukan pemindahan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, dalam kejadian Rabu lalu, seorang lelaki yang juga pengurus ladang berusia 60 tahun mengalami kerugian RM40,000 apabila diperdaya seorang lelaki menerusi panggilan telefon.

“Suspek memberitahu mangsa ada berhutang kad kredit dengan jumlah berkenaan dan mengarahkan mangsa segera membuat bayaran.

“Mangsa diminta menjelaskan bayaran dalam satu akaun. Suspek juga berpesan kepada mangsa supaya tidak memberitahu kepada orang lain tentang arahan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Sahadan, suspek yang menghubungi berkali-kali dipercayai cuba untuk melekakan mangsa sehingga tanpa sedar, mangsa telah memasukkan wangnya ke dalam akaun yang diarahkan.

“Mangsa seperti dipukau dan kejadian itu berlaku dalam tempoh 3 jam selepas dia menerima panggilan pertama daripada suspek.

“Kita percaya suspek bergerak secara berkumpulan yang menjalankan aktiviti sindiket memperdayakan orang awam dan menyamar sebagai petugas bank,” katanya.

Sahadan berkata, pihaknya sedang giat menjalankan gerakan menjejak suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan.

Sinar Harian
2 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment