Thursday, November 21, 2013

Pasangan suami isteri maut kemalangan

MAYAT Sharil diangkat untuk dibawa ke hospital. - Foto myMetro

ANGGOTA bomba memeriksa MPV dinaiki Sharil yang terbabas di Kilometer 9.5 Lebuhraya AMJ, semalam. - Foto myMetro

Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan. 

Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

LEDANG 20 Nov. - Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sebuah tembok di tepi jalan di Kilometer 9.5, Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Parit Pajar, Kesang di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Shahril Yusof, 42, yang bekerja sebagai juruteknik terbunuh di tempat kejadian manakala isterinya, Roslina Mahmod, 40, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, dekat sini.

Difahamkan, pasangan yang memiliki empat anak berusia antara empat hingga 15 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 5, Tanjung Gading, selepas menjemput Shahril yang bekerja di sebuah kilang di Merlimau, Melaka.

Setibanya di situ, MPV jenis Proton Exora yang dipandu Roslina dari arah Melaka ke Muar hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok tepi jalan sebelum terbalik dan sebahagiannya masuk ke dalam parit.

Difahamkan, kejadian berlaku hanya kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk.

"Usaha mengeluarkan mangsa sukar berikutan keadaan kenderaan berkenaan yang terbalik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Mohd. Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, abang kepada Shahril, Idris, 47, berkata, dia mengetahui insiden menimpa adiknya selepas menerima panggilan telefon daripada rakan kepada lelaki tersebut yang kebetulan berada di tempat kejadian.

"Kali terakhir jumpa arwah petang semalam di kedai makan yang diusahakannya bersama Roslina berdekatan dengan rumah mereka," katanya.

Utusan
20 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment