Friday, November 29, 2013

Sorok heroin dalam sofa

Sorok heroin dalam sofa Azman menunjukkan bahagian sofa yang digunakan suspek untuk menyembunyikan 990 gram heroin di sebuah rumah di Sungai Abong.

MUAR – Cubaan dua lelaki menyembunyikan heroin anggaran berat 990 gram, bernilai RM29,600 dalam sofa gagal apabila dadah terbabit ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Abong, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan jam 1 petang itu, turut dijumpai dadah jenis syabu seberat 45 gram bernilai RM11,900 yang diletakkan di atas meja rumah berkenaan.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik melalui risikan selepas menerima maklumat awam berkaitan kegiatan tersebut.

“Lelaki berusia 35 dan 43 tahun terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan semasa beristirahat dalam rumah sewa itu.

“Rampasan dadah bernilai RM41,500 boleh menampung kira-kira 5,180 penagih di sekitar daerah ini dan daerah berhampiran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Azman berkata, suspek berusia 35 tahun berasal dari Batu Pahat, manakala suspek berusia 43 tahun dari Segamat dipercayai baru tiga bulan beroperasi menjual dadah di daerah ini.

“Suspek berusia 35 tahun mempunyai enam rekod lampau yang mana lima daripadanya berkaitan kesalahan dadah dan kesalahan di bawah Seksyen 379 kanun keseksaan sejak tahun 1988 hingga 2008.

“Rakannya pula mempunyai empat rekod lampau yang dilakukan pada 1997 hingga 2011 berkaitan dadah dan satu kesalahan di bawah Seksyen 307 kanun keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Katanya, melalui ujian air kencing, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu.

“Kita percaya dengan penangkapan mereka, berjaya melumpuhkan satu lagi kegiatan sindiket dadah di daerah ini dan gerakan mengesan kumpulan lain juga sedang giat dilakukan.

“Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui sumber mereka memperoleh bahan terlarang itu serta pasaran tempat penjualannya,” katanya.

Beliau memberitahu suspek ditahan reman sehingga 2 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian
29 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment