Monday, November 4, 2013

Dua beradik lemas dalam parit

Yew Teng (kiri) dan Yew Xuan ditemui lemas selepas tergelincir dalam parit di Taman Pagoh Jaya, Pagoh, semalam.

Isniazreen (kiri) bersama bapanya, Senin, menunjukkan lokasi dua beradik yang ditemui lemas.

MUAR - Dua beradik lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam  sebuah parit besar di Taman Pagoh Jaya, dekat sini, ditemui mati lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang tinggal di taman perumahan berkenaan dilihat bermain di kawasan terbabit selepas pulang bermain bola  keranjang di sekolah mereka.

Bagaimanapun, mayat Tay Yew Teng, 10, dan adiknya Tay Yew Xuan, 7, ditemui penduduk kawasan berkenaan kira-kira jam 5 petang di dalam dasar  parit selepas kakak mangsa  memberitahu adiknya jatuh  dalam parit berkenaan.

Saksi kejadian, Isniazreen Senin, 24, berkata, dia membantu membawa naik salah seorang mangsa selepas melihat orang  ramai mengerumuni lokasi  kejadian ketika mahu keluar mengambil angin di luar rumah.

“Seorang mangsa telah dibawa naik oleh penduduk dan saya segera menyelam ke dasar parit untuk mencari seorang lagi mangsa.

“Mungkin salah seorang  daripada mereka tergelincir jatuh, manakala seorang lagi pula cuba bantu menyelamatkan, tetapi  gagal berikutan keadaan parit yang agak dalam dan permukaan dasar yang lembut menyebabkan keduanya mati lemas,” katanya ketika ditemui di tempat  kejadian, kelmarin.

Isniazreen berkata, kawasan itu memang menjadi tumpuan remaja memancing dan menjala ikan setiap petang, namun disebabkan cuaca hujan menyebabkan tiada sesiapa berada di lokasi melainkan mangsa.

Pengawal keselamatan SJKC Pengkalan Bukit (sekolah mangsa), Senin Sarif, 52, berkata, sebelum kejadian, mereka bersama seorang lagi rakan  bermain bola keranjang di  sekolah berkenaan.

Menurutnya, pada jam 1.30 petang, dia mengarahkan mangsa bersama rakannya pulang ke rumah kerana sudah terlalu lama bermain dan sekolah tutup  kerana sambutan Deepavali.

“Saya tidak sangka mereka bermain di parit itu selepas  pulang seketika ke rumah untuk makan tengah hari.

“Saya mengetahui kejadian malang menimpa kanak-kanak itu apabila ke tempat kejadian selepas pulang dari tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian berkenaan.

Katanya, kes diklasifikasikan kematian mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat.

Sinar Harian
4 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment