Sunday, November 3, 2013

Dua beranak bergaduh depan balai polis

SAHADAN Jaafar menunjukkan sebahagian daripada buah kelapa sawit yang dicuri dari sebuah kebun di IPD Muar, Johor, semalam.

MUAR 2 Nov. - Dua beranak yang bergaduh kerana cuba menasihati antara satu sama lain kerana bapa merupakan seorang 'kaki botol' dan anak penagih dadah jenis syabu ditahan oleh polis selepas bergaduh dalam kereta di hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini kelmarin.

Drama pergaduhan peniaga durian dan anak lelakinya itu bermula di rumah mereka di Parit Bakar di sini dan berlarutan sehingga ke IPD berkenaan sebelum ditahan kerana salah seorang suspek turut memegang sebilah parang dan mencabar polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kereta yang dinaiki lelaki berusia 65 tahun dan anaknya yang berusia 23 tahun itu telah berhenti di hadapan IPD tersebut pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, gelagat dua beranak terbabit bergaduh dan menjerit telah menarik perhatian seorang anggota polis yang sedang bertugas dan cuba meleraikan mereka.

"Bagaimanapun pemuda berusia 23 tahun itu bertindak menunjukkan parang kepada polis sambil berkata 'polis boleh tembak tak?'.

"Dua beranak itu kemudian ditahan dan siasatan awal mendapati mereka sudah bergaduh di rumah sebelum datang ke IPD tersebut kononnya untuk menyelesaikan masalah mereka.

"Punca pergaduhan disebabkan bapa yang merupakan peniaga durian sudah tidak tahan dengan perangai anaknya yang menagih syabu dan memintanya berhenti, manakala anaknya pula hilang sabar dengan bapanya yang merupakan pemabuk," katanya dalam sidang akhbar di IPD Muar di sini hari ini.

Kata Sahadan, polis yang memeriksa pemuda terbabit turut menemui dadah jenis heroin bersamanya dan suspek positif mengambil bahan terlarang itu, manakala bapanya dikesan sedang berada di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, pergaduhan itu adalah bermotifkan masalah keluarga dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Dalam kes berasingan, Sahadan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki semasa sedang mencuri buah kelapa sawit di sebuah kebun di Batu 2 1/2, Jalan Bakri di sini pada pukul 2 petang Rabu lalu.

"Suspek berusia 33 tahun berpura-pura menjadi pemilik kebun semasa mencuri buah berkenaan tetapi perbuatannya disedari tuan kebun yang melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Pemilik kebun berasa hairan kerana buah kelapa sawit kerap hilang lalu membuat intipan dan mendapati lelaki terbabit telah mencurinya," katanya.

Utusan
3 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment