REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, April 29, 2012

Kanak-kanak nyaris lemas

Rahimah cuba mententeramkan anaknya yang masih trauma dengan kejadian terbabit.


MUAR – Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah perumpamaan yang diibaratkan apabila seorang kanak-kanak nyaris lemas setelah tergelincir ketika bermain sampan di Jeti Jorak, Bukit Pasir, kelmarin.

Bagaimanpun, Inas Insyirah Mohd Ishak, 5, berjaya diselamatkan oleh Jurulatih Memandu Menunggang Palang Penguji Maktab Teknik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bakri, Hassan Ibrahim yang kebetulan berada di tempat kejadian kerana membaiki sampannya.

Menurut Hassan, dalam kejadian jam 6.30 petang itu dia berada pada jarak 50 meter dari tempat kejadian.

“Kira-kira 10 minit kemudian, saya dengar tiga jeritan minta tolong mengatakan ada anak kecil jatuh dalam sungai,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia segera terjun dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.

Hassan berkata, mujur adik mangsa Iris Irniesyah, 3, yang turut bermain dalam sampan berkenaan sudah selamat menaiki jeti itu.

Difahamkan, mangsa bersama dua adiknya yang lain pergi ke jeti terbabit selepas dibawa oleh ibu saudaranya untuk beriadah di situ.

Manakala ibu mangsa, Rahimah Romlan berkata, dia tidak mengetahui adiknya, membawa anak-anaknya ke tempat kejadian.

Katanya, dia meminta pertolongan adiknya untuk menjaga ketiga-tiga anak-anaknya kerana mahu pergi ke pekan.

“Walaupun masih terkejut tetapi saya sangat bersyukur kerana anak saya selamat,” katanya.

Sinar Harian
29 Apr 2012

Pusaran angin setinggi bumbung

SHAHROM menunjukkan cermin tingkap rumahnya yang pecah akibat kejadian ribut di Muar semalam.


MUAR - Penduduk di Taman Sri Jeram 3, Bakri di sini terkejut apabila ternampak pusaran angin setinggi bumbung semasa kejadian ribut yang menyebabkan 16 buah rumah rosak teruk awal pagi semalam.

Seorang mangsa, Md. Saat Ali, 49, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi, lebih kurang 15 minit selepas angin kuat dan hujan lebat.

Menurutnya, pada mulanya, dia terdengar bunyi angin kuat dari luar rumah yang berhampiran kebun kelapa sawit.

Bapa kepada dua anak itu terkejut apabila ternampak satu pusaran setinggi bumbung sedang melalui depan rumahnya dan terus bertindak menyelamatkan diri.

"Saya bersyukur kami sekeluarga selamat dan selepas ribut hilang saya dapati beberapa bahagian atap rumah saya musnah dan juga barangan dalam rumah rosak.

"Kejadian ini dirasakan begitu pantas sekali. Kerugian yang kami alami dianggarkan lebih RM3,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mohd. Nazri Mohd. Robak, 42, pula masih terbayang-bayang pusaran ribut tersebut yang menakutkan itu.

"Ribut tersebut berbentuk pusaran angin dengan campuran air dan desiran kuat yang pada mulanya saya sangka bunyi orang bergaduh di luar rumah kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Melihat keadaan itu, saya, isteri, seorang anak dan ibu yang berkerusi roda hanya berlindung dalam rumah serta berdoa tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Kosmo 29 Apr 2012


Ribut di kala Subuh, 28 rumah alami kerosakan


MUAR – Kira-kira 200 penduduk di Taman Seri Jeram 2 dan Taman Seri Jeram 3 berhadapan detik cemas kira-kira 20 minit berikutan kejadian ribut yang melanda kawasan tersebut, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi itu telah menyebabkan 28 rumah mengalami kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung.

Salah seorang penduduk, Zaleha Jaafar, 44, berkata, sebelum kejadian dia mendengar bunyi petir kuat disusuli dengan tiupan angin kencang.

Menurutnya, ketika itu dia berada di dapur kerana menyiapkan makanan untuk dijual di warung miliknya di Batu 7 ½ Bakri.

“Lima minit kemudian, hujan turun dengan lebat dan saya dengar ada objek jatuh di tingkat atas bahagian rumah.

“Tiba-tiba, air turun dari tingkat atas dan membasahi bahagian dapur rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, pelik dengan kejadian itu, dia segera naik tingkat atas dan terkejut melihat siling pecah dan keseluruhan bumbung rumah tercabut.

“Mujur semasa kejadian anak-anak tiada dalam bilik kerana tidur di ruang tamu bahagian tingkat bawah.

“Jika tidak, pasti mereka akan tercedera kerana banyak siling yang pecah dan berteraburan memenuhi ruang bilik,” katanya.

Ibu kepada lima anak berkata, berikutan kejadian itu juga dia tidak dapat berniaga dan berasa sedih kerana sedikit terbeban untuk membaiki semula bumbung yang rosak.

“Pendapatan dengan berniaga warung tidak tetap dan hari ini saya tidak dapat berniaga sedangkan semua makanan sudah siap dimasak.

“Namun saya tetap bersyukur kerana anak saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bakri, Ishak Khalil berkata, beliau meminta semua mangsa ribut supaya membuat laporan polis dengan segera.

“Senarai mangsa ribut akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk bantuan selanjutnya.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam) semua mangsa ribut telah menerima bantuan kilat daripada Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bakri, Mohd Fuad Tukirin berupa wang tunai dan sumbangan atap asbestos,” katanya.

Sinar Harian
29 Apr 2012


Saturday, April 28, 2012

Warga emas nyaris rentung selamatkan barang berharga


MUAR – Salakan anjing peliharaan pada waktu awal pagi telah menyelamatkan seorang warga emas daripada menjadi mangsa kebakaran yang melibatkan dua rumah di Kampung Paya Redan Pagoh dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi, mangsa Foo Ah May, 73, mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan tangan ketika cuba menyelamatkan barangan berharga miliknya.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila mendengar salakan kuat anjing peliharaannya.

“Saya berasa tidak sedap hati kerana anjing peliharaan jarang menyalak sedemikian pada waktu malam.

“Apabila keluar bilik, saya terkejut melihat api sedang marak di bahagian tengah rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia masuk semula dalam bilik untuk menyelamatkan barangan berharga tetapi api terlalu marak menyebabkannya cedera pada badan dan tangan.

Difahamkan, Ah May tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suami beberapa tahun lalu, manakala anak-anaknya bekerja di luar negara.

Sementara itu,Pegawai Bomba Kanan 11, Nor Al-Fatah Omar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2 pagi.

Menurutnya, dua jentera dan satu kenderaan pacuan empat roda bersama 11 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Semasa tiba, 80 peratus bahagian rumah ini sudah terbakar kerana strukur rumah papan lama memudahkan api marak dengan cepat.

“Pihak bomba bertindak pantas mengawal api bagi mengelakknya merebak ke rumah berhampiran,”katanya.

Katanya lagi, pihak bomba mengambil masa lebih kurang satu setengah jam untuk memadam kebakaran.

“Sebuah kereta jenis Proton Wira milik jiran turut hangus dan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Warga emas itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian
28 Apr 2012

Friday, April 27, 2012

Tertembak rakan disangka babi

Tai Chuan cedera dada kiri akibat terkena tembakan rakan sendiri semasa memburu babi hutan dalam kebun Kelapa Sawit di Tanjung Olak, Bukit Pasir dekat sini, kelmarin.


MUAR – Keseronokan empat sahabat memburu haiwan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka nyaris maut dipercayai terkena tembakan rakannya sendiri.

Tea Soy @ Ting Tai Chuan, 77, ­mengalami kecederaan di bahagian dada kiri selepas terkena tembakan rakannya semasa memburu babi hutan di sebuah kebun Kelapa Sawit di Tanjung Olak, Bukit Pasir, dekat sini, kelmarin.

Pengusaha ladang sayuran dari Bukit Pasir itu sudah lebih 10 tahun mempunyai lesen senapang dan melakukan aktiviti memburu haiwan bagi mengisi masa lapang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rakan mangsa dikenali ­sebagai Chua, 46, berkata tidak ­menyangka ­tembakan yang disasarkan ke arah ­objek yang menyerupai babi hutan yang ­dilihatnya pada jarak 120 meter di ­hadapan adalah rakannya sendiri.

Menurutnya, setibanya di kawasan ­kebun berkenaan, dia tidak menyedari Tai Chuan terlebih dahulu berjalan ke arah hadapan kerana menyangka rakannya itu pergi ke arah lain.

“Semasa berada di tengah kebun, saya ternampak objek seperti babi hutan melintas dan melepaskan tembakan.

“Saya hanya mengetahui tertembak rakan selepas mendengar Tai Chuan ­menjerit kesakitan selain dadanya ber­darah,” katanya.

Katanya, dia mahu menghantar Tai Chuan ke hospital tetapi rakannya itu enggan, sebaliknya hanya mahu pulang ke rumah.

Salah seorang anak mangsa, Ting Kah Peng, 40-an, berkata, dia ­mengetahui ­insiden yang menimpa bapanya itu selepas dihubungi anaknya.

“Ketika itu anak saya baru pulang dari sekolah dan lihat baju yang dipakai bapa berdarah di bahagian kiri dada.

“Saya segera pulang dan terkejut ­lihat bapa duduk di kerusi dalam keadaan ­lemah seperti menahan sakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu, dia segera meng­hantar bapanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar­ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Senjata Api 1960.

Sinar Harian 27 Apr 2012

Thursday, April 26, 2012

Api muncul bakar pakaian, Jumiran sekeluarga cemas



MUAR – Pelik tetapi benar, itu kenyataannya apabila seorang warga emas berhadapan detik mencemaskan diganggu serangan api misteri di kediamannya selama dua hari sejak Sabtu lalu.

Jumiran Wahid, 66, dari Kampung Parit Bengelin, Jalan Parit Yusuf dekat sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila api misteri tersebut muncul tiba-tiba dan membakar pakaian dalam sebuah almari.

Menurutnya, kejadian itu disedarinya yang kebetulan mahu mengambil pakaian dalam almari tersebut selepas pulang dari majlis perkahwinan di kampung berhampiran.

“Saya sangat terkejut lihat api itu, lalu segera ambil air untuk padamkannya bagi mengelakkannya daripada merebak. Kira-kira 10 minit kemudian, api tersebut berpindah dan membakar tuala mandi yang disidai di ampaian berhadapan bilik mandi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, tidak lama kemudian salah seorang anaknya yang mahu menuju ke bahagian atas rumah terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati tiga langsir di sebuah bilik terbakar.

“Selesai padam, api itu berpindah pula ke dua lagi bilik lain di bahagian rumah bawah dan dapati cadar dan langsir terbakar, manakala almari berasap.

“Kami terpaksa ambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak,” katanya.

Jumiran berkata, sangkaannya kejadian pelik yang dialaminya selama hampir satu jam itu sudah berakhir, tetapi ia berulang kira-kira jam 4.20 petang dan membakar tilam serta cadar termasuk kalendar pada dinding rumah.

Katanya lagi, jiran-jiran yang mengetahui kejadian tersebut turut membantu memadamkan api yang mulai marak itu.

“Pada sebelah malamnya, penduduk kampung berhimpun di rumahnya untuk mengadakan bacaan Yasin dan solat Hajat. Namun, lebih mengejutkan ketika bacaan Yasin berlangsung, tiba-tiba alas meja di dapur terbakar,” katanya.

Katanya, pada hari Ahad kejadian itu berulang lagi sebanyak empat kali dan lebih pelik apabila empat almari pakaian tumbang dengan sendirinya.

“Saya cuba bangunkan semula almari yang tumbang itu tetapi tidak lama kemudian, ia tumbang lagi sehingga berlarutan pada hari Selasa.

“Saya rasa tidak sedap hati dan ambil keputusan untuk membiarkan sahaja almari yang tumbang itu,” katanya.

Menurut Jumiran, sepanjang lebih 40 tahun mendiami rumah itu, ini merupakan pertama kali berlakunya kejadian yang dianggap pelik serta penuh misteri.

Bagaimanapun, dia masih mencari jawapan di sebalik kejadian yang berlaku itu dan berdoa supaya tiada sebarang perkara yang lebih buruk terjadi selepas ini.

Sinar Harian
26 Apr 2012

Tuesday, April 24, 2012

Buruh binaan dihempap jentera cerucuk




MUAR – Seorang pekerja buruh binaan maut dalam keadaan menyayat hati selepas dihempap sebuah jentera tanam cerucuk di Kampung Tengah Air Hitam dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Chong Kim Fatt, 46, dipercayai cuba membetulkan kedudukan jentera berat terbabit yang senget kerana struktur tanah di kawasan itu lembik.

Malangnya, ketika mangsa sedang leka memasukkan besi dan kayu di bawah jentera berkenaan, secara tiba-tiba jentera itu terbalik lalu menghempapnya.

Kejadian tersebut disedari dua rakannya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan cuba membantu mangsa tetapi gagal.

Kim Fatt berasal dari Rawang, Selangor dan baru beberapa hari melakukan kerja pembinaan masjid di Kampung Parit Tengah, Air Hitam sebelum berlakunya kejadian itu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Jamil berkata, projek pembinaan masjid berkenaan mula dilakukan kira-kira tiga bulan lalu.

Menurutnya, jentera berat itu berada di bekas tapak kolam lama menyebabkan kedudukannya senget sejak dua hari ditinggalkan di situ.

“Penduduk kampung yang mendengar tentang kemalangan terbabit segera datang ke situ untuk memberi bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang terbenam dalam tanah di bawah jentera tersebut.

“Satu jam kemudian, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan sebuah jentera lain tetapi sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penduduk kampung turut menghubungi pihak polis dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk memaklumkan kejadian itu.

Sinar Harian
24 Apr 2012

Monday, April 23, 2012

Derita isteri mangsa langgar lari



MUAR – “Tiga jam sebelum kejadian, suami kelihatan begitu gembira dan bersungguh-sungguh cuba baju Melayu baru untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri.

“Suami turut minta saya ambil gambarnya yang lengkap berbaju Melayu di ruang tamu rumah,” kata Fatimah Omar, 52, isteri mangsa langgar lari dalam kejadian 14 Ogos tahun lalu.

Fatimah berkata, meskipun agak hairan dengan sikap pelik suaminya itu, namun dia tetap melayannya.

Menceritakan kisah duka itu, Fatimah berkata, pada jam 5.30 petang hari kejadian, Abd Jabbar Yunus, 61, keluar rumah menaiki motosikal untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

“Dalam perjalanan, suami dilanggar oleh sebuah kereta menyebabkannya koma hampir dua minggu di hospital dan lumpuh hingga kini.

“Lebih menyedihkan saya dan anak tunggal saya menerima perkhabaran mengenai kemalangan suami setengah jam sebelum waktu berbuka puasa,” katanya.

Katanya, sejurus itu mereka segera ke tempat kejadian.

“Saya tergamam apabila lihat tubuh suami terlentang di tepi jalan raya dengan kepala yang berlumuran darah dan nafas tercungap-cungap.

“Lebih memilukan apabila lihat kuih yang dibeli suami berteraburan di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Lembah Padang, Jalan Junid di sini.

Berikutan kemalangan itu, katanya, tempurung kepala bahagian kiri suami terpaksa dibuang semasa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Rentetan kecederaan yang dialami juga, mereka sekali lagi diuji apabila Abd Jabbar mengalami komplikasi jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke wad hampir tiga minggu.

Bagi Fatimah, sambutan Aidilfitri tahun lalu tidak lagi bermakna buatnya kerana perlu menemani suami di hospital.

Sinar Harian
23 Apr 2012

Pelajar perempuan Upsi maut terjun bangunan


TANJUNG MALIM - Tekanan perasaan dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan tahun tiga Fakulti Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) terjun dari tingkat empat bangunan E-Learning kampus universiti itu di sini, petang semalam.

Menurut sumber, pelajar berusia 23 tahun dan bakal menamatkan pengajiannya dalam dua semester itu, dipercayai telah mencederakan dirinya sebelum nekad terjun bangunan.

"Terdapat kesan darah pada dinding koridor di tingkat empat bangunan di mana pelajar terbabit dipercayai terjun.

"Kesan itu menunjukkan pelajar ini telah cedera dan nekad terjun bangunan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika kebanyakan pelajar tamat kuliah tambahan.

Kata sumber itu lagi, mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala dan patah kaki.

Ketika kejadian, katanya, mangsa berpakaian muslimah, berseluar trek dan bertudung.

"Menurut rakan-rakannya, sebelum ini pelajar yang berasal dari Johor Bharu itu dilihat murung dan sering bercakap sendirian dan berkemungkinan menghadapi tekanan," katanya.

Sinar Harian cuba menjejaki rakannya, namun masih gagal kerana mangsa berkemungkinan tidak tinggal di kolej kediaman tetapi tinggal di kediaman luar kampus.

Dalam pada itu, seorang pembaca Sinar Harian Online dalam mesej Facebook menulis bahawa "seorang mahasiswi Upsi semester empat, minor Bahasa Arab terbunuh setelah terjatuh dari Bangunan E-Learning sekitar jam 5.30 - 6.00 petang tadi."

"Kami diberitahu dari tingkat empat dan identiti mangsa juga telah dikenal pasti dan akan disiarkan sebaik sahaja disahkan," kata pengunjung itu.

Sinar Harian
22 Apr 2012


Mati terjun separa sedar

FATIMAH...maut

TANJUNG MALIM: Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikatakan mengalami masalah gangguan makhluk halus, maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan lima tingkat di universiti itu kelmarin.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, dalam siasatan awal, pihaknya mendapati mangsa, Fatimah Mina Md Juferi, 22, mengalami masalah itu sebelum mengikuti kursus di UPSI dan masih menjalani rawatan tradisional bagi mengatasi gangguan itu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan unsur mistik menyebabkan mangsa terjatuh dari bangunan E-Learning kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

“Malah, saya dimaklumkan rakan serumah mangsa yang dia berkelakuan pelik sebelum ini termasuk bercakap sendirian dan menangis,” katanya yang dihubungi semalam.

Fatimah, pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang berasal dari Bakri, Muar, Johor, ditemui terbaring di bawah bangunan berkenaan dengan kecederaan parah di beberapa bahagian badan, termasuk patah rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta kedua-dua bahunya.

myMetro
23 Apr 2012


Maut akibat bisikan misteri

ANAK panah menunjukkan lokasi Fatimah terjatuh dari tingkat lima bangunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada Sabtu lalu.

TANJUNG MALIM - Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendakwa diganggu bisikan misteri ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan E-Learning, kampus terbabit di sini kelmarin.

Kejadian menimpa Fatimah Mina Md. Juferi, 22, dipercayai atas dorongan suara bisikan misteri yang dialami pelajar terbabit sejak beberapa tahun lepas.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi hingga 6 petang itu, pelajar semester empat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di kaki lima bangunan yang terletak tidak jauh dari Pintu Masuk Timur UPSI.

Seorang rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali berkata, Allahyarham Fatimah sebelum ini dilihat mengalami kemurungan kerana mendakwa diganggu makhluk halus.

"Fatimah mengadu bisikan dan gangguan tersebut semakin kerap sejak beberapa bulan lalu," katanya ketika ditemui di UPSI di sini semalam.

Kosmo
23 Apr 2012


Pelajar Upsi murung sebelum maut jatuh bangunan

MUAR – “Kebelakangan ini arwah kelihatan murung dan suka menyendiri,” kata Noralis Mohamad, 22, rakan sekelas Fatima Mina Md Juferi, 22, iaitu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang terbunuh selepas dikatakan terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di universiti terbabit petang kelmarin.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca arwah murung dan dilihat sudah berlarutan sejak beberapa semester.

“Arwah juga menjadi semakin pendiam apabila masuk semester empat dan pernah bertanya kepada arwah tentang masalah yang dihadapinya, tetapi dia hanya membisu sahaja.

“Semasa tahun pertama pengajian dia kelihatan ceria seperti pelajar lain dan difahamkan masalah yang dihadapinya berkaitan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Jeram Bukit Batu, Bakri, di sini, semalam.

Seorang lagi rakannya, Munira Mamud, 21, berkata, rakaman melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Upsi menunjukkan arwah memasuki lif ke tingkat lima blok bangunan kuliah pada kira-kira jam 5.15 petang kelmarin secara bersendirian.

Menurutnya, insiden itu turut disedari seorang pelajar yang kebetulan­ sedang menghadapi peperiksaan di dalam dewan di situ dan mahu ke tandas lalu terlihat satu objek melayang dan jatuh ke atas ruang pejalan kaki.

“Pelajart terbabit memaklumkan kepada pensyarah yang kemudian menghubungi ambulans.

“Beberapa pelajar yang berada di lokasi sempat mengajar mengucap ketika arwah masih bernafas,” katanya.

Munira berkata, Fatima Mina juga menunjukkan perubahan ketara beberapa hari sebelum kejadian seperti tidak mempedulikan orang yang bercakap dengannya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Iskandar Ali, 40-an, berkata, anak saudaranya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu.

“Arwah seorang yang rapat dengan adik-beradiknya yang lain,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu merupakan penuntut semester empat Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, tengah hari semalam.

Sinar Harian
23 Apr 2012


Pelajar UPSI maut terjatuh bangunan

IPOH: Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang dipercayai mengalami kemurungan, maut selepas terjatuh dari bangunan lima tingkat E-Learning di kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, petang kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 5.30 petang hingga jam 6.30 petang itu, mangsa, Fatimah Mina Md Juferi, 22, dari Bakri, Muar, ditemui terbaring di tingkat bawah bangunan berkenaan dengan kesan luka di beberapa bahagian badan, termasuk patah di rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta bahu kiri dan kanan.

Mayat pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu ditemui lengkap berpakaian dan bertudung oleh beberapa pelajar yang kebetulan melalui kawasan itu.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, berkata insiden itu di luar kawalan pihaknya dan menyifatkan ia mungkin ada kaitan unsur mistik seperti gangguan makhluk halus.

“Saya mewakili warga UPSI menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah dan kami turut mengadakan majlis tahlil ringkas untuk arwah, malam semalam (kelmarin) di surau Kampus Proton City, yang disertai beberapa pegawai universiti dan pelajar.

“Selain itu, dua rombongan bas disertai 80 pelajar, termasuk Penolong Pendaftar UPSI, Musa Jaafar turut mengiringi kepulangan jenazah ke rumah keluarganya di Muar, pagi tadi (semalam) bagi menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepadanya, selain menghulurkan sedikit sumbangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan itu turut mendapati arwah memasuki bangunan itu dalam keadaan seperti separuh sedar sebelum dilihat menaiki tangga ke tingkat atas.

“Difahamkan, arwah mempunyai sejarah diganggu makhluk halus sebelum ditawarkan memasuki UPSI dan beliau dikatakan sedang mengikuti beberapa rawatan perubatan tradisional serta Islam bagi mengatasi masalah itu.

“Saya juga dimaklumkan rakan serumahnya, pelajar itu turut berkelakuan pelik sebelum ini, termasuk sering bercakap sendirian dan menangis,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kes itu, yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian
23 Apr 2012





Saturday, April 21, 2012

Kes HFMD membimbangkan


MUAR – Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor, membimbangkan apabila kes itu meningkat sebanyak 578.1 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai.

Menurutnya, sehingga minggu ke-14 yang berakhir 7 April tahun ini, sebanyak 651 kes dicatatkan berbanding hanya 96 kes HFMD dalam tempoh yang sama, tahun lalu.

“Daerah yang paling banyak mencatatkan HFMD tahun ini ialah Johor Bahru dengan 193 kes; Batu Pahat (123); Ledang (100); Kluang (67); Kota Tinggi (55); Muar (48); Kulaijaya (37); Pontian (19); Segamat (lapan); dan Mersing (satu kes).

“Peningkatan HFMD di negeri ini melepasi paras wabak dicatatkan bermula pada minggu kesembilan bermula 26 Februari 2012 iaitu dua minggu selepas Singapura mencatatkan HFMD melepasi paras wabak iaitu pada minggu ketujuh bermula 12 Februari 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Muar, semalam.

Katanya, sejak minggu kesembilan, sebanyak 18 kluster HFMD dikesan di Johor melibatkan 14 tabika dan empat rumah persendirian.

“Kesemua tabika terlibat diarahkan tutup sementara antara 10 hingga 14 hari bagi memutuskan rantaian jangkitan serta melakukan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi di premis terbabit.

“Virus utama HFMD yang dikesan di Johor adalah Coxsackie A16, merupakan kuman HFMD yang kurang bahaya,” katanya.

Dr Robia berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, tiada kematian HFMD dicatatkan di Johor.

HFMD merupakan penyakit berjangkit disebabkan virus dari usus (enteroviruses) terdiri daripada kumpulan Picornaviridae.

“Enteroviruses yang lazim menyebabkan HFMD adalah Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV-71).

“Penyakit ini mudah menyerang bayi dan kanak-kanak yang mempunyai tahap imuniti yang rendah,” katanya.

Dr Robia berkata, walaupun HFMD tidak merbahaya, tetapi kadangkala ianya boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang otak dan radang jantung sehingga membawa kematian.

Menurutnya, simptom utama HFMD ialah demam, ulser pada mulut/bibir/lidah dalam pipi, ruam dengan melepuh, gelembung tapak tangan dan kawasan lampin.

Jelasnya, kuman itu merebak secara langsung melalui sentuhan pada lepuh atau najis ke mulut (Faeco-oral) atau secara tidak langsung dari tangan yang tercemar atau air liur ke atas permukaan seterusnya disentuh oleh orang lain lalu masuk ke dalam badan melalui mulut.

Sinar Harian
21 Apr 2012

Friday, April 20, 2012

Dua van bertembung, lelaki warga Pakistan maut



MUAR - Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan Parit Bakar berhampiran Kampung Seri Tanjung, Bakri dekat sini, kelmarin.

Mangsa dikenali Said Kalam Shah, 42, mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan lain.

Said Kalam disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hopsital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), iaitu kira-kira satu jam selepas terbabit kemalangan tersebut.

Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, melibatkan tiga kenderaan iaitu dua van dan sebuah lori.

Mangsa memandu van bersendirian dalam perjalanan pulang selepas menghantar barang-barang ke rumah pelanggan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori yang sarat membawa muatan benih tanaman.

Malangnya, dia gagal memotong dan menyebabkannya merempuh sebuah van di laluan bertentangan. Akibat rempuhan itu, van yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbalik sehingga menyebabkan Said Kalam tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, mangsa sudah 10 tahun bermastautin di negera ini dan menjalankan perniagaan menjual karpet serta perabot di sini. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan bedah siasat dilakukan di HPSF sebelum dituntut keluarganya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sinar Harian
19 Apr 2012

Anak ayam berkaki empat



MUAR - Seorang warga emas tidak menyangka hobinya menternak ayam membawa penemuan unik selepas salah seekor anak ayam yang dibelikan sebulan lalu mempunyai empat kaki.

Piah Ithnin,70, dari Sungai Balang Besar di sini, hobinya pada waktu lapang itu juga mendorong dia menambah ternakan ayam dengan membeli 10 ekor anak ayam di Pekan Parit Jawa bulan lalu tanpa menyedari keunikan yang terdapat pada seekor anak ayam tersebut.

Sepanjang lebih 50 tahun ternak ayam, ini pertama kali saya lihat anak ayam berkaki empat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, keunikan anak ayam itu diketahui selepas diberitahu cucunya, Firdaus Johari,10 tiga hari lalu yang kebetulan sedang memberi makanan sambil bermain dengan anak ayam tersebut.

Firdaus memang suka bermain dengan anak ayam setiap kali dia datang ke rumah ini.

Jadi apabila dia beritahu seekor anak ayam mempunyai empat kaki membuatkan saya terkejut dan sangka ia hanyalah gurauan,” katanya.

Meskipun pada mulanya Piah enggan mempercayai kata-kata cucunya itu, tetapi melihat kesungguhan Firdaus, dia akur dan sekali lagi terkejut dengan apa yang dilihatnya itu.

Katanya, dia tertarik untuk meneliti anak ayam itu dan mendapati dua kaki yang lain terletak pada bahagian tongkeng.

Ayam ini sama seperti anak-anak ayam yang lain, cuma lebih suka memencil berbanding anak-anak ayam yang lain.

Walaupun anak ayam ini masih kecil, saya akan terus peliharanya dan tidak akan sembelihnya seperti ayam lain apabila besar,” katanya.

Katanya, dia tidak bercadang untuk menjual anak ayam itu walaupun mendapat tawaran harga yang tinggi kerana menganggap anak ayam berkenaan sangat unik.

Kesemua anak ayam ini ditempatkan dalam reban khas bagi membolehkan ia membesar dengan sempurna,” katanya.

Sinar Harian
20 Apr 2012

Wanita hamil dicekup


MUAR – Seorang wanita hamil empat bulan antara yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Agas, Ledang oleh sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira 6.30 pagi, 9 April lalu.

Wanita berusia 28 tahun itu antara empat suspek yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam enam kes samun kedai runcit yang berlaku di Bukit Pasir, Bakri dan Parit Jawa, sekitar Januari hingga April tahun ini. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, wanita berkenaan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

Menurutnya, kesemua suspek begitu licik dengan menggunakan modus operandi iaitu berlegar-legar di sekitar kedai runcit dengan menaiki motosikal.

Kemudian suspek memasuki kedai itu dengan memakai topi keledar sambil berpura-pura hendak beli barang atau kad tambah nilai telefon bimbit.

Selepas pasti kedai itu tiada pelanggan, mereka akan mengeluarkan parang yang disorok dalam baju dan mengugut mangsa supaya menyerahkan wang tunai serta mengambil barangan berharga,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa terpaksa akur dengan arahan suspek kerana ketakutan selepas menerima ugutan mahu dicederakan jika ingkar.

Jelas Mohamad Nasir, ekoran kejadian yang berlaku, pihak polis segera mengadakan operasi untuk mengesan dan menjejaki suspek.

Hasil siasatan terperinci di tempat kejadian, pihak polis berjaya mengenal pasti identiti suspek.

Akhirnya kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Tanjung Agas yang dipercayai menjadi markas persembunyian mereka,” katanya.

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut turut dirampas tujuh telefon bimbit dan sebilah parang yang dipercayai digunakan ketika menyamun.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 34 tahun kini ditahan reman sehingga 18 April ini untuk membantu siasatan.

Suspek yang berusia 34 tahun merupakan dalang kegiatan tersebut dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun,” katanya. Mohamad Nasir berkata, tiga suspek lelaki terbabit kecuali wanita hamil itu disahkan positif dadah jenis Syabu dan methamphetamine.

Dengan tertangkapnya mereka, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun yang berlaku di sekitar daerah Muar. “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
17 Apr 2012

Pencuri cilik diberkas

MUAR – Tiga remaja yang dipercayai baru berjinak-jinak dengan kegiatan mencuri ditahan polis pada 14 April lalu. Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kesemua remaja berusia 14 tahun itu dikehendaki kerana dipercayai menceroboh gerai di pasar malam dekat Parit Jawa sejak sebulan lalu.

Menurutnya, tangkapan dilakukan selepas menerima empat laporan polis daripada peniaga di situ yang sudah tidak tahan dengan perbuatan remaja terbabit.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan, telah membantu pihak polis mengenal pasti mereka.

“Ekoran itu, pihak polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga daripada lima remaja yang terlibat di rumah masing-masing berhampiran Parit Jawa,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Nasir berkata, salah seorang suspek adalah pelajar sekolah pendidikan khas, manakala yang lain tidak bersekolah.

“Antara yang dicuri remaja berkenaan ialah telur ayam sebanyak 100 biji, dua karton air minuman berkarbonat, wang syiling RM10 dan milo seberat dua kilogram.

“Mereka juga menceroboh kedai basikal dan mencuri dua besi umpil tayar, lima sepana dan satu handle basikal,” katanya.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga hari ini (18 April ) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan kerana menceroboh,” katanya.

Sinar Harian
19 Apr 2012

Monday, April 16, 2012

Bayi atas but

MUAR: ‘Nama Ayah, Khairulanam, nama ibu, Sri Susanti dan nama anak, Salamiah Hasanah’. 

Itu nota ditemui di dalam beg sukan mengandungi bayi perempuan baru dilahirkan yang diletak di atas but sebuah kereta milik Pengerusi Masjid Kampung Parit Pechah, Parit Jawa, Abdul Rashid Sirat, 72, di sini, semalam. 

Menurut Rashid, nota berkenaan itu tertulis ‘Kami tak mampu untuk menguruskan dan akan menunggu dia di Jakarta kelak’. 

“Saya baru selesai menunaikan solat Subuh dan mahu menghidupkan enjin kereta apabila terpandang kotak gabus diletakkan di atas but. 

“Saya sangka ada orang tercicir kotak itu sebelum tergerak untuk membukanya. Apabila dibuka, ia mengandungi beg dan saya terdengar suara bayi menangis,” katanya. 

Menurut Rashid, dia terus membuka zip beg dan menemui bayi perempuan cukup sifat yang dibersihkan dan dibalut tuala namun masih bertali pusat. 

Katanya, sebelum itu, dia serta jemaah lain terdengar deruan enjin motosikal masuk ke kawasan masjid, namun menyangka ia penduduk yang mahu bersolat. 

“Namun sejurus penemuan itu, kami terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian,” katanya. Bayi perempuan itu sempat diazankan jemaah masjid, Ustaz Sulaiman Sarip, 50-an, sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

“Kami masih mengesan ibu bapa bayi berkenaan dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat supaya tampil membantu siasatan,” katanya. 

myMetro
15 Apr 2012


Jemaah temui bayi selepas solat Subuh  

BAYI perempuan yang ditemui berhampiran Masjid Parit Pechah dekat Parit Jawa, semalam.  

Diletak dalam tong polistren atas but kereta  

MUAR: Seorang bayi perempuan masih bertali pusat yang diletakkan dalam tong polistren ditinggalkan atas bonet kereta ditemui jemaah selepas solat Subuh di Masjid Parit Pechah dekat Parit Jawa di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, curiga dengan kandungan tong polistren berkenaan, Abdul Rashid Sirat, 72, menggoncangnya sebelum terdengar tangisan menyebabkan beliau membukanya dan menemui bayi yang diletakkan dalam beg pakaian. 

Katanya, beliau meletakkan keretanya di tempat letak kereta berbumbung kira-kira jam 5.45 pagi sebelum masuk ke masjid menunaikan solat Subuh berjemaah.

“Ketika hendak pulang kira-kira 45 minit kemudian, saya dapati ada sebuah tong polistren atas bonet kereta. Curiga dengan keadaan itu, saya mengangkat dan menggoncang sebelum terdengar bunyi tangisan.

“Keadaan itu mengejutkan saya sebelum membukanya. Sejurus tong itu dibuka, saya melihat sebuah beg hitam di dalamnya dengan seorang bayi perempuan sedang menangis. 

“Bayi yang masih bertali pusat itu hanya dibalut dengan tuala. Walaupun baru dilahirkan bayi sudah dibersihkan berikutan badannya tidak diselaputi darah atau lendir,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Abdul Rashid turut menemui sekeping nota mencatat nama bayi itu Salamiah Hasanah, bapanya, Khairul Anam, manakala ibunya, Sri Susanti. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kelahiran dan penemuan bayi itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di 06-952 6222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes berkenaan. 

Berita Harian
15 Apr 2012


Tinggal bayi atas bonet kereta  

MUAR – “Saya sangka ada orang hantar barang, tetapi terkejut apabila buka kotak ini terdapat satu beg hitam mengandungi seorang bayi perempuan yang sedang menangis dalam keadaan berpeluh,” kata Abd Rashid Sirat. 

Bayi malang yang masih bertali pusat dan hanya dibalut dengan tuala dijumpai oleh Abd Rashid ditinggalkan dalam kotak polistirena putih di atas bonet kereta Honda Civic miliknya di sebuah masjid di Parit Pechah, Parit Jawa dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Abd Rashid menyedari kewujudan kotak itu ketika menghampiri keretanya untuk pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Subuh di masjid berkenaan.

Menurutnya, walaupun berasa pelik tetapi dia tergerak hati untuk membuka kotak itu dan terkejut melihat seorang bayi perempuan sedang menangis. 

“Tanpa berlengah, saya segera memanggil jemaah lain yang masih berada dalam masjid untuk memaklumkan penemuan bayi ini.  Mujur saya cepat buka kotak ini, jika tidak pasti bayi malang ini sudah lemas kerana kotak polistirena putih ini kedap udara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Turut ditemui dalam beg itu ialah sekeping kertas mengandungi nama bayi berkenaan iaitu Salamiah Hasanah Khairulanam dan ibunya, Sri Susanti serta pesanan mengatakan tidak mampu memelihara bayi itu dan akan menunggunya di Jakarta, Indonesia. 

Abd Rashid berkata, dia tidak pasti berapa lama bayi itu ditinggalkan kerana sewaktu tiba di masjid kira-kira jam 5.30 pagi, dia tidak menemui sebarang kotak atau tiada kelibat individu mencurigakan berhampiran masjid itu. 

Katanya lagi, dia dan rakan-rakan membawa bayi itu masuk ke dalam masjid supaya tidak kesejukan sebelum membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi malang itu. 

“Berdasarkan tali pusat yang masih melekat pada bayi, kemungkinan bayi itu baru dilahirkan beberapa hari lalu. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. 

Jelas beliau, polis kini sedang giat mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.  

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu menghubungi IPD Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar Harian
15 Apr 2012

Thursday, April 12, 2012

5 penjenayah pecah masuk rumah

MUAR 11 April - Sebuah keluarga di Jalan Ahmad Kampung Lenga Batu 31, dekat sini, kerugian hampir RM60,000 apabila rumah mereka dipecah masuk lima perompak, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Hawa Ahmad, 72, yang sedang tidur bersama suami, Mohd. Yasin Mohd. Nor, 75, dikejutkan dengan jeritan anak lelakinya, 46, yang tidur di bahagian ruang tamu.

Menurut Hawa, belum pun sempat mengejutkan suaminya untuk melihat apa yang berlaku, anaknya itu terlebih dahulu membuka pintu biliknya dengan keadaan kedua belah tangan terikat bersama dua penjenayah.

Katanya, terdapat tiga lagi penjenayah masuk ke biliknya selepas itu dan mereka turut membawa tali nilon sebelum mengikat mereka tiga beranak di bilik sebelah.

"Suami merayu kepada penjenayah itu supaya tidak mengikat tangan kami dan minta lepaskan anak kami tetapi mereka yang bersenjatakan parang tidak menghiraukannya. Mereka menggunakan kain pelikat suami dan anak untuk menutup muka.

"Mujur penjenayah terbabit tidak bertindak agresif, sebaliknya meminta sejumlah wang dan barangan kemas.

Dua penjenayah terbabit kemudian menggeledah bilik sehingga terjumpa kunci peti besi tempat menyimpan wang tunai dan sedikit barang kemas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, lima perompak itu kemudian menggeledah tiga bilik di rumahnya selama satu jam setengah sebelum melarikan wang RM10,000, dua utas rantai, empat bentuk cincin, dua gelang tangan, dua telefon bimbit, satu komputer riba dan kereta Perodua Viva yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM60,000.

Dia berkata, kejadian itu merupakan pengalaman paling menakutkan sejak 70 tahun tinggal di kampung berkenaan. Katanya, mereka kemudian membuat laporan polis pada pukul 3.30 pagi di Balai Polis Lenga. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut insiden tersebut.

Sinar Harian
12 Apr 2012

Hajat tak sampai pergi kedai


MUAR – Hajat seorang anak untuk membawa ibunya pergi kedai tidak kesampaian apabila ibunya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman berhampiran Parit Sakai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Jaminah Dariman, 74, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala anaknya, Suhailah Amal, 51, mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangi Suhailah hilang kawalan selepas digesel sebuah kereta jenis BMW.

Kereta terbabit dipandu seorang lelaki yang cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal lalu memasuki lorong motosikal sebelum bergesel dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

Akibat geselan itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum kedua-duanya tercampak ke atas jalan raya. 

Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
12 Apr 2012

Ibu dibawa beli-belah maut nahas 

MUAR: Hasrat seorang wanita membawa ibunya membeli-belah di bandar ini tidak kesampaian apabila motosikal yang mereka tunggang terbabit dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman berhampiran Parit Sakai di sini, kelmarin menyebabkan ibunya itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Jaminah Dariman, 74, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala serta badan. Anaknya, Suhailah Amal, 51, parah dan kini di rawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Difahamkan, ketika kejadian, dua beranak itu dalam perjalanan ke bandar Muar untuk membeli pakaian serta barangan keperluan dapur.

Saksi, Ahmad Md Monoto, 20, berkata, ketika kejadian dia mahu melintas jalan berkenaan bersama rakan sebelum terlihat sebuah kereta jenis BMW cuba memotong kenderaan di depan, namun gagal.

“BMW terbabit kemudiannya menghimpit ke bahu jalan dan memasuki laluan motosikal sebelum bergesel dengan motor ditunggang mangsa.

“Saya lihat penunggang motosikal itu hilang kawalan dan kedua-duanya kemudiannya tercampak ke atas jalan raya,” katanya.

Menurut Ahmad, orang ramai cuba membantu, namun seorang daripada mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah mangsa di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

myMetro 13 Apr 2012

Nyaris maut rempuh belakang bas


MUAR – Gara-gara tidak sempat mengelak, seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah bas di Jalan Bukit Pasir- Pagoh, dekat sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Wong, 40-an dipercayai dalam perjalanan pulang berehat ke rumahnya di Pagoh dari tempat kerja.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Wong dikatakan gagal mengelak sebuah bas yang berhenti untuk menurunkan penumpang. Akibat rempuhan itu, dia tercampak ke atas jalan dan motorsikalnya terperosok di bawah bas.

Pemandu bas berkenaan, Jaafar Osman, 50, berkata, ketika dia memberhentikan bas untuk menurunkan penumpang, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang basnya.

“Saya segera turun bas untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati seorang lelaki terbaring di belakang bas dengan keadaan berlumuran darah di bahagian muka.

“Saya pandu bas dalam perjalanan dari Muar menuju pekan Pagoh dan kemudiannya segera hubungi ambulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa yang cedera di bahagian muka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
12 Apr 2012

Saturday, April 7, 2012

Bakal pengantin cari bapa



MUAR 5 April - Seorang bakal pengantin sedang mencari bapa kandungnya yang berpisah sejak dia berumur satu tahun untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan pada 5 Mei depan.

Junaidah Jumaat, 30, yang bakal melangsungkan perkahwinan di Parit Raja, Gersik dekat sini, tidak pernah melihat wajah ayahnya kerana dibesarkan ibu, Darmi Ongso, 60, sejak kecil.

"Saya sudah puas mencari bapa kandung, Jumaat Hassan, 63, tetapi tidak ditemui. Sejak berpisah dengan ibu dan saya empat beradik, kami terputus hubungan dengan bapa.

"Selain puas berusaha bertanya dengan saudara mara, saya juga berusaha mencarinya melalui laman sosial Facebook tetapi hampa," katanya semasa berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia cawangan Muar di sini hari ini.

Dia yang bekerja kilang berkata, ibunya memaklumkan bahawa bapanya merupakan bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum mereka berpisah.

Mereka sekeluarga tinggal di Singapura dan ketika itu dia berumur setahun, namun apabila bapanya berkahwin baru, mereka semuanya pulang ke Parit Raja untuk membina hidup baru hingga kini.

Anak ketiga itu memberitahu, bapanya dikatakan masih berada di Singapura, tetapi tidak mengetahui di mana tempat tinggal bersama isteri barunya.

Junaidah memberitahu, jika bapanya tidak ditemui, pihak Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulungnya, Juraini Jumaat, 35, sebagai wali pernikahannya nanti.

Utusan 6 Apr 2012

‘Arwah ayah pasti gembira’


PAGOH: “Jika arwah bapa masih hidup pastinya dia gembira kerana jasanya menjaga keselamatan negara suatu ketika dulu dihargai kerajaan.

“Pemberian sumbangan ini amat bermakna kerana ia dapat meringankan beban kami sekeluarga,” kata Safiah Atan, 42.

Menurutnya, arwah bapanya, Hassan Abdullah bekas konstabel polis tambahan di zaman darurat.

Katanya, selepas bapanya meninggal dunia pada 2000, ibunya, Gayah Ahmad, 88, hilang tempat bergantung serta tidak mendapat pencen dan kini tinggal bersamanya.

“Ibu tidak mampu bergerak kerana sakit tua dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan keluarga.

“Jadi, menerusi bantuan yang diterima ini dapatlah kami gunakannya untuk menyediakan keperluan harian seperti susu dan lampin pakai buang.

“Saya mewakili ibu dan ahli keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan dan ingatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada pesara polis daerah Muar di Kompleks Sri Pekembar di sini, semalam.

Hoo Swee Eng, 79, berkata, sumbangan itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan nasib pesara polis meskipun menamatkan perkhidmatan sejak berpuluh tahun lalu.

“Walaupun sumbangan saya tidak sebesar mana jika dibandingkan anggota keselamatan lain, saya bangga menjadi konstabel tambahan kerana dapat membantu melindungi negara,” katanya yang begitu gembira dapat bertemu Timbalan Perdana Menteri pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 120 pesara polis daerah Muar menerima sumbangan RM3,000 seorang disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Adun Bukit Serampang, Tahir Taat.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapan pada mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh selepas majlis itu, menggesa semua ahli tidak memikirkan perkara lain kecuali bagaimana memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan bila-bila masa.

Beliau berkata, keadaan politik semasa sudah jauh berbeza jika dibandingkan situasi sebelum ini.

myMetro
7 Apr 2012

Friday, April 6, 2012

Ikan belanak mabuk air tawar

IKAN belanak mati terapung di kawasan parit Kampung Benteng Tengah dan Benteng Laut, Parit Jawa, Muar semalam. Ribuan spesies laut masuk parit selepas hujan lebat ditemui mati terapung   

MUAR: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan ribuan ikan belanak ditemui mati terapung dalam parit sekitar Kampung Benteng Laut dan Benteng Tengah dekat Parit Jawa di sini, dipercayai akibat mabuk air tawar.

Kejadian itu disedari seorang wanita kira-kira jam 8 pagi semalam, ketika beliau mahu membuka warung di Kampung Benteng Laut. 

Penjaga pintu air Parit Jawa, Mohd Zainul Ayub, 38, berkata kejadian itu disebabkan ikan terbabit yang juga spesies ikan laut tidak mampu bertahan dalam air tawar menyebabkannya mati hingga memenuhi parit sekitar kampung berkenaan hingga ke jeti nelayan. 

Katanya, sekitar kawasan terbabit mengalami kemarau sejak Januari lalu menyebabkan beliau menyekat laluan air daripada parit untuk menakung air sebelum dilepaskan ke laut bagi kemudahan nelayan yang perlu berulang alik ke laut. 

Berikutan itu katanya, ikan belanak memasuki parit berkenaan tetapi disebabkan air hujan mula memenuhi kawasan itu sejak beberapa hari lalu, ikan berkenaan dipercayai mula mati kerana tidak mampu hidup dalam air tawar. 

“Berikutan itu, kita lihat hanya ikan air masin mati, manakala ikan lain seperti haruan dan tilapia yang hidup dalam air tawar tidak menghadapi masalah,” katanya. 

Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian mendapati ribuan ikan berkenaan terapung dan memenuhi sekitar tebing Kampung Benteng Laut dan Kampung Benteng Tengah hingga ke jeti nelayan. 

Mohd Zainul berkata, beliau terpaksa menyekat dua pintu air di kawasan berkenaan sebelum melepaskannya beberapa kali bagi memudahkan nelayan keluar masuk berikutan paras air begitu cetek.  

Selain itu katanya, air yang ditakung sebelum dilepaskan boleh menolak lumpur serta kayu yang memasuki parit berkenaan terus ke laut seterusnya boleh mengurangkan kerosakan pada bot nelayan. 

“Kebiasaannya ikan belanak ini memasuki parit apabila air pasang dan tidak kembali semula ke laut kerana parit dipenuhi air masin. Cuma kali ini apabila hujan lebat dan kandungan air berubah, ia tidak boleh bertahan dan mati," katanya. 

Berita Harian
5 Apr 2012

Lari 200 meter elak dicekup

MUAR – Seorang lelaki lari lintang pukang sejauh 200 meter bagi mengelakkan diri daripada ditahan sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Arab pada kira-kira jam 11.30 malam, 31 Mac lalu.

Suspek berusia 20 tahun itu bertindak demikian kerana ketakutan berikutan membawa sepeket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.74 gram.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, penahanan itu dilakukan selepas pihak polis melihat suspek menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan. 

Menurutnya, ia mendorong pihak polis menahan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal yang dinaiki suspek.

“Malangnya, suspek meninggalkan motosikal di tepi jalan sebelum melarikan diri ke Jalan Arab. Ketika melarikan diri, suspek mencampak kan sepeket plastik lutsinar di tepi jalan yang dipercayai dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Nasir berkata, kepantasan pihak polis berjaya memberkas suspek di Jalan Arab berhampiran sebuah hotel dekat sini. Katanya, suspek seorang penganggur dan berasal dari Kampung Kelantan, Jalan Tengku Bendahara, di sini memiliki dadah untuk kegunaan sendiri.

“Ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis syabu dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Hasil siasatan lanjut, suspek turut mengaku terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah Ledang,” katanya.

Katanya, susulan pengakuan itu membawa kepada penemuan satu rangka motosikal dalam semak di Tanjung Agas. Menurut beliau, motosikal berkenaan dilaporkan hilang pada 2 Disember tahun lalu di Ledang.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan ditahan reman sehingga 4 April lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan, Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” katanya.

Sinar Harian
6 Apr 2012

Waris pemilik kubur lama diminta tampil


MUAR – Waris kepada pemilik sebuah kubur lama berhampiran Dataran Tanjung Emas diminta tampil ke Pejabat Agama Islam Muar untuk membantu kerja pemindahan kubur berkenaan.

Penyelia Tanah Perkuburan, Zulman Sapran berkata, kubur tersebut tidak mempunyai sebarang maklumat dan dipercayai sudah berusia hampir 100 tahun terletak di bawah sebuah pokok besar yang dikenali sebagai pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya, Samanea Saman.

Menurutnya, kewujudan kubur lama itu disedari oleh sekumpulan kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika membersihkan semak di kawasan berhampiran sekitar tahun 2009.

“Ia dikenal pasti selepas menemui satu batu nisan dan kubur ini dipercayai milik orang lelaki.

“Sejak itu, pihak MPM pelihara kawasan ini termasuk memasang pagar supaya orang ramai sedar kewujudan kubur ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kami tidak pasti kemungkinan ada kubur lain di sini kerana tidak ada sebarang petunjuk seperti batu nisan dan sebagainya.

Zulman berkata, cadangan kubur itu dipindahkan ke tempat lain telah dibuat setelah mendapati kedudukannya tidak sesuai lebih-lebih lagi selepas kawasan tersebut dibangunkan sebagai tempat awam.

“Kawasan ini sering menjadi tumpuan jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti pada hujung minggu.

“Untuk kebaikan dan kemudahan semua pihak, sewajarnya kubur ini dialihkan ke kawasan yang sepatutnya,” katanya.

Tambahnya, beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan MPM mengenai cadangan itu dan akan memindahkan kubur berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri.

Jelasnya, cuma halangannya ialah untuk mengenal pasti waris kepada pemilik kubur terbabit supaya kerja pemindahan dapat dilakukan dengan lancar dan mudah.

Selain itu, Pejabat Agama Islam daerah Muar turut menemui sembilan kubur lama yang dipercayai berusia lebih 100 di kawasan kediaman rasmi ketua penolong pegawai daerah Muar di Jalan Majidi, di sini dan sehingga kini masih tidak dapat mengenal pasti warisnya.

Sinar Harian 5 Apr 2012

Monday, April 2, 2012

Ajal sebelum baiki rumah

MUAR: Impian seorang ibu tunggal mengubah suai rumah pusaka bagi keselesaan mereka empat beranak tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan motosikal, dua kereta dan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Batu 7½, Jalan Bakri - Air Hitam, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi, Rapiah Ahmad Musman, 45, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan perindustrian Bakri, di sini.

Anak kedua arwah, Zulazrie Abdul Wahab, 20, berkata, ibunya menyatakan hasrat mengubah suai rumah pusaka diduduki mereka beberapa hari lalu untuk memberi keselesaan kepada mereka tiga beradik.

“Bagaimanapun, saya memintanya menunggu sehingga hujung bulan depan apabila saya mendapat gaji. Tanpa diduga, itulah permintaan terakhir ibu sebelum dia meninggal dunia pagi tadi (semalam),” katanya.

Katanya, arwah keluar dari rumah mereka di Parit Kemin, Air Hitam, di sini, seperti biasa iaitu sekitar jam 6.30 pagi untuk ke tempat kerja di kawasan perindustrian Bakri.

Menurutnya, ketika itu dia tidak melihat perubahan pada ibunya dan sebaik menghantar arwah di depan pintu, dia terus menyambung tidur.

“Pada jam 7.15, kakak sulung saya menerima panggilan daripada penyelia kilang tempat ibu bekerja yang bertanya mengapa ibu tidak hadir,” katanya.

myMetro
1 Apr 2012