Tuesday, March 26, 2013

Norain Shahira mimpi 8A tetapi peroleh 11A+


NORAIN Shahira berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya, Zaliah Konchong dan Abdul Wahab Abdul Shukor selepas memperoleh 11A+ dalam SPM 2012 di SMKA Maahad Muar, Johor, semalam.

MUAR 21 Mac - Pelajar Melayu terbaik daerah ini tidak menyangka mimpinya mendapat 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 merupakan petanda dia bakal mencatatkan keputusan lebih cemerlang iaitu 11A+.

Itu yang dialami pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMA) Maahad Muar, Norain Shahira Abdul Wahab, 18, dari Taman Bakri Jaya, dekat sini, yang diumumkan sebagai salah seorang daripada dua calon SPM di Muar yang mendapat keputusan 11A+.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, mimpi tersebut membuatkan semangatnya yang berkobar-kobar untuk mengetahui keputusan hari ini seakan-akan pudar sehingga terpaksa mententeramkan hati untuk reda dengan sebarang keputusan yang bakal diterima.

"Mimpi itu terbawa-bawa dalam ingatan sehingga saya macam tidak ada hati untuk ke sekolah mengambil keputusan SPM. Walau bagaimanapun, apabila tiba di sekolah, saya rasa hairan selepas guru tersenyum dan mengucapkan tahniah tanpa henti.

"Namun, apabila diumumkan, saat itulah baru saya tahu mendapat 11A+. Tergamam dan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata waktu itu. Memang susah nak percaya seakan-akan 'bermimpi' sekali lagi," katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini hari ini.

Pengumuman itu turut mengejutkan bapanya, Abdul Wahab Abdul Shukor, 50, dan ibunya, Zaliah Konchong, 49, yang mengiringinya mengambil keputusan SPM sekali gus membuatkan kedua-dua mereka yang bekerja sebagai guru tidak putus-putus mengucapkan syukur.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Norain Shahira mengakui akan mengulang kaji terlebih dahulu sebelum memasuki kelas sebelum mengulanginya di rumah bagi menguatkan ingatan tentang perkara yang dipelajari.

Selain tekun membaca dan mengulang kaji pelajaran, dia mengamalkan solat hajat setiap malam, berpuasa setiap Isnin dan Khamis serta mengamalkan bacaan surah ar-Rahman dan Waqiah setiap hari untuk menajamkan fikiran.

"Semasa menghadapi peperiksaan pula, saya berpuasa sehingga SPM tamat. Saya tidak pernah terfikir untuk mendapat keputusan 11A+ kerana sebelum ini dalam peperiksaan percubaan hanya mendapat keputusan 9A," katanya.

Dia yang meminati subjek Matematik dan bercita-cita menjadi pakar dalam bidang itu berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) walaupun menerima tawaran Universiti Teknologi Petronas.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran SMKA Maahad Muar, Hamidah Ridzuan berkata, sekolahnya mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.5.

Beliau memberitahu, daripada 151 calon yang menduduki SPM tahun lalu, 13 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dan empat subjek menunjukkan peningkatan iaitu Pendidikan Syariah Islamiah, Matematik, Matematik Tambahan dan Bahasa Melayu.

Utusan
22 Mac 2013


0 comments:

Post a Comment