Polis menjalankan pemeriksaan di kediaman mangsa selepas kejadian berkenaan.
MUAR - Seorang peniaga alat perkakas kerugian hampir RM15,000 selepas disamun empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau serta pistol di rumahnya di Blok A, Pekan Bukit Pasir, berhampiran Taman Bintang Emas dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Tan, 40, bersama isterinya baru pulang bersarapan dari sebuah kedai berdekatan kediaman mereka.
Menurutnya, sebelum kejadian, isterinya melahirkan rasa tidak sedap hati apabila melihat sebuah kereta Proton Waja tidak dikenali berlegar di kawasan berhampiran rumah mereka.
“Saya buat andaian sendiri dan anggap kereta itu mungkin sedang cari rumah rakannya.
“Ketika mahu masuk rumah, saya sedar ada seorang individu bertopeng dan rakannya pakai cermin mata gelap ekori saya dari belakang sebelum turut masuk ke kawasan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, mereka mengugutnya memberikan semua barangan berharga jika tidak mahu ditembak dengan pistol yang mereka bawa.
Menurutnya, dia yang bimbangkan keselamatan isteri, cucu dan menantu yang menyaksikan kejadian, terpaksa menyerahkan jam tangan berjenama, dompet yang mengandungi wang tunai RM3,000, telefon bimbit dan buku cek.
“Setelah memperoleh barangan itu, ke semua mereka melarikan diri dengan kereta tersebut yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya.
Tan berkata, sejurus penjenayah melarikan diri, dia segera menghubungi balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu.
Tambahnya, walaupun terpaksa melalui detik mencemaskan itu, namun dia bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas ahli keluarganya.
“Selepas ini saya akan lebih berwaspada dan pastikan pintu pagar rumah sentiasa tutup bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, usaha mengenal pasti identiti suspek sedang dilakukan termasuk dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan suspek akan segera diberkas apabila maklumat berkaitan mereka diperoleh,” katanya.
Sinar Harian
21 Mac 2013
0 comments:
Post a Comment