REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Tuesday, December 30, 2014

U Care bantu penarik beca

Borham dan Saodah menerima sumbangan daripada Emyliza.

MUAR - Seorang warga emas sanggup meninggalkan pekerjaan sebagai penarik beca yang  dilakukan lebih 40 tahun lalu demi menjaga isterinya yang dipotong sebelah kaki akibat diabetes.

Borham Kasim, 77, dan Saodah Samad, 68, yang tidak mempunyai anak, kini menyara hidup dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM600 sebulan.

Borham berkata, dia berhenti pekerjaan itu sejak setahun setengah lalu apabila  kaki kiri isterinya dipotong .

Menurutnya,  isterinya tidak mengetahui menghidap diabetes, namun disedari apabila  tapak kakinya berlubang dan keputusan diketahui semasa membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Doktor menasihati isteri supaya potong kaki berikutan ia  sudah dijangkiti kuman serta  elak keadaan bertambah serius, bagaimanapun, isteri enggan berbuat demikian.

“Beberapa hari kemudian,  barulah isteri bertukar fikiran dan bersetuju,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, tidak dinafikan pendapatannya terjejas selepas berhenti kerja yang kini bergantung hidup dengan bantuan JKM.  Namun, dia sentiasa mengamalkan  perbelanjaan secara berhemah bagi   memastikan wang tersebut mencukupi hingga hujung bulan.

“Dengan wang ini (bantuan JKM) jugalah saya guna untuk bayar sewa rumah  yang diduduki sejak enam tahun lalu sebanyak RM180 sebulan. Mujur tuan rumah tidak menaikkan kadar sewa, jika tidak pastinya terbeban.

“Walaupun tidak ada anak tetapi bernasib baik kerana mempunyai anak buah yang sangat prihatin serta mudah menghulurkan bantuan jika perlukan  pertolongan terutamanya untuk hantar isteri membuat pemeriksaan di hospital,” katanya.

Katanya lagi, dia sangat gembira apabila terpilih menerima sumbangan wang tunai daripada Kedai Kasut U Cawangan Muar menerusi program U Care syarikat itu.

“Wang ini akan digunakan untuk membeli barangan keperluan harian dan sewa rumah. Terima Kasih kepada Kedai Kasut U,” katanya yang menyewa rumah di Lorong Sekolah, Jalan Abdul Rahman.

Sumbangan disampaikan penolong penyelia syarikat berkenaan, Emyliza Mohd Diah serta ditemani Jurujual syarikat itu, Siti Norafidah Osman.

Sinar Harian
30 Dis 2014

Sunday, November 23, 2014

'Kelahiran Norsyafiqah istimewa'

Norsyafiqah (tengah) bersama ibu bapanya hadir pada Majlis Sambutan Hari Bayi Pramatang Sedunia 2014 peringkat HPSF, di sini, baru- baru ini. 

MUAR – Melihat bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (bayi pramatang) membesar dengan sihat adalah kegembiraan dan pengalaman berharga buat pasangan suami isteri terlibat.

Bagi Norhasini Ishak, pelbagai pengalaman dilalui bermula ketika isterinya, Mariam Othman mengandungkan anak bongsu mereka, Norsyafiqah sehingga kelahirannya pada 8 Mac 2004 di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Norhasini yang juga Guru Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat, Jalan Salleh berkata, Norsyafiqah merupakan bayi pramatang paling kecil yang dilahirkan di HPSF serta menjalani rawatan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) hospital berkenaan.

“Norsyafiqah terpaksa dilahirkan awal melalui proses pembedahan akibat masalah tekanan darah tinggi dihadapi isteri sepanjang kehamilan.

“Dia dilahirkan pada usia kandungan 28 minggu dengan berat 505 gram dan perlu menjalani rawatan di NICU kira-kira 100 hari,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Bayi Pramatang Sedunia 2014 peringkat HPSF, baru-baru ini.

Norhasini berkata, sokongan keluarga dan pihak hospital terutama doktor serta jururawat menjadikannya kuat dan tabah berhadapan situasi kelahiran anaknya itu.

Menurutnya, dia lega apabila Norsyafiqah menunjukkan perkembangan baik dengan pertambahan berat badan kepada 1.6 kilogram pada usia tiga bulan.

“Masa Norsyafiqah empat bulan, sekali lagi saya cemas apabila dia salin kulit yang mana kebiasaannya proses ini berlaku ketika bayi dalam kandungan.

“Memang sangat mencabar, setiap hari saya dan isteri akan sapukannya  krim khas diberikan pihak hospital,” katanya.

Norhasini berkata, penjagaan Norsyafiqah sedikit rumit berbanding tiga anaknya yang lain kerana antibodinya lemah dan mudah terkena penyakit serta perlu segera dirujuk ke klinik apabila sakit atau demam.

Sinar Harian
23 Nov 2014

Thursday, November 20, 2014

Denda, penjara buang sampah merata

Rahim (dua, kiri) bersama Ramlee A Rahman (kiri) sebelum memulakan mesyuarat di Majlis Perbandaran Muar.

MUAR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan (PPSPPA) akan menguatkuasakan hukuman di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 ke atas individu yang membuang sampah merata-rata.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, mengikut seksyen itu, mereka yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas ini bertujuan mendidik masyarakat supaya menjaga kebersihan serta menjadi lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kita mahu amalan kebersihan ini menjadi budaya masyarakat bukan hanya untuk mencantikkan kawasan, tetapi juga mewujudkan persekitaran bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perjumpaan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA bersama warga kerja Majlis Perbandaran Muar (MPM) di Bilik Mesyuarat MPM di sini, baru-baru ini yang turut dihadiri Yang Dipertua MPM, Ramlee A Rahman.

Dalam perkembangan lain, Ab Rahim berkata, pihaknya melancarkan Ops Helang di daerah itu bagi mengenal pasti punca masalah kebersihan di setiap kawasan daerah.

“Ini adalah Ops Helang ketiga dilakukan selepas di Kluang pada 10 Oktober lalu dan Pekan, Pahang pada 5 November lalu.

“Saya mengetuai ops ini dan akan pergi ke setiap kawasan dan mengutip sampah di depan orang ramai selain meninjau serta mengambil tahu punca masalah kebersihan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan ke bengkel dan restoran untuk memberi risalah dan penerangan cara terbaik membuang sampah kerana premis berkenaan penyumbang kepada pembuangan sampah tidak teratur.

Katanya, satu lagi program berkaitan penjagaan alam sekitar juga dianjurkan iaitu Winning The Heart And Minds (WHM) yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Menurutnya, beliau berkeyakinan pendekatan tersebut boleh membantu meningkatkan tahap kebersihan daerah ini apabila Muar disenaraikan antara lima model bandar bersih di seluruh negara selain Langkawi, Kedah; Rembau, Negeri Sembilan; Pekan, Pahang dan Putrajaya.

Sinar Harian
20 Nov 2014

Wednesday, November 19, 2014

Ikan mabuk di Sungai Muar

Pengunjung menunjukkan ikan gelama yang berjaya dijaring.

MUAR - Fenomena ikan mabuk sekali lagi berlaku di Sungai Muar dan kali ini melibatkan jumlah ikan mati yang lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Kejadian tersebut berpunca daripada perubahan air sungai dan campuran air hujan yang menyebabkan ribuan ikan pelbagai jenis ikan timbul di permukaan sungai itu berhampiran Tanjung Emas, di sini.

Penjaga Masjid Sultan Ibrahim, Sazali Alwi, 41, berkata, dia turut ke sungai untuk menangkap ikan berkenaan menggunakan jaring apabila melihat ratusan ikan terapung dan melompat di permukaan sungai sejak tengah hari semalam dari belakang masjid.

“Saya berjaya kumpul 30 kilogram ikan gelama diberikan kepada jemaah yang mahu membawa pulang.

“Fenomena kali ini agak luar biasa kerana ikan terapung dan dalam keadaan mabuk dalam jumlah banyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Peniaga, Izwan Othman, 34, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklum oleh rakan dan terus ke tepi Sungai Muar.

“Saya terkejut lihat permukaan sungai memutih dengan timbunan ikan timbul dan saya ke kedai beli jaring.

“Saya berjaya kumpul lebih 15 kg ikan yang dijaring bersama lebih 10 orang lain. Suasana kawasan ini meriah seperti pesta menangkap ikan,” katanya.

Katanya, kesemua ikan itu dibawa pulang ke kedai untuk diberikan kepada pekerja dan keluarga.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan kejadian itu tetapi berharap tiada sebarang kejadian buruk berlaku selepas ini.

Sinar Harian
19 Nov 2014

Monday, November 17, 2014

OKU rugi RM16,000 dilarikan isteri kedua

MUAR - Sudah jatuh, ditimpa tangga. Begitulah nasib menimpa seorang lelaki OKU apabila dikhianati isteri sendiri yang menghilangkan diri bersama wang tunai berjumlah RM16,000, Selasa lalu di Lenga.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, wang tersebut hasil kutipan bersama rakan mangsa untuk menjalankan tanaman kelapa sawit secara berkelompok.

“Mangsa berusia 59 tahun menyedari kehilangan wang itu yang disimpan dalam almari sebaik sahaja bangun daripada tidur selepas melihat pintu almari terbuka, kira-kira jam 2 petang.

“Lebih mengejutkan apabila barang milik isterinya yang berusia 33 tahun juga sudah tiada dalam almari berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa cuba menghubungi telefon bimbit isterinya tetapi tidak berjaya dan kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Beliau berkata, mangsa mengahwini isterinya yang berstatus penduduk tetap (PR) berasal dari Thailand itu pada 2009 selepas kematian isteri pertamanya.

“Mangsa mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu dan bekerja sebagai pekebun.

“Kita sedang giat mengesan isteri mangsa dan meminta orang awam yang terlihat atau mengenali suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Sinar Harian
17 Nov 2014

Polis Marin tumpu cegah jenayah di laut

Pasukan Polis Marin melakonkan aksi berhadapan dengan penjenayah laut. 

MUAR - Pasukan Polis Marin (PPM) memberi tumpuan pencegahan jenayah di laut dan pesisir pantai dengan menubuhkan program komuniti kepolisan yang menjadikan masyarakat sebagai mata serta telinga pihak berkuasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chian berkata, jenayah yang berlaku di laut melibatkan kejadian seperti penyeludupan, rompakan, kecurian dan pendatang tanpa izin.

“Hubungan erat yang terjalin antara masyarakat khususnya nelayan dengan polis dapat mengurangkan risiko mereka terdedah kepada jenayah.

“Mereka (nelayan) boleh menyalurkan maklumat dengan cepat dan tepat tentang sesuatu kejadian jenayah yang seteruskan membolehkan pihak berkuasa bertindak mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti Kepolisan Feet On Street di Jeti Nelayan Parit Tiram, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Dua Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, Zainal Abdul Jalil.

Beliau berkata, kerjasama daripada masyarakat dan nelayan diperlukan memandangkan kawasan laut dan persisiran Malaysia yang luas adakalanya menyebabkan polis marin terlepas pandang dengan sesuatu kegiatan jenayah.

“Setiap hari PPM berusaha mencari pelbagai kaedah supaya masyarakat dapat berhubung pantas dengan polis jika berlaku jenayah,” katanya.

Sinar Harian
17 Nov 2014

Syarikat bas cari waris mangsa

MUAR - Waris mangsa kemalangan jalan raya di Kilometer 246.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Ipoh, Perak, Zaiton Mohd Shariff, 59, pada 10 November lalu, diminta menghubungi pengurusan Cepatsedia Tours & Ekspress Transport Sdn Bhd, pemilik rangkaian bas Cepat Sedia Ekspress bagi tujuan tuntutan insurans.

Pengurusnya, Jason Poh berkata, pihaknya sebelum ini sudah berusaha mengesan keluarga arwah di Rembau, Negeri Sembilan, namun gagal.

“Kami mahu bantu keluarga buat tuntutan bagi meringankan beban serta tanda simpati atas kehilangan orang tersayang.

“Keluarga mangsa boleh menghubungi pejabat kami di talian 06-9517073, 9516358, 9783533,” katanya.

Isnin lepas, bas ekspress berkenaan yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Putrajaya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya lalu merempuh belakang treler menyebabkan bahagian depan bas berkenaan remuk teruk.

Zaiton meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang lain, Mohd Sukairi Wan Mustapha, 39, dan Mohamad  Taufiq Osman, 23, cedera.

Mangsa yang dipercayai berada di tempat duduk depan disyaki tercampak ke luar dan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

Sinar Harian
17 Nov 2014

Monday, November 10, 2014

10 ditahan berjudi dalam bilik hotel


Azman menunjukkan daun terup yang dirampas pada serbuan di sebuah hotel di bandar ini, kelmarin.

MUAR - Taktik tujuh lelaki dan tiga wanita menjadikan hotel sebagai tempat bermain judi terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam sebuah bilik hotel di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, serbuan jam 9 malam itu dilakukan sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hasil maklumat orang awam.

“Mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga Singapura serta seorang wanita Indonesia ditahan kerana disyaki bermain judi menggunakan daun terup dengan bertaruhkan wang tunai.

“Ketika serbuan, empat lelaki sedang mengelilingi meja dan leka bermain judi, manakala selebihnya beristirehat dalam satu ruang di bilik tersebut,” katanya pada sidang media di IPD Muar, di sini, semalam.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 29 hingga 69 tahun dan pemeriksaan di bilik berkenaan menjumpai 52 keping daun terup serta wang tunai S$ 425 (RM1,062.5) di atas meja.

Beliau berkata, ekoran penahanan 10 suspek terbabit berjaya membawa satu tangkapan lain ke atas seorang lelaki tempatan dalam tempoh dua jam pada hari sama di pekarangan IPD Muar.

“Suspek berusia 33 tahun berasal dari daerah ini ditahan kerana membenarkan bilik yang didaftarkan atas namanya dijadikan tempat bermain judi oleh suspek warga Singapura berkenaan.

“Terdapat beberapa bilik lain turut didaftarkan atas nama lelaki itu, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui tujuan sewaan bilik tersebut,” katanya.

Azman berkata, hasil siasatan awal ke atas suspek warga Singapura dan Indonesia terbabit, mereka mengaku datang ke negara ini untuk aktiviti ibadat di Tokong Parit Jawa dan melancong untuk menikmati makanan Asam Pedas Muar.

Jelas, semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Manakala, penganjur akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Sinar Harian
10 Nov 2014

Saturday, November 8, 2014

Penghuni rumah warga emas panik


Pekerja pusat berkenaan membersihkan bilik yang terbakar 

MUAR - Tindakan pantas lima orang awam membantu memadamkan api berjaya menyelamatkan 29 warga emas daripada menjadi mangsa kebakaran sebuah pusat jagaan di Taman Ria, Jalan Salleh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, hanya satu bilik di rumah teres berkenaan terbakar yang memusnahkan dua tilam dan katil serta insiden itu dipercayai berlaku dari bahagian tersebut.

Salah seorang pekerja pusat berkenaan, Hendri, 33, berkata, pusat itu menempatkan 12 penghuni wanita dan 17 penguni lelaki berusia lingkungan 50 hingga 90 tahun di dua unit rumah teres tersebut.

Menurutnya, kejadian itu disedarinya selepas terdengar jeritan daripada anak salah seorang penghuni pusat berkenaan selepas ternampak percikan api dari bilik pertama.

“Keadaan jadi kelam kabut dan saya lari keluar untuk panggil orang membantu, mereka padam api menggunakan alat pemadam khas yang disediakan di pusat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, semua penghuni berjaya dibawa keluar dan dipindahkan ke bangunan baharu yang terletak 30 meter dari tempat kejadian.

Hendri berkata, mujur ketika kejadian bilik itu kosong dan penghuninya di ruang tamu.

Dia bersyukur semua penghuni berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Norbiha Karim berkata, 14 anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.55 pagi.

“Ketika tiba di lokasi, api sudah berjaya dikawal orang awam dan kami melakukan kerja memadamkan sisa kebakaran bagi memastikan keadaan selamat.

“Kami mengambil masa 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran dan operasi tamat jam 10.15 pagi. Punca kejadian dan nilai kerugian dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
8 Nov 2014

Friday, November 7, 2014

Empat beradik serba kekurangan mohon dibantu

Nooraini memberikan minuman kepada Saedah. 

MUAR – Empat beradik hidup dalam keadaan serba kekurangan bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan serta wang pencen bapanya RM200.

Nooraini Jaafar, 48, berkata, daripada wang bantuan JKM itu, RM150 diterimanya sebagai ibu tunggal tiga anak, manakala RM300 bantuan warga emas diterima kakak sulungnya, Saadiah, 64.

“Kami berjimat cermat bagi meneruskan kehidupan kerana tidak mempunyai pendapatan lain di samping menghidap pelbagai penyakit kritikal yang menghalang untuk melakukan pekerjaan.

“Makan minum kami adakalanya tidak menentu dan mengharapkan sepenuhnya pertolongan daripada jiran-jiran memberi makanan serta kewangan ketika kesempitan wang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenangan Dato’ Abdullah Jaafar, semalam.

Katanya, wang pencen bapa sebagai pesara polis RM800, tetapi RM600 diberikan kepada seorang lagi kakak saya, Norsiah, 51, yang merupakan OKU.

“Norsiah dijaga adik saya di Negeri Sembilan, keadaannya tidak normal dan hanya bergerak dengan cara merangkak. Di rumah ini, keadaan Saedah,62, yang masih belum berkahwin paling teruk kerana baharu sembuh akibat strok empat bulan lalu dan menghadapi pelbagai penyakit.

“Antaranya darah tinggi, jantung, paru-paru berair dan buah pinggang rosak. Segala pergerakannya diuruskan kami adik beradik. Setiap bulan pula terpaksa pergi ke hospital sebanyak empat atau lima kali untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, kepayahan kehidupan mereka bertambah teruk apabila sebahagian wang bantuan JKM digunakan untuk menampung  kos rawatan penyakit Saedah serta perbelanjaan membeli lampin pakai buang untuk kakaknya.

“Walaupun hidup dalam kesusahan, tetapi kami agak bernasib baik apabila mempunyai rumah pusaka kedua ibu bapa untuk berteduh daripada hujan dan panas.

“Namun saya mengharapkan ihsan orang ramai untuk memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga ini. Mereka bermurah hari boleh berhubung melalui adik, Saiful 014-266 4609 atau rumah mereka 06-9864063,” katanya.

Sinar Harian
7 Nov 2014

Friday, October 10, 2014

Rebah muntah darah

MAYAT wanita hamil yang rebah selepas keluar dari tandas stesen minyak ditutup dengan kain sementara menunggu pasukan penyiasat polis tiba, kelmarin.

Muar: Seorang wanita secara tiba-tiba muntah darah dan rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika berjalan ke arah kereta yang diletakkan di stesen minyak di Taman Pagoh Jaya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, wanita terbabit dikenali sebagai Ana berusia lingkungan 40-an yang dipercayai hamil keluar dari tandas dan menuju ke kereta yang dikatakan dipandu seorang rakan.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, dia sedang mengisi minyak di stesen itu sebelum orang ramai terkejut melihat kejadian berkenaan.

Katanya, dia difahamkan wanita itu bersama rakannya datang ke Muar atas urusan perniagaan dan dalam perjalanan ke Johor Bahru.

Menurutnya, ketika rakannya mengisi minyak, wanita itu dikatakan ke tandas dan dipercayai mula muntah darah ketika berada di dalam tandas.

myMetro
10 Okt 2014

Thursday, October 2, 2014

Penyanyi rock, enam rakannya ditahan terlibat dadah, ragut, pecah rumah

MUAR 1 Okt. - Seorang penyanyi kumpulan rock yang pernah popular di era 90-an ditahan bersama enam rakannya kerana dipercayai terlibat dalam kes dadah, ragut, pecah rumah dan pecah kereta di Jalan Lama di sini, semalam.

Penyanyi berusia 40-an itu ditahan pukul 12.30 tengah hari selepas polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah sebelum menahan enam rakannya termasuk seorang wanita yang kesemuanya berumur antara 26 hingga 53 tahun.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pihaknya menemukan dadah serta pelbagai barangan termasuk peralatan digunakan untuk meragut, melakukan pecah rumah dan pecah kereta.

"Kita menemukan kira-kira 0.75 gram heroin dan pelbagai barangan, antaranya 17 beg tangan, 12 dompet, 33 telefon bimbit, tiga kamera, dua radio kereta dan 12 utas jam tangan.

"Turut dirampas satu equilizer, satu pam air, satu set barang tembaga, satu pemotong jubin, satu komputer riba, dua buah amplifier, satu pemotong besi dan dua bilah parang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua nilai barangan yang dirampas termasuk dadah itu bernilai kira-kira RM20,000 dan pihaknya percaya terdapat beberapa lagi saki-baki anggota kumpulan terbabit yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan.

Azman berkata, ketujuh-tujuh suspek yang ditahan itu didapati positif dadah jenis syabu dan ada antara mereka pernah ditahan kerana mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah sejak 1980 hingga kini.

Beliau berkata, bagi kes dadah, mereka disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Katanya, kes pencerobohan rumah pula disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun, denda dan sekiranya siasatan mendapati terlibat mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Utusan
2 Okt 2014


Rocker penyamun

Muar: Vokalis kumpulan rock terkenal era 90-an yang pernah ditahan atas kesalahan jenayah sebelum ini, sekali lagi ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Muar Lama di sini, Isnin lalu.

Kali ini, penyanyi berusia 40-an itu ditahan bersama lima lelaki lain dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 53 tahun di rumah yang dipercayai dijadikan stor menyimpan pelbagai barangan curi.

Ketua Polis daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pada mulanya pihaknya menerima maklumat rumah itu dijadikan markas pengedaran dan melepaskan ketagihan dadah menyebabkan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melakukan risikan.

“Pemeriksaan dalam serbuan pada jam 12 tengah hari membawa kepada penemuan 0.75 gram heroin di dalam rumah itu,” katanya pada sidang media di IPD Muar.

myMetro
2 Okt 2014

Guna air batu padam kebakaran

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar memadamkan sisa api pada lori berkenaan, semalam.

MUAR - Seorang pemandu dan kelindan lori bertindak pantas menggunakan ketulan air batu untuk memadamkan api pada bahagian enjin dan kepala lori bagi mengelakkan keseluruhan kenderaan dinaiki terbakar, semalam.

Kejadian kira-jam 10.54 pagi itu berlaku di Batu 22 Air Hitam, dekat sini ketika lori terbabit dalam perjalanan dari Batu Pahat ke bandar Muar untuk menghantar air batu.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, seramai empat anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.55 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sudah dipadamkan oleh pemandu dan kelindan terbabit sementara pihaknya hanya memadamkan sisa api yang masih terdapat pada kepala lori.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah brek yang melekat pada tayar menyebabkan ia mengeluarkan api.

“Pemandu memberhentikan kenderaan itu dibahu jalan apabila menyedari asap keluar daripada bahagian enjin,” katanya.

Razali berkata, mereka menggunakan ketulan air batu untuk menghalang api daripada marak ke bahagian badan lori yang akhirnya  boleh membakar keseluruhan kenderaan itu.

Katanya, orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu memadamkan api sebelum menghubungi bomba untuk bantuan kecemasan.

“Mujur mangsa terbabait bertindak cepat menyelamatkan diri serta memadamkan api yang dapat mengelakkan perkara buruk menimpanya. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
25 Sep 2014

Sunday, September 28, 2014

Budak maut jatuh bumbung

ORANG ramai melihat mayat mangsa.

Muar: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari bumbung berhampiran tangki air Kuarters Polis Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Nurul Elies Natasha Abdul Aziz meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat atas bangunan sembilan tingkat.

Mangsa yang tinggal di Blok F2 bersebelahan bangunan itu dikatakan pergi ke bangunan berkenaan bersama ibu untuk menghadiri majlis pertunangan penghuni di situ.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan keluar bermain bersama rakan-rakannya sebelum tergelincir.

Mangsa yang meninggal dunia selepas cedera parah di kepala dan badan dikebumikan di Jeli, Kelantan, pagi tadi.

myMetro
28 Sep 2014

Saturday, September 27, 2014

Al-Quran, kitab tidak hangus

Abd Malik Othman menunjukkan al-Quran yang terselamat dalam kebakaran di Batu 18 Pagoh.

MUAR - Lima naskah al-Quran dan beberapa kitab hanya mengalami kerosakan kecil meskipun sebuah rumah separuh kekal di Batu 18 Pagoh, berhadapan sebuah stesen minyak dekat sini, musnah dalam kejadian kebakaran, semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyaksikan kitab suci umat Islam itu hanya terbakar pada bahagian tepi dan ditemui di salah satu bilik dengan dikelilingi bara api.

Saksi kejadian, Mazlan Mohamad, 56, yang sibuk menebar roti canai di warungnya terletak di hadapan rumah terbabit mengakui terdengar jeritan kanak-kanak mengatakan kediamannya terbakar.

Dia kemudian segera memberhentikan kerja dan terus berlari ke rumah terbabit seterusnya mendapati kepulan asap tebal keluar dari salah sebuah bilik.

“Saya bersama beberapa penduduk kampung cuba memadamkan api, tetapi tekanan air terlalu rendah menyukarkan usaha tersebut sekaligus menyebabkan api semakin marak dan merebak ke bahagian lain.

“Saya nyaris terperangkap dalam kebakaran kerana api marak terlalu cepat selepas berjaya mengeluarkan tiga orang penghuni rumah itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mangsa, Faizan Mohd Zin, 24, berkata, hanya ibunya iaitu Katipah Masiron, 63, bersama dua adiknya yang berusia empat dan tujuh tahun berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Jelasnya, dia berada di tempat kerja di Tanjung Agas, Ledang, ketika kebakaran dan hanya mengetahui mengenai kejadian selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung sebelum bergegas pulang dan mendapati keseluruhan kediaman sudah terbakar.

“Saya segera mendapatkan emak untuk menenangkannya yang masih terkejut dengan kejadian itu malah bersyukur ibu serta dua adik selamat.

“Semua dokumen penting dan barangan berharga tidak dapat diselamatkan. Memang sedih apabila kediaman yang menjadi tempat bersama lapan adik beradik lain membesar sudah musnah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Kamaruddin Selamat berkata, seramai 14 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.08 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, struktur rumah sudah runtuh keseluruhannya dan bomba memadamkan sisa-sia kebakaran.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat jam 10.47 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Pagoh dan Pusat Khidmat Parlimen Pagoh menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran itu, semalam.

Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Senator Noriah Mahat berkata, ia adalah sumbangan awal daripada bahagian itu untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Selepas ini, masalah itu akan dirujuk kepada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengetahui bentuk bantuan sesuai yang boleh diberikan kepada mangsa terbabit.

“Kita juga akan membawa keluarga ini membeli pakaian dan kelengkapan lain berikutan tinggal sehelai sepinggang yang mana perbelanjaannya akan ditanggung Umno bahagian,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Zaid Abd Rahman dan Penghulu Mukim Pagoh, Ishak Khalil.

Sinar Harian
27 Sep 2014

Friday, September 26, 2014

Cincin bengkok, cengkam jari manis

Mohd Firdaus menunjukkan cincin dipotong anggota bomba.

MUAR – Seorang remaja terpaksa menanggung kesakitan berganda bukan hanya disebabkan cedera pada anggota badan, tetapi jari manis tangan kiri yang membengkak akibat cincin yang dipakai membengkok serta mencengkam jarinya selepas terbabit kemalangan di Batu 5 Bakri berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bakri, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Mohd Firdaus Abd Hamid, 24, bersama rakannya, Mohd Anuar Muniran, 26, menaiki motosikal dalam perjalanan ke sebuah kedai di Bakri untuk mengambil telefon bimbit.

Malangnya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan yang ingin membelok ke kiri di persimpangan sebuah perumahan berhampiran.

Mohd Anuar berkata, mereka terjatuh di atas jalan dan hanya mengalami luka-luka ringan melecet pada kulit kerana terseret pada permukaan jalan raya yang licin akibat hujan.

“Rakan saya (Mohd Firdaus) menahan kesakitan kerana cincin yang dipakai membengkok serta mencengkam jarinya.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu membantu dan kami segera mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bakri tetapi kemudiannya  dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk memotong cincin dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Muar,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Razali Ismail berkata, enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke HPSF selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.13 petang.

“Kita memotong cincin itu menggunakan alat khas dan terpaksa mengambil masa setengah jam kerana kerja tersebut dilakukan secara berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada jari mangsa,” katanya.

Sinar Harian
26 Sep 2014

Friday, September 19, 2014

Rumah kena bom api

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian, semalam.

MUAR - Tiga sekeluarga sempat menyelamatkan diri apabila rumah mereka menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab dengan membaling bom petrol di Jalan Bakri  Mulia 5, Taman Bakri Mulia di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan bahagian hadapan rumah terbakar selain turut memusnahkan sebuah motosikal dan basikal, manakala kereta jenis Proton Iswara milik mangsa rosak teruk  akibat disambar api.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali Tan, 50, berkata, kejadian tersebut disedarinya apabila dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dari bahagian luar rumah.

“Saya tidak sedap hati lalu memeriksa melalui tingkat dan melihat terdapat api  di bahagian luar rumah jiran.

“Keadaan menjadi kelam kabut apabila jiran-jiran yang menyedari kejadian itu turut membantu memadamkan kebakaran sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya yang juga jiran mangsa ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya lagi, pihak bomba yang tiba beberapa minit kemudian memadamkan sisa api bagi mengelakkan kebakaran berulang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Hanif Othman, mengesahkan kejadian yang  tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengesahkan punca sebenar kejadian kerana  siasatan terperinci masih dilakukan,  selain menunggu laporan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian itu berunsur khianat, namun siasatan awal tidak menemui sebarang pecahan kaca atau petrol yang boleh dikaitkan dengan unsur tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api,” katanya.

Sinar Harian
19 Sep 2014

Thursday, September 18, 2014

Kereta terbakar di stesen minyak

Keprihatinan orang awam membantu memadamkan api berjaya mengelakkan kenderaan ini terbakar keseluruhannya.

MUAR - Keprihatinan orang awam membantu memadamkan api berjaya menyelamatkan nyawa empat beranak apabila kereta dinaiki terbakar di sebuah stesen minyak di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Pagoh, di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengahari itu berlaku di Kilometer 154 Lebuh Raya Utara Selatan, dipercayai selepas pemandunya mengisi minyak di stesen minyak berkenaan sebelum  meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Norbiha Karim berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengahari.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran pada bahagian enjin kenderaan itu sudah dipadamkan oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu menggunakan alat pemadam api.

“Orang awam membantu membawa keluar semua barangan berharga milik pemandu dan keluarganya yang disimpan dalam bonet kenderaan itu.

“Pemandu dan keluarganya ditemui dalam keadaan panik turut ditenangkan orang awam,” katanya, di sini.

Norbiha berkata, bomba membuat pemeriksaan terhadap kenderaan itu bagi memastikan api sudah dipadam sepenuhnya bagi mengelakkan berlakunya sebarang letupan memandangkan kebakaran berlaku pada bahagian enjin.

“Mujur pemandu bertindak pantas memberhentikan kenderaan sebaik sahaja bahagian enjin mengeluarkan asap dan juga disusuli api sebelum dibantu orang awam memadamkan api kebakaran.

“Nilai kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
18 Sep 2014

Wednesday, September 17, 2014

Jari bengkak hingga nampak tulang

Keadaan jari kelingking yang membengkak dan cedera.

MUAR - Seorang lelaki kurang siuman menanggung kesakitan selama tiga minggu apabila besi berbentuk cincin yang disarung pada jari kelingkingnya tidak dapat dikeluarkan menyebabkan jari berkenaan membengkak dan cedera.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Muar memotong besi itu menggunakan peralatan khas berjaya menyelamatkan lelaki terbabit dalam kejadian jam 3 petang kelmarin.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.10 petang dari Pusat Kesihatan Pagoh yang memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dibawa ke pusat kesihatan berkenaan oleh rakannya setelah mendapati jari kelingking kanan tangan lelaki itu membengkak dan cedera sehingga menampakkan tulang jarinya.

“Empat anggota terlibat mengambil masa hampir dua jam sebelum berjaya memotong besi itu. Kita agak berhati-hati melakukan operasi ini untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Jari itu bengkak sejak tiga minggu lalu dan kecederaan tersebut disebabkan cubaan lelaki terbabit untuk mengeluarkan besi, tetapi tidak berjaya,” katanya, semalam.

Razali berkata, lelaki terbabit turut diberikan ubat pelali bagi mengelakkannya berasa sakit ketika operasi dilakukan.

Katanya, keadaan orang kurang siuman itu stabil dan diberikan rawatan lanjut di pusat kesihatan berkenaan bagi mengelakkan kecederaan dialaminya bertambah serius.

“Mujur lelaki berkenaan dibawa segera ke pusat kesihatan, sebaliknya jika dibiarkan boleh mengancam nyawanya,” katanya.

Sinar Harian
17 Sep 2014

Friday, September 5, 2014

Bakal pengantin buntu cari bapa

Nurul Farahin Mohamad

MUAR - Seorang bakal pengantin bimbang majlis pernikahannya tertangguh berikutan ketiadaan bapa kandung sebagai wali.

Nurul Farahin Mohamad, 20, berkata, dia dan bakal suami, Mohd Hassan Jetgeri,21, dijadual bernikah pada 27 September ini di rumahnya di Taman Pagoh Jaya.

Menurutnya, bapanya, Mohamad Senol, 54, menghilangkan diri ketika dia berusia tujuh bulan dan sehingga kini gagal dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukan.

“Abang sulung, Nurizwan,33, tidak pernah berhenti mencari bapanya yang difahamkan berada di Johor Bahru.

“Saya bersama adik-beradik pernah ke kampung asal ayah di Taiping, Perak menemui keluarganya untuk mendapatkan  maklumat terkini di mana ayah berada,” katanya, semalam.

Katanya, dia juga ada menghubungi nombor telefon terkini bapanya yang diberikan keluarganya itu, tetapi panggilannya tidak pernah dijawab dan tindakan tersebut menambahkan lagi kebuntuannya.

Dia yang bekerja di sebuah butik pakaian di Petaling Jaya, Selangor berkata, bapanya tidak pulang ke rumah sehingga kini selepas pergi ke Johor Bahru untuk mencari kerja 19 tahun lalu.

“Saya menggunakan surat khabar untuk mencari bapa bagi membolehkan guna khidmat wali hakim untuk pernikahan ini jika  bapa masih tidak ditemui dalam tempoh terdekat.

“Kakak saya yang sebelum ini berkahwin pada 2011 juga pernah mencari bapa dalam surat khabar dan wali hakim,” katanya.

“Orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana bapanya berada diminta menghubunginya di talian 012-3379981 atau ibunya, 017-6018308,” katanya.

Sinar Harian
5 Sep 2014

Sunday, August 31, 2014

'Pulanglah Nurhidayah...ibu rindu'

Siti Rudzah menunjukkan gambar anaknya Siti Nurhidayah yang keluar meninggalkan rumah sejak 10 Ogos lalu.

MUAR – Seorang ibu runsing memikirkan keselamatan anak gadisnya, dilaporkan menghilangkan diri dari rumahnya di Kolej Jururawat Segamat sejak 10 Ogos lalu.

Siti Rudzah Arsad, 58, berkata, dia mengesyaki anaknya Siti Nurhidayah Ibrahim, 23, meninggalkan rumah mengikut rakan baharu yang dikenalinya di laman sosial beberapa bulan lalu.

“Jiran memaklumkan anak tunggal saya keluar menaiki sebuah kereta Proton hijau yang menunggu di kawasan berhampiran pada hari kejadian.

“Saya menyedari kehilangan Siti Nurhidayah pada jam 5 petang (10 Ogos) selepas pulang dari tempat kerja apabila mendapati baju dan dokumen penting anak sudah tiada di rumah,” katanya ketika ditemui di bandar ini, semalam.

Katanya, sebelum ini berlaku sedikit pertengkaran antara mereka kerana Siti Nurhidayah tidak berpuas hati apabila dia membatalkan talian kedua telefon anaknya itu.

“Saya berbuat demikian (batal talian kedua) apabila mendapati bil telefon anak meningkat mendadak lalu mendorong saya membuat semakan di syarikat telekomunikasi.

“Tindakan saya untuk keselamatannya kerana talian itu digunakan anak menghubungi rakan baharunya,” katanya.

Menurutnya, dia membelikan anaknya telefon pintar dan talian internet kerana simpati dengan Siti Nurhidayah yang mendakwa kebosanan duduk di rumah selepas berhenti bekerja di sebuah restoran makanan segera.

“Siti Nurhidayah tidak berapa sihat dan bakal menjalani pembedahan di bahagian lutut tidak lama lagi.

“Doktor memberitahu lutut kanannya (Siti Nurhidayah) perlu dibedah secepat mungkin dan dinasihatkan supaya berehat serta menurunkan berat badan,” katanya.=

Siti Rudzah berkata, sejak kehilangan anaknya itu kehidupannya menjadi tidak menentu selain hilang selera makan.

“Siang malam asyik memikirkan keselamatan anak, saya dan suami sudah banyak kali menghubungi telefon bimbit Siti Norhidayah tetapi gagal.

“Orang ramai yang melihat atau tahu di mana Siti Nurhidayah berada supaya menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi sepupu, Faizah Sheikh Maiden,40, di talian 017-824 4049Call: 017-824 4049Call: 017-824 4049,”katanya.

Sinar Harian
30 Ogos 2014

Monday, August 25, 2014

Lelaki ditahan dengan senapang

Muar: Seorang lelaki ditahan bersama selaras senapang buatan sendiri di sebuah pondok di Kamping Tengah Sungai Abon, Muar pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, lelaki itu ditahan dalam satu serbuan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai seorang lelaki mencurigakan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 27 tahun itu menjadikan pondok berkenaan sebagai tempat tinggalnya.

"Polis turut temui dua kelongsong peluru berukuran 40mm, 14 kelongsong peluru 7.62mm dan 14 kelongsong peluru 5.56mm," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Menurut Azman, pihaknya turut menemui alat GPS, empat telefon bimbit, iPad dan tujuh jam tangan.

Katanya, lelaki berkenaan juga didapati positif dadah.

myMetro
18 Ogos 2014

Mengemis sejak belasan tahun

MUAR - Masjid menjadi lokasi seorang gelandangan untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan wang untuk membeli makanan.

Perkara itu diluahkan seorang gelandangan yang ditemui mengemis di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.

Dia dilihat duduk di salah satu ruang berdekatan tempat mengambil wuduk di masjid berkenaan bersama beg dan kad Jabatan Kebajikan Masyarakat miliknya.

Dikenali sebagai Rahim, 53, dia mendakwa sedang bercuti selama sebulan dari salah sebuah institusi yang menghimpunkan pengemis sepertinya yang terletak di Pusat Desa Bina Diri, Mersing.

Dia yang berasal dari Parit Setongkat, Jalan Salleh, di sini tidak mempunyai keluarga memaksanya bermalam di surau Parit Setongkat.

“Setiap hari, saya berjalan sejauh tiga kilometer dari Surau Parit Setongkat ke masjid ini semata-mata untuk mendapatkan wang bermula sekitar jam 1 petang hingga 5 petang.

“Saya tiada pilihan dan terpaksa buat kerja ini (mengemis) untuk beli makanan.

"Saya juga menghidap penyakit asma membuatkan tidak berupaya untuk bekerja,” katanya  kepada Sinar Harian,  semalam.

Rahim berkata, purata pendapatannya mengemis adalah RM30 sehari dan digunakan bagi membeli keperluan harian.

Katanya, dia menjadi pengemis ketika berusia belasan tahun disebabkan kehilangan tempat bergantung selepas nenek yang memeliharanya sejak kecil meninggal dunia.

“Saya kehilangan arah selain tidak mempunyai ahli keluarga yang lain. Saya menjadi pengemis untuk meneruskan kehidupan.

“Saya berhijrah banyak negeri antaranya Melaka menjadi gelandangan.

"Saya sedar masyarakat memandang hina golongan ini (gelandangan) cuma yang dapat diperkatakan, saya tiada pilihan lain,” katanya.

Dia berkata, mungkin ramai beranggapan kehidupan dilaluinya mudah kerana memperoleh wang secara mudah atas ihsan masyarakat.

“Bagaimanapun, saya juga tidak terlepas menjadi mangsa penjenayah. Saya pernah dirompak RM700 semasa bermalam di Surau Parit Setongkat," katanya.

Sinar Harian
9 Ogos 2014

‘Pergi’ menjelang hari bahagia


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat Amirah selepas keretanya terlibat kemalangan di Kilometer 148, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Muar, Johor semalam.

Muar: Luluh hati seorang bapa apabila melihat anak perempuannya yang bakal melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini terbujur kaku ditutup dengan kain di lokasi kemalangan di Kilometer 148 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Amirah Abd Rahim, 25, yang juga jururawat maut di tempat kejadian apabila Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang kiri lebuh raya itu.

Rempuhan di sebelah kiri kereta menyebabkan mangsa parah di badan serta kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapanya, Abd Rahim Sobri, 48, berkata, dia hanya mengetahui anaknya sudah meninggal dunia apabila tiba di lokasi selepas dimaklumkan Amirah terbabit dalam kemalangan dan terkejut apabila melihat satu jasad terbujur kaku di lokasi yang ditutup dengan kain.

Katanya, lebih menyedihkan apabila mengenangkan arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu tidak sempat melangsungkan perkahwinan yang dijadualkan Sabtu ini ini.

““Beberapa minit sebelum itu, saya dihubungi anggota bomba dan mereka hanya memaklumkan Amirah terbabit dalam kemalangan.

“Saya ingat dia hanya cedera, malangnya kemalangan itu meragut nyawanya,” katanya.

Abd Rahim berkata, arwah yang bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang sudah melakukan pelbagai persiapan untuk majlis perkahwinannya.

“Arwah pulang ke rumah saya di Rengit, Batu Pahat, Khamis lalu untuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan dengan tunangnya yang berasal dari Segamat.

“Ketika dia keluar rumah jam 6 pagi tadi (semalam), dia sempat bersalam dan cium tangan saya sebelum bergerak ke tempat kerjanya. Benda sudah berlaku dan saya reda,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambi, Rengit, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan bahagian kiri lebuh raya itu.

“Rempuhan kuat menyebabkan bahagian kiri kereta remuk teruk dan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mangsa ingin ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Bukit Gambir dari rumahnya di Rengit, Batu Pahat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Razali Ismail berkata, seramai enam anggota membabitkan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 pagi.

myMetro dan Kosmo
25 Ogos 2014


Bakal pengantin maut kemalangan

Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

MUAR - Hasrat seorang jururawat melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di kilometer 148 arah utara Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, Amirah Abd Rahim, 25, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Mangsa bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang dijadualkan akan mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos ini, bersama tunangnya yang berasal dari Segamat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan seterusnya melanggar pembahagi jalan di bahagian kiri lebuh raya.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian kiri kereta terbabit remuk teruk dan mangsa meninggal dunia.

“Mangsa yang dalam perjalanan pulang dari rumah ibu bapanya di Rengit, Batu Pahat ke tempat kerjanya di klinik tersebut,” katanya.

Azman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak, dekat sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 7.20 pagi.

“Semasa tiba di tempat kejadian, mangsa sudah meninggal dunia dan  pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abd Rahim Sobri, 48, sedih kerana anaknya meninggal dunia ketika menghampiri majlis perkahwinannya.

“Saya tidak tahu anak sudah meninggal kerana hanya dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa arwah terbabit kemalangan.

“Saya tahu (anak meninggal dunia) apabila tiba di lokasi kejadian melihat satu jasad terbujur kaku ditutup dengan kain,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu turut mengakui terkejut melihat anak sulungnya berada dalam keadaan tidak bernyawa kerana mereka bersalaman sebelum Amirah bertolak pulang ke tempat kerjanya, kira-kira jam 6 pagi.

“Petang Khamis selepas waktu kerja arwah pulang ke kampung menguruskan persiapan majlis perkahwinannya yang hampir siap.

“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambi, Rengit selepas solat Asar,” katanya.

Sinar Harian
25 Ogos 2014

Minum Cina, makan Melayu

PETER (kanan) bersama Isahak (kiri) melayan Batumalai.

Muar: Semangat muhibah dan tolak ansur yang diamalkan penduduk negara ini sejak sebelum merdeka menjadi pendorong kepada dua peniaga berlainan bangsa dan kepercayaan untuk berkongsi mencari rezeki di sebuah kopitiam di Jalan Petrie di sini, sejak 14 tahun lalu.

Malah, bagi peniaga minuman, Peter Yuo, 68, konsep berkongsi perniagaan itu diwarisi mendiang bapanya yang membuka kedai minuman, namun makanan disediakan rakannya yang berketurunan Melayu.

“Sebagai rakyat Malaysia yang sudah lama tinggal bersama masyarakat Melayu dan India, keluarga kami tidak berdepan masalah berkongsi kedai ini dengan rakan berlainan bangsa.

“Malah, ia menambah rezeki kerana mempunyai pelanggan terdiri pelbagai bangsa.

“Sejak lebih 60 tahun lalu, bapa berniaga di bandar ini dan apabila mengambil alih perniagaan ini 40 tahun lalu, saya meneruskan usaha itu bersama rakan niaga Melayu yang menyewa tapak untuk menjual makanan,” katanya yang tinggal di Sungai Abong.

Peter yang dikenali sebagai Ah Yong berkata, sebelum ini seorang peniaga nasi ayam menyewa kedai sebelum bertukar kepada peniaga nasi beriani selama 30 tahun.

Katanya, sejak 14 tahun lalu, dia bekerjasama dengan penjual makanan nasi campur hingga sekarang.

“Kami saling menghormati dan tidak pertikaikan agama, budaya dan perkara sensitif membabitkan kaum kerana kita tentunya tidak suka kepentingan masing-masing diganggu,” katanya.

Menurut Peter, dia tiada masalah berniaga dengan peniaga Melayu dan kini bekerjasama dengan Isahak Samad, 64, berjaya memajukan perniagaan apabila menarik ramai pelanggan.

“Malah, saya hanya makan makanan yang dimasak isterinya, Faizah Yusof (56) kerana menepati selera,” katanya.

Menurutnya, kebelakangan ini wujud pihak yang cuba mencetuskan kebencian antara kaum di alam maya apabila ada yang mula mempertikaikan keistimewaan satu-satu pihak dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, kebencian dan sikap mula mempertikaikan hak sesuatu kaum itu dibawa ahli politik yang menanam sifat membenci hingga menggugat keharmonian penduduk negara ini.

Menurutnya, tidak sepatutnya masyarakat terpengaruh kerana ia hanya modal politik untuk meraih sokongan, sedangkan hakikat sebenar ialah semua rakyat di negara ini memerlukan antara satu sama lain.

Sementara itu, Isahak berkata, dia membantu isterinya membuka kedai makan sejak 14 tahun lalu selepas diberitahu ada ruang berikutan peniaga nasi beriani berpindah ke kedai lain.

“Saya memandu teksi hampir 30 tahun dan apabila isteri beritahu ada kedai kosong, kami berpendapat sudah tiba masanya membuka kedai makan.

“Sejak 14 tahun lalu, saya membantu perniagaan isteri dan Alhamdulillah ia diterima masyarakat setempat. Malah, sudah menjadi kebiasaan di bandar ini melihat peniaga Melayu menjual makanan dan peniaga Cina menjual minuman seperti peniaga mi bandung dan sate,” katanya yang tinggal di Bakri di sini.

Isahak yang membuka kedai dari Ahad hingga Khamis berkata, dia berjiran dengan masyarakat Cina sejak 70 tahun lalu dan tidak pernah berselisih faham dengan mereka.

Katanya, semua masalah boleh diselesaikan dengan baik dan tiada sebab mereka mahu merosakkan keharmonian yang terjalin selama ini.

Menurutnya, generasi muda perlu menilai erti sebenar kemerdekaan dan jangan terlalu mudah mempercayai apa yang disiarkan di internet atau media sosial kerana kebanyakannya berunsur fitnah.

Seorang pelanggan, A Batumalai, 43, berkata tiada masalah makan masakan Faizah dan minuman disediakan Ah Yong sejak lapan tahun lalu.

Katanya, selain masakan terutama asam pedas yang enak, ramai pelanggan datang ke kedai itu kerana kopi disediakan Ah Yong istimewa.

myMetro
25 Ogos 2014

Wednesday, August 20, 2014

Kebajikan PVATM terbela selepas dapat geran

MUAR - Kebajikan anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) lebih terbela selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju memperuntukkan dana sejumlah RM1.5 juta dalam bentuk geran kepada persatuan itu.

Pengerusi PVATM Laksamana (B), Tan Sri Anwar Mohd Nor berkata, Najib bersetuju memberi peruntukan tersebut selepas mendengar isu dan masalah yang dihadapi veteran ATM dalam satu pertemuan Julai lalu.

"Antara masalah veteran ATM ialah tidak memiliki rumah sendiri kerana tidak mampu," katanya ketika berucap pada Sambutan Aidilfitri PVATM dan Perasmian Bangunan Baharu PVATM Cawangan Muar di sini hari ini.

Perasmian bangunan itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu Anwar berkata, PVATM turut meminta agar bantuan kos sara hidup yang diberikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan pencen kepada veteran ATM yang mengalami kecacatan atau hilang upaya kekal berjumlah RM150 sebulan, dinaikkan.

Beliau berkata, luahan persatuan mengenai bantuan pendidikan anak veteran ATM untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga didengari perdana menteri. - Bernama

17 Ogos 2014

Penderitaan rakyat Palestin terus dapat perhatian

Kelab Putera 1Malaysia sebelum memulakan program program ‘Trail 4 Gaza’.

MUAR – Penderitaan penduduk Palestin yang diserang rejim Zionis sejak awal Julai lalu terus mendapat perhatian penduduk negara ini melalui pemberian pelbagai bantuan sebagai simbol keprihatinan.

Terkini, Kelab Peminat Motorcross Pagoh tampil menyumbang RM2,020 menerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dalam satu majlis ringkas di Pagoh dekat sini, kelmarin.

Pengerusinya, A Rahim Othman berkata, sumbangan itu hasil kutipan selama empat hari daripada lebih 200 ahli kelab tersebut yang terpanggil menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk Gaza.

“Walaupun jumlahnya kutipan tidak banyak, kami gembira kerana dapat membantu meringankan beban ditanggung mereka.

“Kita amat terkesan melihat penderitaan mereka yang diperlakukan kejam tanpa perikemanusiaan oleh Zionis melalui media massa dan elektronik,” katanya.

Menurutnya, kelab itu juga akan mengadakan program ‘Trail 4 Gaza’ iaitu aktiviti menunggang motosikal dari Pagoh ke Maokil sebagai simbolik sokongan terhadap perjuangan rakyat di Gaza yang melibatkan kira-kira 50 ahli kelab.

“Kita mungkin akan mengadakan kutipan sekali lagi apabila usaha ini mendapat sambutan baik daripada ahli dan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Exco KP1M, Arif Faiz Zainudin berkata, walaupun KP1M mempunyai peruntukan sendiri untuk tujuan bantuan kemanusiaan di Gaza, pihaknya tidak keberatan untuk menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sinar Harian
19 Ogos 2014

Atuk temui ajal selepas sarapan

Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Muar menyiasat insiden yang menimpa Wah Peng

MUAR – Seorang warga emas lelaki maut selepas basikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Salleh, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Heng Wah Peng,83, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar minum pagi bersama rakan-rakan di sebuah warung di Jalan Salleh sebelum singgah sebuah kedai runcit membeli barangan dapur.

Malangnya, semasa membelok ke kanan memasuki Lorong Haji Hassan Nindung ke rumahnya di Taman Mas Jaya, basikal mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dari arah yang sama menghala ke Bukit Pasir.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.  Pemandu dan dua penumpang kereta terbabit yang berusia antara 20 hingga 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, menjadi kebiasaan setiap pagi mangsa menaiki basikal ke warung membeli sarapan pagi dan barangan dapur.

“Kira-kira jam 8 pagi tadi, saya sempat menegur Wah Peng dan memintanya agar tidak keluar kerana cuaca mendung dan kelihatan mahu hujan.

“Tetapi mangsa mengatakan tidak mengapa dan terus berlalu menunggang basikal. Dua jam kemudian, saya dikejutkan dengan berita insiden yang menimpanya,” katanya yang tidak menyangka pertemuan terakhir dengan jirannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisoner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
20 Ogos 2014

‘Akhirnya dia pulang’

Pagoh: “Alhamdulillah, akhirnya jenazah anak saya akan dibawa pulang ke rumah ini. Sekurang-kurangnya kami sekeluarga dapat melawat kuburnya,” kata Md Salim Sarmun, 65, bapa Mohd Ali, 30, penuntut Malaysia di Belanda yang meninggal dunia selepas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dinaikinya ditembak jatuh di Ukraine 12 Julai lalu.

Md Salim berkata, berita pengesahan jenazah akan dibawa pulang amat melegakannya dan walaupun sedih, dia sekeluarga bersyukur.

Mohd Ali adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

Menurut Md Salim, sejak kejadian itu mereka sekeluarga hidup tidak tenteram apatah lagi pelbagai teori timbul mengenai mangsa MH17.

Katanya, antara berita yang memberi kesan ialah teori ada mangsa yang tenggelam dalam tasik dan memerlukan pihak bertanggungjawab menyelam untuk mencari mayat.

myMetro
14 Ogos 2014

Friday, August 8, 2014

Pasangan sehidup semati

MUAR – Sepasang suami isteri maut selepas treler yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Kilometer 145 Lebuh Raya Utara  Selatan arah utara, semalam.

Kejadian jam 1.30 pagi itu berlaku  berhampiran  kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) Pagoh selepas treler berkenaan melanggar sebuah lori tangki menyebabkan pemandunya, Lokman Nulhakim Yatin, 27, dan isterinya, Nurizma Seliman, 26, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah bas dari Singapura melanggar  pembahagi jalan sebelum memberhentikan kenderaan di bahagian kanan lebuh raya.

Menurutnya, bas yang  membawa 27 penumpang termasuk penumpang dari Bangladesh dan Malaysia itu dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur.

“Sebuah lori tiga tan dan sebuah lori tangki yang berada di laluan sama kemudiannya memperlahankan kenderaan.

“Malangnya, treler yang dinaiki mangsa yang sarat membawa muatan siling rumah itu gagal mengelak lalu merempuh belakang lori tangki itu,” katanya.

Katanya, rempuhan kuat menyebabkan bahagian hadapan treler berkenaan remuk teruk dan mangsa serta isterinya tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Mangsa berasal dari Felda  Tunggal, Kota Tinggi dan isterinya dari Felda Sening, Kota Tinggi, dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) ,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Shafie Hashim berkata, lapan anggota bomba bersama  sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.37 pagi.

Katanya, semasa tiba, hanya ada dua kenderaan di lokasi kejadian iaitu lori tangki dan treler mangsa.  Kedua-dua mangsa masih berada dalam treler tersebut.

“Mangsa lelaki didapati meninggal dunia, manakala wanita terbabit masih bernyawa, tetapi lemah akibat tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya.

Katanya, wanita terbabit menghembuskan nafas  45 minit selepas dibawa keluar daripada treler berkenaan.

Sinar Harian
8 Ogos 2014

Friday, July 25, 2014

Kontraktor maut ketika memandu

Keadaan kereta Azrin yang terbabas dan masuk ke dalam parit selepas dia terkena serangan jantung ketika memandu.

MUAR - Seorang kontraktor maut selepas kenderaan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya hilang kawalan memasuki parit di Taman Jeram Indah, Bakri akibat serangan jantung, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 6 pagi itu, Azrin Aziz, 43, sempat menghubungi isterinya mengadu sesak nafas selepas sahur.

Seorang sepupu yang enggan dikenali berkata, Azrin dari Johor Bahru menuju ke rumahnya di Bakri, secara tiba-tiba diserang sakit jantung menyebabkan kereta SUV dipandunya terbabas masuk dalam parit.

“Kereta mangsa dilihat perlahan-lahan masuk ke parit sebelah kiri jalan dalam keadaan mengiring dan hampir terbalik.

“Orang awam melihatnya terkulai di tempat pemandu dan keretanya perlahan-lahan masuk dalam parit yang berair,” katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa dibawa keluar daripada kenderaan oleh pihak bomba dan kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
23 Jul 2014

Lelaki doakan keajaiban

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bakir, Dr Rahayu Othman memeriksa Ahmad Rosli di rumahnya di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Bakri, semalam.

MUAR - Seorang bekas pemandu treler mengharapkan keajaiban malam Lailatul Qadar setiap Ramadan untuk kembali pulih selepas 13 tahun terlantar akibat kemalangan.

Mangsa, Ahmad Rosli Mohd Amran, 42, berkata, dia tidak pernah jemu terus berdoa bagi menikmati peluang kedua itu walaupun sedar peluangnya amat tipis.

Menceritakan kejadian malang yang mengubah seluruh kehidupannya itu, Ahmad Rosli berkata, dia sekadar mengingati terlelap semasa memandu treler yang ketika itu dalam perjalanan dari Skudai ke Batu Pahat untuk menghantar barang.

“Apabila sedar, saya sudah di Hospital Melaka dengan keseluruhan anggota tiada rasa kecuali muka.

“Saya langsung tidak tahu bagaimana kemalangan itu boleh berlaku yang akibatnya saya keretakan tulang belakang dan urat saraf putus membuatkan lumpuh seumur hidup,” katanya di rumahnya di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Bakri di sini, semalam.

Menurutnya, pada mulanya dia amat kecewa dan tidak dapat menerima hakikat dirinya lumpuh tetapi akhirnya memperoleh kekuatan melenyapkan perasaan itu.

Ahmad Rosli berkata, dia diuruskan sepenuhnya oleh bapanya yang kini sudah berusia 78 tahun dan ini membuatkan dia risau kerana pada usianya (bapa) yang lanjut tetapi terpaksa menyusahkan  insan itu.

“Selain bapa, saya juga menumpang ihsan seorang abang kerana ibu sudah lama meninggal dunia,” katanya.

Dia yang belum mendirikan rumah tangga berkata, dia kini bergantung dengan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,100 sebulan, digunakan untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang.

Katanya, dia amat terharu apabila masyarakat dan pemimpin setempat begitu prihatin dengan keadaan dirinya yang membantu menghulurkan banyak  bantuan.

“Dengan pertolongan  mereka membolehkan saya menerima katil khas daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) dan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Keprihatinan ini telah banyak membantu saya menghilangkan perasaan sedih, kecewa dan hanya ALLAH tempat saya mengadu,” katanya.

Sinar Harian
22 Jul 2014

Ibu parah dipukul anak

MUAR - Seorang anak tergamak memukul ibunya menggunakan kayu akibat gagal mengawal perasaan marah hanya kerana tidak diberikan wang untuk membeli dadah di rumah mereka di Jalan Ibrahim di sini, kelmarin.

Kejadian jam 9.58 malam itu menyebabkan warga emas berusia 73 tahun itu patah pergelangan tangan, cedera di jari dan bahagian mata.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian bermula dengan pertengkaran selepas ibunya enggan memberikan sejumlah wang diminta lelaki berusia 36 tahun itu.

Menurutnya, ini membuatkan suspek naik berang lalu memukul ibunya sebelum disedari jiran yang kemudiannya menghubungi polis.

“Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian menahan dan merampas kayu yang dipercayai digunakan memukul ibunyat,” katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 306 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah.

“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan saksi kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Muar, Deputi Superintendan Azahar Muda, di talian 06-9564805 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian
22 Jul 2014

Thursday, July 10, 2014

Parang perompak makan tuan, parah ditetak

MUAR 9 Julai - Seorang penyamun bukan saja berputih mata tidak sempat merompak. Malah parang yang dibawanya berjaya dirampas oleh mangsa lalu menetak penjenayah itu. Suspek juga dipukul dengan kayu beberapa kali sehingga parah.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi di Tanjung Selabu, Sungai Raya, Bukit Pasir di sini hari ini, suspek yang berusia 58 tahun mengetuk pintu rumah dan sejurus pintu dibuka dia terus menetak kepala mangsa, Lau Teng Siew, 43.

"Sebaik saya membuka pintu kayu tersebut, tiba-tiba saya terasa sakit di kepala dan darah mula meleleh dari dahi hingga menutup penglihatan saya.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus mencapai kerusi kayu dan memukul lelaki di depan saya sehingga kerusi itu patah dan saya ulangi lagi sehingga tiga kali sebelum nekad mencapai parang dipegangnya dan menetak lelaki itu," kata Teng Siew ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Menurut Teng Siew lagi, walaupun tidak dapat melihat dengan jelas dia dapat memukul suspek bertubi-tubi dengan tepat sehingga parang penjenayah itu terlepas dan kesempatan tersebut diambilnya untuk merampas senjata tajam itu.

Katanya, dia kemudian menetak lelaki berkenaan dan cuba menarik topeng yang dipakainya selepas suspek terjatuh di lantai dan berada dalam keadaan lemah.

"Apabila saya menarik topeng dia cakap 'berhenti' dalam bahasa Tionghua. Saya terkejut mendengar percakapannya dan yakin dia warga tempatan," katanya.

Teng Siew memberitahu, jirannya segera menghubungi polis sebelum mereka dibawa ke HPSF untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan suspek patah tulang rusuk kanan, cedera parah di kepala akibat ditetak dan cedera di kedua-dua tangannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu suspek ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Utusan Malaysia difahamkan, suspek merupakan penduduk tempatan selain mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk dua kes samun serta dipercayai seorang penagih dadah.

Utusan
10 Jul 2014

Tuesday, July 1, 2014

Sampan karam, dua nelayan lemas

Mayat Saiful dibawa ke rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat selepas ditemui terapung di Pulau Hanyut, Melaka, baru-baru ini.

Kenal pasti punca karam

MUAR – Sampan yang digunakan dua nelayan yang karam ketika menangkap ikan di perairan Selat Melaka, Selasa lalu, akan cuba dibawa naik ke permukaan laut.

Ketua Pengkalan Sabak Awor, Kamal Omar berkata, tindakan itu bertujuan melihat kerosakan boleh dikaitkan sebagai punca tragedi menimpa nelayan terbabit.

Menurutnya, sampan itu dijumpai tenggelam di dasar laut di kawasan berkenaan dan usaha membawa naik sebelum ini gagal.

“Kita akan mendapatkan bantuan nelayan Merlimau, Melaka kerana memandangkan pangkalan mereka berdekatan tempat kejadian.

“Kita masih tidak mengetahui punca sebenar kejadian sama ada benar sampan dinaiki mereka (dua nelayan) dipukul ombak atau sebaliknya,” katanya kelmarin.

Kamal berkata, dia yang bertanggungjawab menguruskan sampan dinaiki kedua-dua nelayan itu merupakan individu terakhir bertemu Saiful Bahari Salam, 49, di pangkalan Sabak Awor sebelum bertolak ke laut kira-kira jam 6 petang, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa kemudiannya mengambil rakannya, Ah Peng iaitu mangsa kedua di Pengkalan Bandar.

Katanya, dalam pertemuan hampir 30 minit itu, Saiful tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.

“Saiful merupakan pekerja saya dan arwah mempunyai kemahiran yang baik mengendalikan jaring labuh untuk menangkap ikan bawal.

“Sejak dia bekerja dengan saya tiga bulan lalu, jualan ikan bawal saya meningkat kerana arwah sering membawa pulang hasil tangkapan yang agak banyak,” katanya.

Kamal berkata, sebagai majikan dia dan 25 nelayan lain di pangkalan berkenaan terkesan dengan tragedi itu.

“Saya sedih atas pemergiannya. Walau arwah seorang pendiam, hubungan kami rapat sejak mengenalinya ketika zaman sekolah,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kehilangan dua nelayan ketika menangkap ikan di perairan Selat Melaka, Selasa lalu.

Sinar Harian
1 Jul 2014

Saturday, June 28, 2014

OKU terselamat dalam kebakaran

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Sungai Abong, semalam.

MUAR – Tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Muar berjaya menyelamatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) daripada menjadi mangsa kebakaran sebuah rumah di Sungai Abong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, lelaki OKU berusia 30an yang pekak dan bisu berusia 30an itu dipercayai tidur dalam bilik yang dikunci dari dalam di tingkat atas rumah berkenaan sebelum diselamatkan anggota bomba.

Bapa mangsa hanya mahu dikenali sebagai Lim, 65, berkata, dia tersedar daripada tidur selepas terhidu bau hangit kuat seperti kain terbakar.

Menurutnya, dia segera keluar bilik untuk mengesan bau tersebut dan terkejut mendapati asap keluar melalui satu daripada empat bilik di rumah berkenaan.

“Saya cuba bawa anak (OKU) keluar tetapi pintu bilik dikunci dari dalam.  Pelbagai cara dilakukan termasuk mengetuk pintu dengan kuat supaya anak sedar kehadiran saya tetapi itu tidak membantu kerana dia tidak dengar apa-apa.

“Keadaan terlalu panik dan kelam kabut membuatkan saya buntu cari kunci kedua bilik itu. Pada masa yang sama, saya mahu selamatkan isteri dan empat anak yang lain,” katanya.

Katanya, pasukan bomba yang tiba awal membantu menyelamatkan anaknya yang sedang menyorok di satu sudut dalam bilik ketakutan melalui tingkap.

Sementara itu, Pegawai Operasi balai berkenaan, Ismail Mahmod berkata, dua jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.35 pagi.

“Semasa tiba keadaan api sedang marak dengan 60 peratus rumah sudah terbakar dan siling tiga bilik sudah runtuh

“Kita segera pasang tangga untuk menyelamatkan OKU yang terperangkap dalam bilik di tingkat atas rumah berkenaan,” katanya.

Katanya, lelaki itu berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan

“Kita tidak mengalami sebarang masalah sepanjang operasi pemadaman kerana mendapat bekalan air mencukupi daripada pili bomba berdekatana.

“Operasi tamat jam 6.20 pagi  bagaimanapun jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
28 Jun 2014

Wednesday, June 25, 2014

Rumah tak berpenghuni musnah

Keadaan rumah Tai San yang musnah terbakar, semalam

MUAR – Sebuah rumah tidak berpenghuni musnah dalam satu kebakaran di Jalan Salleh, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku jam 1.50 pagi telah mengejutkan pemilik rumah berkenaan yang kini menetap di Johor Bahru apabila menerima panggilan telefon daripada jiran berdekatan rumah berkenaan.

Tay Tai San,54, berkata, dia hairan apabila kejadian itu berlaku memandangkan bekalan elektrik di rumah terbabit sudah dipotong pada 2003.

“Saya terima panggilan jam 5 pagi dan segera pulang ke Muar untuk melihat sendiri rumah pusaka milik keluarga terbakar.

“Sejak rumah ini kosong, saya sewakan kepada rakan yang menjalankan perniagaan menjual roti dan difahamkan menjadi stor simpan barang,” katanya.

Katanya, dia tidak mengesyaki perbuatan sesiapa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ishak Kassim berkata, dua jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 1.55 pagi.

Katanya, pihaknya tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dan mendapati rumah berkenaan sudah terbakar keseluruhannya tetapi keadaan api masih marak.

“Kerja-kerja memadamkan api sedikit sukar kerana tekanan air pada pili bomba di kawasan itu rendah.

"Keadaan itu menyebabkan pasukan bomba terpaksa berulang alik ke kawasan yang agak jauh untuk  mengisi semula air apabila air pada jentera habis.

“Operasi tamat jam 4.30 pagi, bagaimanapun punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
25 Jun 2014

Friday, June 20, 2014

Guru patah tangan, murid patah kaki

BAS dipercayai gagal memotong treler sebelum merempuh belakang kenderaan itu.

Muar: Seorang guru patah tangan manakala muridnya patah kaki kanan apabila bas rombongan dinaiki mereka dari Kuala Lumpur hala selatan merempuh sebuah treler di Kilometer 48.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pada 1.15 pagi tadi.

Pemandu bas berkenaan pula patah kaki kiri.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu bas gagal memintas treler dan menyebabkannya merempuh belakang kenderaan berkenaan.

Bas itu dalam perjalanan pulang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Batu Pahat dan membawa semua penumpang perempuan manakala sebuah lagi bas rombongan yang berada di belakang membawa guru dan murid lelaki.

Semua penumpang yang tidak cedera dipindahkan ke bas kedua manakala semua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

myMetro
20 Jun 2014

Karnival sempena KMJ 2014 hari ini

Beberapa petugas membuat persiapan sempena Karnival Kembara Mahkota Johor 2014 di Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.

MUAR 19 Jun - Majlis Perbandaran Muar (MPM) menganjurkan Karnival Kembara Mahkota Johor (KMJ 2014) dan sambutan Hari Perbandaran Muar Ke-13 di Dataran Tanjung Emas di sini selama empat hari bermula esok.

Yang Dipertua MPM, Ramlee A. Rahman berkata, pelbagai acara menarik disediakan untuk pengunjung antaranya pameran, demonstrasi hasil seni dan kraf tangan serta persembahan hiburan daripada artis tempatan.

"Selain disertai usahawan industri kecil dan sederhana, karnival ini disertai pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Pada hari pertama, pameran dibuka bermula pukul 8 pagi hingga pukul 12 tengah malam manakala pada pukul 9 malam, dianjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

"Pada hari kedua, orang ramai boleh menyaksikan pameran belon udara panas, pertandingan bola dan persembahan artis termasuk Nash Lefthanded, Jambu dan Airyn Farawaniz bermula pukul 9 malam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ramlee, bermula pukul 8 pagi Ahad pula, orang ramai berpeluang melihat motosikal berkuasa tinggi, wall climbing dan pertandingan Mr. Badan Cantik serta persembahan kugiran Sekolah Tinggi Muar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar.

Katanya, kemuncak sambutan adalah ketibaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum pelbagai acara menarik diadakan termasuklah persembahan flying board dan pertunjukan bola sepak membabitkan pemain JDT.

Pada masa sama katanya, MPM akan menutup Jalan Majidee, Jalan Khalidi dan jalan sekitarnya bagi memberi laluan kepada pertandingan Muar Sihat 10,000 Langkah yang akan diadakan pada pukul 7.30 pagi, Isnin ini.

Selepas itu katanya, MPM akan menutup Jalan Petrie di pusat bandar ini selama dua jam bermula pukul 11 pagi bagi memberi laluan kepada Sultan Johor mengetuai rombongan KMJ 2014 ke Dataran Tanjung Emas.

"Penutupan jalan hanya dilakukan sebelum dan ketika Sultan Ibrahim melaluinya dan akan dibuka semula sejurus baginda tiba di Tanjung Emas. Kami sudah mengedarkan risalah kepada peniaga dan pengguna jalan berkenaan berkaitan penutupan Jalan Petrie dan berharap semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Pada mulanya, rombongan itu bercadang melalui keseluruhan Jalan Abdullah namun disebabkan baginda bakal memandu bas jenis Super Coach dengan saiz yang besar berbanding bas biasa, adalah lebih sesuai menggunakan Jalan Petrie," ujarnya.

Utusan
20 Jun 2014