Sunday, December 9, 2012

11,000 liter diesel dirampas

Nordin (kiri) memeriksa tangki minyak yang mengandungi 11,000 liter minyak diesel seludup yang dirampas, semalam.

MUAR – Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan minyak subsidi diesel hasil serbuan ke sebuah gudang di kawasan Perindustrian Parit Bakar, Parit Jawa dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintenden Nordin Osman berkata, dalam serbuan jam 10 pagi itu menjumpai sebuah tangki minyak yang mengandungi 9,000 liter minyak diesel.

Turut ditemui, sebuah lori yang diubahsuai dengan muatan minyak lebih kurang 2,000 liter dengan nilai keseluruhan dianggar RM22,000.

“Lori tersebut turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM50,000.

“Ini adalah nilai rampasan terbesar untuk dua tahun kebelakangan ini dan kita berjaya mematahkan empat kes yang sama pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di Pengkalan Pasukan Polis Marin di sini, semalam.

Beliau berkata, Unit Risikan Pasukan Polis Marin telah membuat intipan selama seminggu terhadap lori terbabit yang membeli minyak subsidi dari stesen-stesen minyak sekitar bandar ini.

“Selesai mengisi minyak dalam lori, lori terbabit akan pergi ke stesen minyak lain untuk mengisi minyak bagi memenuhkan tangki yang diubah suai di belakang lori.

“Minyak ini dipercayai dijual kepada pengusaha industri dengan harga yang lebih rendah dengan tujuan untuk mengaut lebih banyak keuntungan,” katanya.

Nordin berkata, dua lelaki berusia 40an dipercayai penjaga gudang itu melarikan diri melalui pintu belakang, sebaik sahaja menyedari kehadiran unit risikan di gudang itu.

“Setengah jam kemudian, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 57 tahun dan mengaku menyewa gudang ini untuk menyimpan minyak subsidi diesel," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Sinar Harian
9 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment