Wednesday, December 12, 2012

Polis marin dakwa miliki syiling Sepanyol 217 tahun


Ahmad Safari menunjukkan duit syiling Sepanyol berusia 217 tahun. - Foto Shahrul M Zain

Muar: Seorang anggota Pasukan Polis Marin di sini, mendakwa memiliki sekeping syiling lama Sepanyol berusia 217 tahun yang disimpannya sejak 21 tahun lalu.

Koperal Ahmad Safari Mohamad Jabar, 46, mendakwa syiling berkenaan dihadiahkan ibunya, Jamaliah Din, 66, yang mengetahui minatnya mengumpul syiling dan disimpan dengan baik bersama lebih 320 koleksinya sejak berusia 18 tahun.

Katanya, pada syiling berkenaan tertulis perkataan Carolus IIII, 1795, Dei Gratia, Hispan Et Ind, Rex dan beliau sendiri tidak mengetahui berapakah nilai syiling terbabit dan sejarah di sebaliknya.

“Saya lihat dalam akhbar, ramai yang mendakwa memiliki syiling lama, kerana itu saya tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai syiling berkenaan kerana ia dikeluarkan sekitar 1700,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ahmad Safari yang turut memiliki koleksi wang kertas lama, berkata beliau tidak berhasrat menjual syiling berkenaan kerana amat menyayanginya.

Syiling ditemui ibu 

Katanya, syiling terbabit ditemui ibunya sebelum diserahkan kepadanya untuk disimpan tetapi beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenainya.

Beliau yang pernah bekerja sebagai Pembantu Stesen bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia sekitar awal 1980-an, berkata pekerjaannya membolehkan beliau berjumpa dengan ramai orang asing yang memiliki duit syiling negara mereka.

“Saya akan membantu mereka mengangkat barang dan apabila hendak memberi upah saya meminta wang syiling negara mereka. Saya masih menyimpan syiling Itali bernilai 500 lira dikeluarkan pada 1985.

“Ketika bertugas di Sabah selama lebih 12 tahun, setiap kali saya menaiki pesawat atau terjumpa dengan pelancong asing, saya akan berkomunikasi dengan mereka dan menunjukkan koleksi yang saya ada. Ramai antara mereka yang berminat dan menghadiahkan syiling negara mereka kepada saya,” katanya.

Antara koleksi paling disayangi Ahmad Safari ialah wang kertas RM10 yang memiliki no siri PP9191919 iaitu wang gajinya yang dibayar secara tunai ketika bekerja di sebuah kilang membuat benang di Pulau Pinang pada 1985 serta syiling keluaran khas serta ganjil.

“Jika ada pihak yang berminat boleh menghubungi saya di talian 012-612 0276,” katanya.

Berita Harian
12 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment