SELAHUDDEEN Abd. Aziz menyembur air ke arah sekumpulan kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, semalam.
MUAR 5 Dis. - Lebih 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini yang diadakan selama enam hari bermula hari ini.
Peserta terdiri daripada anak- anak kakitangan HPSF dan penduduk di daerah ini yang dikhatankan di dewan bedah kecil bermula pagi ini hingga Jumaat ini sebelum disambung Rabu hingga Jumaat depan.
Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan diberi tanggungjawab melakukan tugas itu.
"Program berkhatan beramai-ramai ini juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial HPSF terhadap masyarakat setempat di daerah Muar. Selain itu, ia memberi motivasi dan semangat kepada peserta kerana diraikan dalam satu majlis khas.
"Diharap program sosial seperti ini dapat dikekal dan diteruskan pada masa akan datang. Nilai tradisi ini perlu dipelihara dan menjadi budaya berkekalan," katanya semasa merasmikan program itu di Dewan Saujana HPSF, di sini.
Menurutnya, program tahunan tersebut bertujuan melahir dan memberi kesedaran kepada peserta tentang aspek kebersihan fizikal serta peka dengan tuntutan agama Islam selain membentuk keperibadian mulia.
Beliau berkata, bilangan peserta kian meningkat saban tahun dan selari dengan perkembangan itu Jabatan Pembedahan HPSF menganjurkan kursus-kursus peningkatan teknik berkhatan bagi menambah serta meningkatkan kemahiran pegawainya.
Katanya, sejak 2007 jabatan tersebut telah menerima sebanyak 336 kes berkhatan.
Selepas perasmian program, seramai 25 kanak-kanak yang terlibat dalam program hari ini diarak dengan bunga manggar diiringi paluan kompang di pekarangan HPSF sebelum disembur dengan air oleh sebuah jentera bomba.
Utusan 6 Dis 2012
0 comments:
Post a Comment