Friday, December 7, 2012

Remaja 13 tahun mengedar dadah


Shahadan menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk, Selasa lalu.

MUAR - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun antara tiga yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan yang didalangi lelaki berusia 38 dan 53 tahun, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,000 dijumpai dalam serbuan tersebut.

“Antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 4.4 gram (gm), heroin (20.9 gm) dan sebiji pil ectasy.  Bahan terlarang ini dipercayai boleh menampung keperluan 900 penagih.

“Remaja yang berasal dari Kajang, Selangor itu, sudah tidak bersekolah dan   didapati baru enam bulan terjebak dalam kegiatan ini selepas berkenalan dengan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika serbuan, kesemua suspek sedang leka membungkus dadah dalam bilik rumah berkenaan dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah ini juga daerah berhampiran.

Kata Shahadan lagi, remaja terbabit termasuk dua lagi suspek yang berasal dari kampung berkenaan juga didapati positif dadah jenis heroin.

“Suspek berusia 53 tahun memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak 1991, manakala suspek berusia 38 tahun pula mempunyai lima rekod jenayah lampau juga berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 Disember ini untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat saki baki ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sinar Harian
7 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment