Tuesday, December 18, 2012

'Balik Aishah, kami bimbang'


Mohd. Zam Jamak menunjukkan gambar anak gadisnya, Siti Aishah yang dilaporkan hilang dan dirayu pulang dalam satu sidang media di sini hari ini. - UTUSAN/ZULHISHAM ISAHAK

MUAR – “Aishah tidak tunjukkan  perlakuan yang mencurigakan. Dia juga tidak meninggalkan apa-apa pesan dan menghilang begitu sahaja.

"Kami amat bimbang jika sesuatu terjadi kepadanya."

Itu luahan seorang bapa dari daerah Ledang  yang buntu memikirkan keselamatan anak perempuannya yang menghilangkan diri sejak keluar dari rumah, Selasa lalu.

Mohd Zam Jamak, 55, berkata, anak perempuannya, Siti Aishah, 19, keluar dari rumah didiami ibu dan datuknya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru sebelum terus menghilangkan diri.

“Dia (Aishah) keluar sekitar jam 8 pagi untuk membeli kad prabayar di kedai berhampiran pada Selasa lalu, sebelum menghilangkan diri.

Kehilangannya hanya disedari oleh kakaknya yang mahu menghantar anak untuk dijaga oleh Aishah.

“Keluarga menunggu Aishah pulang sehingga petang, tetapi dia tetap tidak pulang dan laporan polis terus dibuat di Balai Polis Tampoi,” katanya, semalam.

Mohd Zam melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak perempuannya yang keluar hanya membawa dokumen pengenalan diri .

“Kami cuba menghubungi telefon bimbit Aishah, tetapi gagal. Usaha mencari di rumah rakan-rakannya juga menemui jalan buntu.

Kehilangan Aishah amat merisaukan ibunya, Siti Azura Buan, 39, dan datuknya yang kini sedang sakit serta amat merinduinya.

“Ini kerana hubungan dia bersama datuknya sangat rapat. Jadi apabila dia hilang, telah memberi kesan kepada kesihatan datuknya,” katanya.

Menurut Mohd Zam, dia turut dimaklumkan tiada sebarang kejadian perselisihan faham berlaku sebelum Aishah menghilangkan diri.

“Saya merayu kepada Aishah supaya segera pulang ke pangkuan keluarga kerana datuknya amat merinduinya,” katanya.

Beliau turut memohon jasa baik orang ramai yang mengenali atau menemui Siti Aishah supaya menghubunginya di talian 017-3792541 atau melaporkan kepada balai polis berhampiran.

Sinar Harian
18 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment