Hasnah melihat struktur rumahnya yang uzur dan reput dimakan anai-anai.
MUAR – Seorang warga emas dari Kampung Parit Karim 1, Batu 18 Air Hitam, di sini, meluahkan keinginan memiliki sebuah rumah baru kerana kediaman yang didiaminya kian uzur dimamah usia.
Hasnah Abu Bakar, 61, berkata, struktur rumah yang didiaminya bersama dua anak angkat berusia 16 dan 27 tahun sejak suami tercinta meninggal dunia pada tahun 2009 itu tidak stabil dan hampir keseluruhannya di makan anai-anai.
"Rumah ini dibina arwah suami semasa kami baru mendirikan rumah tangga, namun 10 tahun kebelakangan ini, keadaan rumah makin uzur dan banyak kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.
“Setiap kali hujan lebat, mak cik terpaksa menongkat bumbung rumah menggunakan kayu untuk mengelakkan diterbangkan angin yang bertiup kencang.
“Hanya bumbung di bahagian hadapan rumah sahaja sempat diganti baru oleh arwah suami pada 2008,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Hasnah berkata, dia tidak mampu untuk menggantikan bumbung pada bahagian belakang rumahnya yang mengalami kebocoran teruk.
“Setiap kali hujan, ruang dapur ini dipenuhi dengan susunan besen dan baldi untuk menadah air hujan di bahagian bumbung yang bocor.
“Kadang-kadang ruang dapur ini seperti ‘kolam’ kerana besen dan baldi itu tidak dapat menampung kuantiti jumlah air hujan yang memasuki rumah apabila hujan lebat,” katanya.
Menurutnya, mengenang keadaan rumah yang serba kekurangan, dia acap kali menitiskan air mata kerana terlalu sedih memikirkan nasib dihadapinya itu.
“Pada usia sebegini, saya begitu teringin untuk mendiami dan memiliki rumah yang lebih selesa bagi menghabiskan sisa usia emas.
“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai wang simpanan untuk membaiki sendiri rumah ini sehingga menyebabkan saya terpaksa bertahan tinggal dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.
Hasnah berkata, dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 yang diterimanya sejak bulan Disember tahun lalu, dia menggunakan wang itu untuk menyara kehidupan seharian.
Beliau berkata, sebelum ini dia ada mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan rumah baru di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dua tahun lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas.
“Walaupun sudah menunggu dua tahun, namun saya tidak pernah berputus asa dan menaruh harapan agar berpeluang mendapat bantuan rumah baru PPRT,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari berkata, pihaknya akan menyemak semula permohonan dibuat Hasnah seterusnya mengambil tindakan segera untuk membantunya mendapatkan sebuah kediaman yang lebih selesa.
Sinar Harian
15 Dis 2012
0 comments:
Post a Comment