MUAR: Seorang peniaga pakaian berusia 56 tahun yang diculik 3 hari lalu dari rumahnya telah dibebaskan di sebuah ladang kelapa sawit di Sekinchan, Selangor semalam selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM1 juta.
Ahli perniagaan dan keluarganya baru saja pulang ke rumah mereka di Jalan Abdul Rahman di sini pada kira-kira pukul 9 malam pada Jumaat ketika dia diculik.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Liu, dikatakan baru saja meletakkan keretanya di perkarangan rumah dan sedang menunggu pintu pagar otomatiknya tertutup apabila empat orang lelaki bertopeng menyerbu dan mengheretnya keluar dari keretanya.
Isteri mangsa membaling beberapa buah pasu bunga ke arah kumpulan penculik tersebut dalam usaha untuk menyelamatkan suaminya namun mereka berjaya mengheret mangsa ke dalam sebuah kereta yang sedang menunggu di hadapan rumah dan meninggalkan tempat kejadian.
Semalam, salah seorang ahli keluarga mangsa berkata mangsa mengalami kesukaran untuk tidur sejak kejadian tersebut dan masih trauma.
“Dia sudah pulang tapi tidak mahu diganggu,” tambahnya.
Difahamkan selain perniagaan pakaian, peniaga yang menjalankan perniagaannya di Kuala Lumpur juga mempunyai perniagaan lain termasuk pembinaan dan menjual beli kereta.
Mangsa juga selalu pergi ke China untuk tujuan perniagaan dan telah berpindah ke Muar beberapa tahun yang lepas, namun hanya pulang sekali sekala.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia berlari keluar setelah terdengar kekecohan dan jeritan meminta tolong.
“Apabila saya melihat ke luar, saya nampak beberapa orang lelaki sedang mengheret mangsa ke dalam sebuah kereta yang sedang menunggu,” katanya.
Dia mendakwa isteri mangsa menerima satu panggilan 2 jam selepas kejadian dari seorang pemanggil yang tidak mengenalkan dirinya yang meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta jika dia ingin suaminya dibebaskan.
“Isteri mangsa mula panik dan menghubungi beberapa orang rakan untuk meminjam wang," katanya dengan menambah yang isteri mangsa akhirnya berjaya mengumpulkan jumlah wang seperti yang diminta kumpulan penculik tersebut.
Ketua Siasatan Jenayah Johor SAC Datuk Dr Hashim Haron mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lebih lanjut.
Sumber The Star 26 Dis 2012
0 comments:
Post a Comment