Friday, December 21, 2012

JPAM sasar 17,000 sukarelawan


PAGOH 19 Dis. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor menyasarkan untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 17,000 sukarelawan tahun depan terutama dalam persiapan menghadapi pelbagai bencana dan kecemasan.

Pengarah JPAM negeri, Kolonel Pertahanan Awam Ghazali Ab. Rahman berkata, jumlah itu adalah sebagai tambahan kepada 24,000 sukarelawan sedia ada ketika ini yang pada bila-bila masa boleh dipanggil jika diperlukan.

"Sehingga kini, JPAM Johor sudah menerima keahlian kira-kira 24,000 anggota dan akan cuba memenuhi sasaran ditetapkan pusat iaitu minimum 17,000 lagi anggota pada tahun depan.

"Boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang JPAM atau mengisi borang di mana-mana pejabat cawangan dan kelayakan minimum ialah berusia 18 tahun ke atas, sekurang-kurangnya Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta sihat tubuh badan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Latihan Pemantapan Anggota Sukarela Tugas Pejabat dan Tugas Operasi Siri 3, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh dan Pegawai Bersekutu JPAM, Abdullah Awang.

Seramai 170 anggota menamatkan tiga siri latihan tahun ini yang diadakan bermula November lalu.

Ghazali berkata, mereka yang layak akan ditapis dan dikehendaki menjalani latihan asas selama 16 jam dan kebiasaannya JPAM akan mengambil kira-kira 10 peratus daripada jumlah yang mendaftar untuk diberikan latihan bergantung kepada keperluan.

Kata beliau, pihaknya tidak menetapkan sebarang jumlah bagi mereka yang mahu mendaftar dan keperluan untuk memanggil anggota berkenaan adalah berdasarkan aktiviti atau operasi dilakukan pihaknya dari semasa ke semasa.

Menurutnya, keperluan untuk menggunakan sukarelawan adalah sekitar 1,000 anggota pada satu-satu masa iaitu 100 orang bagi setiap satu daerah di negeri itu.

"Kita juga memiliki anggota yang bertugas sepenuh masa serta sambilan yang dibayar gaji hari bergantung kepada tugasan.

"Semua yang mendaftar sebagai anggota layak menjadi sukarelawan dalam tempoh dua tahun dan selepas itu mereka perlu mengisi borang sekali lagi untuk memperbaharui keanggotaan," katanya.

Beliau berkata, kini pihaknya menerima sambutan yang sangat baik daripada golongan belia berusia bawah 40 tahun untuk menjadi sukarelawan dengan 85 hingga 90 peratus keahlian adalah daripada golongan itu.

Katanya, pihaknya masih menerima keahlian daripada golongan lebih berusia iaitu maksimum 60 tahun.

Utusan
20 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment